Aku Sebagai Houseman

Selepas habis belajar selama 5 tahun dan lulus mendapat ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dengan jayanya, orang2 kampung dah boleh panggil aku doktor. Tapi dari segi kerjaya, istilah itu tidak diiktiraf di Malaysia selagi aku tidak melepas tempoh percubaan sebagai doktor pelatih atau houseman selama setahun seterusnya berkhidmat sebagai pegawai perubatan di mana2 hospital kerajaan selama 2 tahun. Selepas 3 tahun berkhidmat , barulah aku boleh bergelar doktor seterusnya disahkan mendapat lesen/sijil pendaftaran penuh. Selepas 3 tahun itu jugalah, barulah aku boleh memohon untuk menyambung pelajaran, berhijrah ke sektor swasta atau bekerja sendiri. Satu tahun hidup sebagai houseman merupakan satu tempoh pembelajaran yang tidak boleh dilupakan. Lebih banyak duka daripada suka apatahlagi dengan gaji yang tak setimpal. Warga Indon yang kerja di sektor pembinaan, rasanya lebih tenteram hidupnya berbanding aku.

Seminggu lepas aku dapat ijazah, aku dah dapat surat dari JPA. Mereka suruh aku melapor diri ke JKNJ pada 16/6/96 iaitu seminggu daripada hari aku terima surat itu. Ezanee juga terima surat yang sama dan kami sama2 melapor diri pada hari tersebut. Permohonan untuk memulakan karier sebagai pegawai perubatan di Hospital Muar diterima. Pada hari aku mendaftar, bersama2ku ada 5 orang lagi doktor baru seperti aku.

Pada amnya, ramai doktor cuba untuk mengelak bekerja di Hospital Sultanah Aminah JB, Hospital Tunku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Besar Pulau Pinang kerana telah diketahui bebanan kerja yang tinggi. Pada tahun 1996, doktor2 baru seperti aku jika ingin berkhidmat di negeri Johor hanya di dua hospital sahaja iaitu JB atau Muar. Hospital2 lain masih tidak cukup kepakaran untuk menerima doktor2 baru seperti aku. Aku dihantar ke unit Pembedahan bersama2 dua lagi doktor lain dan Ezanee kena hantar ke unit Paediatrik. Kami ditempatkan di asrama khas untuk doktor2 pelatih di depan hospital. Aku berkongsi satu bilik dengan Ezanee. Biliknya agak selesa dengan 2 katil bujang, satu bilik air dan satu set sofa. Ezanee bawak mikrowave manakala aku bawak tv. Cukuplah untuk keperluan sebab satu tahun akan datang, lebih separuh daripada hidupku adalah dihospital. Percayalah.

2 bulan pertama di Unit Pembedahan memang giler punya tension. Pukul 7.30 pagi dah mula kerja dan selalunya berterusan sehingga pukul 5 petang keesokkan harinya. Biasanya kita belajar dengan membuat kesilapan. Bila silap, MO dan specialist marah2 dulu sebelum beritahu apa salah kita. Mereka ingat doktor2 baru macam kita ini semuanya perfect. Semua mesti betul selalu. Semua keputusan ujian makmal atau x-ray nak ada depan mata. Mereka aje yang betul. Doktor2 baru semuanya bodoh macam lembu. Kena ikut aje apa arahan mereka. Mereka bukannya kira semalam kau cukup tidur ke tidak, semalam kau kena bermalam dalam ambulan kerana menghantar pesakit sampai ke Kuala Lumpur. Itu tak penting, yang penting bila kau masuk dewan bedah, semuanya mesti 100% sempurna walaupun dalam kepala ingat bantal dan tilam aje.

Biasanya satu houseman, kena jaga separuh wad iaitu kira2 14 katil. 14 katil bermakna 14 pesakit. Dari A hingga Z, aku kena tahu semuanya. Ujian2 darah dah balik ke belum, x-ray dah siap ke belum, appointment ke ultrasound atau CT-Scan dah dapat ke belum, kalau nak operate, consent dah dapat ke belum, darah dah standby ke belum, maknanya aku kena ambik tahu semuanya. Yang MO dan Specialist tahu, semua dah ready. Apa mereka nak, semua nak ada depan mata. Bukannya kira mesin x-ray rosak ke, darah tak cukup ke, nurse salah label darah ke, mereka tak nak tahu semua itu. Atas aku ada MO sebagai supervisor dan satu lagi senior MO yang incharge keseluruhan unit. Kalau dapat MO yang bagus, dia tolong ajar kau. Kalau dapat yang sama2 bebal atau lulus dari Universiti mana2 ntah, memang lingkup. Jahanam aku dan patient. Asyik kena ambik darah aje, ubat yang bukan2 diberinya. Patient tak jugak sembuh. Nak hantar balik pun takut2.

Selain menjaga wad, houseman juga ada tugas2 lain. Satu, active call. Kerja 24 jam jaga 4 wad. Semua pesakit baru aku kena tengok. Mana2 kes emergency aku kena attend. Jaga 4 wad bermakna apa2 yang berlaku dalam semua wad, aku kena ambik tahu. Kejap2 kena naik tingkat satu, nurse suruh tolong set line. Lepas tu turun bawah, ada patient baru. Lepas tu kena panggil ke tingkat 3, ada patient collapsed. Begitulah kerja on call sampai esok paginya. Pukul 7.30 pagi, bermula hari baru. Dan MO dan specialist mengharapkan kau sihat dan kerja seperti biasa. Mereka takkan tanya berapa jam aku tidur semalam.

Dalam satu unit atau department, biasanya ada 1-2 pakar bedah, 1 senior MO, 5 MO dan houseman sekitar 8-12 orang. Makin ramai houseman makin bagus sebab kerja2 senang nak diagihkan. Dalam satu hari ada 3 houseman yang kena on call iaitu kerja 24 jam. Active call kerja di active ward 24 jam. Satu passive call yang kerjanya standby di bilik bedah. Kalau ada kes2 kecemasan seperti Appendisitis, Intra abdominal injury, dia yang kena assist boss buat operation. Yang ketiga dipanggil 3rd call iaitu standby untuk menemani pesakit2 tenat yang perlu dirujuk ke hospital2 lain yang lebih kepakaran seperti JB,Melaka dan kadang2 sampai ke Kuala Lumpur. Tu yang dikira mati katak kalau berlaku accident semasa dalam ambulan. Dahlah bawak laju, ciri2 keselamatan takda, insuran pulak takda. Itulah nasib malang doktor. Rasanya scenario ini tak berubah sampai sekarang.

Kalau diperhatikan, hari2 dikira hari bekerja walaupun tidak berada di wad. Aku kena standby kat bilik dan akan dipanggil bila2 masa jika diperlukan. Pada masa itu kadar bayaran elaun houseman ialah 20.00 sehari tak kira berapa banyak kerja yang aku telah lakukan. Hujung minggu dan hari2 cuti am, houseman juga dikehendaki hadir ke wad untuk ward round. Jika aku jatuh sakit dan ambil MC, cuti tahun aku akan ditolak. Selama setahun, aku hanya layak mengambil cuti tahun sebanyak 14 hari sahaja. Kelulusan cuti bergantung kepada ketua jabatan. Jika masa tu kekurangan doktor, kirim salamlah kalau nak cuti. Cuti kahwin pun aku dapat 3 hari aje..

Semua itu sebenarnya taklah tension sangat kalau kita tahu cara2nya. Kalau dalam unit tu housemannya semuanya bagus2 dan boleh lebih kurang, takda masalah punya. Lagipun masa di final year dulu, aku dah rasa semuanya. Maknanya dah siap sedia. Kalau dapat group houseman yang berkira2 sangat pasal kerja ataupun yang tak tahu buat kerja, terutamanya anak2 datuk atau tauke2 besar yang entah camna layak jadi doktor tu, memanglah tension memanjang. Kadang2 ambik darah pun tak pandai, buat dressing tak nak, on call hujung minggu nak pilih dulu. Jaga wad yang sibuk tak nak. Pukul 8 baru sampai, pukul 5 dah balik. Kerja2 kawan tak nak tolong buatkan. Clerk patient pun cincai2 aje.

Houseman yang bagus ialah yang mengambil berat tentang pesakit dan tahu apa tanggungjawab mereka. Kalau niat bekerja itu betul dan ikhlas, sibuk camnapun aku masih boleh tersenyum dengan patient, aku sempat makan tengahari dan malam, aku sempat tengok tv, aku sempat tidur sekurang2nya 4 jam sehari (walaupun di bilik on call). Masalah timbul bila kita tak sebulu dengan nurse, dengan sister, dengan HO yang lain2,dengan senior MO malah dengan boss juga. Bila dah tak sebulu, mulalah asyik cari salah sahaja.

Aku rasanya boleh ngam dengan semua orang. Bila kita hormat dengan nurses, mereka akan hormat kita. Kerja2 kita kadang2 mereka dah tolong buatkan. Begitu juga dengan attendan. Walaupun mereka lebih rendah dari kita dari segi pangkat, tetapi sebagai manusia, mereka lebih tua dan lebih berpengalaman dari kita. Itu yang aku selalu dapat lauk sedap2 dan ayam yang besar2 masa on call. Kalau waktu aku on call, wad sunyi sikit sebab tak banyak new cases. Pukul 10 dah boleh masuk tidur. Tapi tak selalulah.

Selepas 4 bulan di Wad Pembedahan, aku berpindah ke wad Bersalin pulak. Masuk hari kedua, dah kena on call. Masa di wad ini, group houseman aku paling ramai iaitu kira2 14 orang. Satu HO incharge sekitar 15 katil sahaja. Masa tu aku dah tahu serba-sedikit taktik2 nak ambik hati boss. Jadi hujung minggu dapatlah balik kampung bercuti. Walau sibuk camnapun, aku masih boleh lepak2 kat Tanjung Emas setiap petang. Makan ABC dengan rojak. Takpun JJCM kat Umbai Melaka. Makan seafood dengan nasi lemak. 3 bulan di Unit Bersalin tak terasa sangat sebab boss dia tak fussy. Selagi kita ikut peraturan dia, dia nampak muka kita masa dia buat round, tak ada masalah punya. Saban minggu dia buat case presentation dan masa itulah ada jamuan. Penghujung 4 bulan, dia interview aku. Aku lulus dengan cemerlang.

4 bulan terakhir aku ditempatkan di Unit Perubatan Lelaki. Unit ini diketuai oleh lady boss yang dikatakan paling garang di Hospital Muar. Selain dia single, dia juga paling senior kat sana masa tu. Dikatakan kalau dia marah, dia akan menjerit dan satu bangunan akan dengar suara dia. Ramai HO takut dengan dia. Masa aku datang melapor diri kat dia, dua soalan dia tanya aku. Satu, ini posting aku yg ke berapa dan dua, aku datang dari universiti mana? Bila aku cakap ini last posting aku dan aku grad dari UM dia dah tak kata apa dah. Good bye and good luck.

Disebabkan masa tu ramai HO yang dah naik pangkat jadi MO, maka 2 bulan terakhir, aku tinggal 2 orang untuk menjaga 4 wad. Masa tu unit aku tinggal 2 pakar, 2 senior MO dan 4 student FHS. FHS tu student yang belajar untuk jadi Pakar Kesihatan Keluarga. Ini bermakna aku kena jaga 48 katil dan on call tiap2 hari. Masa tu tiada istilah sabtu, hari minggu atau hari kelepasan. Setiap malam aku tidur di wad. Entah kenapa, lady boss dah tak jadi singa lagi masa tu. Dia konfident dengan aku dan segala management aku dia jarang bantah. Dia dah tak memekik2 lagi dan aku ikutkan kesukaan dia. Semua patient aku aku boleh ingat tanpa pegang case note. Kalau dia tunjuk katil 12 misalnya, semua yang dia hendak ada kat hujung lidah aku. Tak payah nak belek2 case note macam HO yang satu lagi. MO yang supervise aku pun sama. Dia dah percaya kat aku. Semua case aku manage sendiri. Jarang kejut dia malam2 untuk review case2 baru.

Masa di unit inilah banyak sungguh kenangan indah berlaku. Satu, arwah Pengerusi Tetap UMNO masa tu iaitu Tan Sri Sulaiman Ninam Shah datang hospital dan cari aku semata2 sebab nak tanya perkembangan sedara dia. Nurse suruh jumpa MO tapi dia tak nak. Dia nak jumpa aku jugak padahal masa tu aku datang lewat sebab post call. Menggigil aku salam dengan dia bila dia perkenalkan dirinya. Dalam ramai2 doktor kat wad, HO cabuk juga yang dia nak jumpa. Aku juga banyak jumpa kes2 pelik dan sensasi masa di unit ini. Lelaki merajuk dengan girlfriend lepas tu pengsan 48 jam aku jumpa. Lepas 48 jam, dia sedar dan sihat tanpa apa2 ubat. Rujuk pakar sakit jiwa pun takda penyakit. Pesakit demam 2 minggu tanpa sebab pun aku jumpa. Semua test negatif. Doktor pakar siap suruh bawak balik jumpa bomoh.

Yang bestnya kalau pesakit sakit jiwa masuk wad. Riuh rendah tengok mereka bersilat. Konon mahaguru turun dari langit. Kena sedate double dose pun masih tegak berdiri. Kadang2 aku sama turut membelasah mereka2 yang degil tak nak dengar kata. Kes2 kematian hari2 aku jumpa. Yang tua, yang muda, yang susah, yang senang, yang lama nazaknya, yang mati tersenyum, mati muka jadi hitam, dan macam2 lagi. Satu lagi, kat Hospital Muar ramai patient jawa. Jadi bolehlah aku practice aku punya bahasa Jawa.

Hari terakhir di Hospital Muar agak sedih jugak. Staf diwad siap buat jamuan untuk aku. Dapatlah cenderahati sikit. Habis aje setahun houseman, aku dapat tawaran buat Kursus Induksi selama 3 minggu di Port Dickson. Kira bercuti sambil menggantikan hutang2 tidur dan rehat semasa setahun menjadi kuli batak di hospital. Masa tu aku dapat jumpa balik kawan2 lama masa student dulu. Dapat satu bilik penthouse di Bayu Beach Resort bersama2 Fatah, Neil, Jemie dan Jeri. Kursus bukannya belajar apa pun. Lebihkan main dan enjoy selagi boleh..

Sekian pengalamanku sebagai Houseman.


Ulasan

  1. pergh..nasib aku tak jadik doktor..

    BalasPadam
  2. u sangat humorous la

    BalasPadam
  3. huh..panjangnye cite pengalaman doc.. ni lah dikatakan pengalaman.. semoga berjaya dunia akhirat.. :)

    BalasPadam
  4. superb la doc..boss mesti suka n senang dgn doc kn??

    BalasPadam
  5. hmmm bila baca pengalaman ni, memang rasa respect sangat dengan mereka yang bergelar doktor..

    hope my sis yang akan posting nanti pun sentiasa tabah dan jd cemerlang mcm Doc :D aminnnn

    BalasPadam
  6. hm..sy memang bercita-cita jadi doktor sejak kecik lagi..betul kah semua doktor kena buat camni? sengsaranye.. patut ker sy teruskan niat sy??

    BalasPadam
  7. You are superb! Wish me luck dear doc :-) I want to be a a great doctor like you too :-)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kerjaya Doktor bukan sekadar pekerjaan.
      Kerjaya doktor sebagai satu perkhidmatan.
      Juga satu ibadat.
      InsyaAllah,
      berjaya dunia dan akhirat.

      All the best!

      Padam
  8. Seronok baca walaupun xberjaya jd dr..ad juga dr yg sudi bercerita detail life as a med doctor...suka writing style dr..humorous tp sgt informative :)

    BalasPadam
  9. PERMANENT DOCTOR NEEDED - URGENT !!!

    We are Owner and Operator a General Practice (GP) Clinic in Bandar Sungai Long, Bangi and Putrajaya (Presint Diplomatik - Klinik Pakar KASIH).

    We are looking for a dedicated Medical Officer Requirements at Bandar Sungai Long Clinic:-
    Lady doctor
    MBBS or equivalent from a recognized institution approved by Ministry of Health Malaysia
    Possess valid Annual Practicing Certificate
    Registered with Malaysia Medical Council
    Minimum 2 years working experience in Obstetric & Gynecology
    Attended an Obstetric Life Saving Skill
    Attended A Neonatal Resuscitation Program
    Working hours negotiable with minimum on-call
    Very attractive salary RM7,000 (starting)
    Kindly please send to recommend CV to: aznial@gmail.com

    Clinic information:-

    PUSAT RAWATAN SUNGAI LONG
    NO. 12 JALAN SL 1/13
    BANDAR SUNGAI LONG
    43000 KAJANG
    SELANGOR
    TEL / FAX: 03-90114833

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan Tinted Kereta

Aku dan Toyota Vellfireku

Aku dan Toyota Estima