Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

04 Mac 2009

Aku Sayang Abah

Dulu masa aku belum menjadi seorang ayah, aku selalu membenci abahku. Aku anggap abah seorang yang terlalu mudah menyerah kepada takdir, mudah putus asa dan gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Bila aku kecewa dalam hidup, aku sering menyalahkan abah. Masa kecil, hidupku susah. Banyak benda yang aku hajatkan, aku jarang mendapatkannya. Mungkin itu menjadi sebab aku sukar untuk menyayangi abah.

Masa aku lahir dan hidup dikampung dulu, abah dan ibuku sentiasa bersusah payah untuk mencari keperluan hidup. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tanpa ilmu pengetahuan atau sijil2 akademik kerja apa yang boleh mereka lakukan? Aku tinggal di sebuah rumah kampung tanpa keperluan asas. Masa tu api takda, air paip pun takda. Abah ada mengusahakan tanaman nanas seluas 3 ekar. Dengan hasil jualan nanas yang tak seberapa, abah menyara kami sekeluarga. Sesekali abah ada menjual kelapa kering dari kebun ibunya di Sg Resik, Muar. Hasil jualan pula dibahagi dua dengan atuk. Aku dapat bayangkan kesukaran abah untuk mendapatkan wang hasil jualannya. Nanas biasanya akan dieksport ke Singapura. Kalau ada yang beli, dapatlah duit sikit. Kalau takda yang nak beli, abah longgokkan di tepi jalan sementara menunggu pembeli. Bila dapat upah duit jualan, dapatlah kami merasa makan ikan basah dan sayur2an. Kelapa kering atau kopra, abah jualkan kepada tauke cina di bandar Muar. Rasanya semua diupahkan kat orang. Daripada memetik kelapa, mengupas kulit, menyalai dan mengasingkan kelapa daripada tempurungnya semua diupahkan orang. Jadi berapa sangatlah untung yang abah dapat. Kepayahan hidup di kampung membakar semangatku untuk belajar sungguh2 kerana emak pesan dengan aku, hanya pelajaranlah yang dapat mengubah cara hidup kita kerana kita tiada apa2 harta.

Semasa aku naik ke sekolah rendah, abah mula menggantikan nanas dengan tanaman getah kerana permintaan untuk nanas semakin berkurangan. Sementara menunggu pokok getah tu membesar, abah melakukan kerja2 kampung yang lain seperti menjadi buruh binaan di Parit Sulong. Aku pula hidup sederhana dengan pucuk pakis, pucuk paku, ikan keli, ayam kampung dan segala yang ada dipersekitaran rumah. Setahun sekali baru merasa pakai baju baru. Tiada peralatan sekolah baru setiap kali masuk sekolah. Tiada percutian di hotel2 dan hidup aku adalah sekitar kampung sahaja. Sebenarnya sebelum abah berkahwin dengan emak, abah pernah berkahwin dengan wanita lain dan dikurniakan 3 anak. Aku ingat lagi, setiap hujung bulan, anak2 abah akan datang ke rumah untuk minta belanja dapur. Itupun jadi satu masalah besar kepada abah.

Ketika aku berumur 10 tahun, abah mengambil keputusan untuk menjual rumah dan tanah dan seterusnya berhijrah ke Kulai. Aku tak pernah tanya kenapa dan mengapa abah sanggup menjual segala2nya dan hidup merempat di rumah orang. Kami sekeluarga hidup menumpang di rumah saudara emak di felda. Sebenarnya ketika kawan2 abah sibuk memohon untuk memasuki rancangan felda, abah tidak memohon kerana dihalang oleh ibu abah. Satu tindakan yang sangat merugikan kerana semasa di Kulai, abah berhabis2an wang ringgit semata2 untuk diterima masuk ke felda. Setiap kali ada orang kata boleh tolong rekomenkan untuk hantar nama abah masuk felda tambahan, abah ikutkan. Rasanya banyak duit abah habis kerana itu. Jolok sana, jolok sini, bayar sana, bayar sini tapi tiada hasilnya. Itulah antara kebodohan abah. Mudah sangat percaya dengan kawan. Aku tidak salahkan abah sebab abah tidak bersekolah. Baca rumi pun sekadar tahu eja sahaja.

Semasa di felda, aku mula membuka mataku tentang keadaan persekitaran hidupku. Hidup menumpang di rumah orang selama 5 tahun banyak memberi perangsang kepadaku untuk belajar bersungguh2 dan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan. Maaf cakaplah, selama 5 tahun itulah, abah dan ibuku seolah menjadi hamba kepada keluarga dan anak2 sedaraku. Abah menolong memotong kelapa sawit manakala emak menolong menguruskan anak2 sedaraku yang 6 orang. Aku tak mengungkit tapi sampai sekarang aku takkan lupa karenah mereka terhadap emak dan abah.

Selepas 5 tahun hidup menumpang, emak dapat tawaran bekerja sebagai kakitangan harian felda. Emak juga dapat tawaran duduk dirumah kuarters felda. Walaupun rumah kecil 2 bilik, aku rasa lebih selesa dan bebas. Masa tu abah dah tak kerja potong buah lagi. Dengan bantuan seorang kawan, abah mula mengambil upah menebas rumput dan menebang pokok sekitar felda. Abahku seorang yang sangat jujur, tulus dan tidak berkira tentang upah dan hasil kerja. Walaupun dia yang selalu buat kerja lebih, upah masih dibahagi sama rata dengan kawannya. Kadang2 tak dapat upah pun, abah diam sahaja. Sampai sekarang masih ada hutang2 tertunggak yang tidak dibayar oleh orang2 felda semasa abah membersihkan hutan dan menebang pokok untuk membuat ladang. Itupun abah diam sahaja. Nanti aku tuntut kat akhirat sahaja sebab ramai daripada mereka yang dah meninggal dunia.

Semasa aku duduk di asrama sama ada di Kluang atau Kuala Lumpur, abah langsung tidak pernah tanya pasal pelajaranku. Abah juga tidak pernah memberi apa2 nasihat kepadaku. Kalau aku balik dari bercuti pun, hanya sesekali abah memberi wang saku. Padaku abah sekadar boneka sahaja. Emaklah yang sentiasa mengambil tahu tentang kehidupanku. Tapi baru kini aku sedar, abah memang begitu. Dia memang tak banyak cakap. Sepanjang hidupku, abah tak pernah memukulku atau memarahiku. Cuma sekali abah menghantar nota dalam tulisan jawi, menyuruhku berhenti menghisap rokok ketika aku tension study nak masuk medik. Dua minggu aku merajuk dengan wife aku sebab dia yang bocorkan rahsia kepada abah.

Bila aku dah mula bekerja dan ada kehidupan sendiri, aku semakin jauh daripada abah. Sesekali berjumpa dengan abah, aku sekadar bercerita dan bertanya khabar lebih kurang. Apatahlagi bila pendengaran abah semakin kurang, aku makin malas nak bercakap dengan abah. Lain yang ditanya, lain yang dijawabnya.

Sepanjang pengetahuanku, abah dah banyak kali kemalangan semasa bekerja. Luka2 kecil semasa menebas rumput dan menebang pokok adalah lumrah baginya. Abah pernah pengsan bila kepalanya kena batu, abah juga pernah pengsan selepas terminum minyak petrol yang disangkanya air sirap. Aku pernah menjahit luka abah sepanjang 10cm di kakinya terkena mesin chainsaw. Dan yang paling takku lupa bila jari abah patah kena langgar motor masa balik dari sembahyang. Yang melanggarnya cuma beri abah 50 ringgit untuk settlekan kes. Abah masuk wad seminggu, kena masukkan wire di jari tengah tangan kanannya dan sampai sekarang jari tu dah tak boleh dibengkokkan. Yang aku sedih, kawan abah tolong bawak kes ke mahkamah. Selepas 5 tahun asyik tangguh bicara, abah dapat pampasan 6 ribu ringgit. 3 ribu habis untuk upah lawyer dan seribu lebih untuk duit minyak ulang-alik ke hospital dan mahkamah. Tak berbaloi langsung.

Pada 20 hb ini, usia abah genap 70 tahun. Ketika kawan2 abah ramai yang dah mula sakit2 kronik seperti kencing manis, darah tinggi, gout, stroke dan sebagainya, abah masih sihat. Abah takda sebarang penyakit dan masih boleh menebas rumput dan mengambil upah membaiki mesin rumput yang rosak. Padaku, hidup abah cukup mudah. Abah tak pernah tension2 memikirkan hal2 kehidupan anak2. Yang abah tahu, makan cukup dan tidur cukup. Walaupun dah 70 tahun hidup, abah tidak ada harta yang banyak. Sekadar motorsikal kapcai satu, scooter biru kesayangan satu, mesin tebang satu dan mesin rumput tiga. Simpanan di bank ada dalam 5 ribu, tiada tanah atau rumah pusaka. Maknanya, tiada apa yang akan ditinggalkan untuk anak2. Senang, tak payah nak gaduh2 bila abah dah takda.

Kebelakangan ini, abah dah mula nyanyuk. Walaupun matanya masih terang, telinganya makin kurang jelas dan banyak perkara dah mula dilupai. Kalau tidur malam asyik mengigau aje. Kadang2 belum masuk waktu subuh, abah dah sembahyang subuh. Tapi yang lain2, abah masih kuat. Masalahnya, abah kalah dengan hujan dan air batu. Kalau kena aje, mesti demam punya. Kalau demam, selagi aku tak inject, dia masih rasa tak sihat. Makan ubat apa2 pun, mesti nak makan Uphamol biru 650mg. Itu yang paling mujarab katanya.

Aku tak mahu mengikut jejak langkah abah. Aku mahu mengubah segala2nya. Sejak aku mula bekerja, aku mahu mengumpul harta dunia dan harta akhirat sebanyak mungkin. Aku tak mahu sekadar menyerah kepada takdir. Aku mahu berusaha dan terus berusaha. Aku tak mahu anak2 aku merasai sama kesusahanku semasa kecik2 dulu. Aku cuba menjadi abah yang sempurna untuk anak2ku. Tapi kebelakangan ini, aku rasa aku terlalu memanjakan mereka. Apa mereka nak, aku beri. Kalau tak hari ini, hari2 berikutnya aku akan cuba dapatkan. Kalau dulu, aku nak beli seluar track sukan pun, hujung tahun baru dapat. Anak2 sekarang, mintak pagi; petang dah dapat. Dapat pun yang berjenama.

Walaupun pelajaran anak2ku boleh tahan, aku tak puashati sebab aku jarang bersama mereka mengulangkaji pelajaran. Aku banyak serahkan kepada ibu mereka dan guru2 di sekolah. Anak bungsu terutamanya. Lebih suka main dari belajar. Lebih suka berkawan dari membuat ulangkaji. Ditegur sikit dah merajuk. Naik suara sikit dan menangis. Rasanya dia yang terlebih kasih sayang banding yang lain2. Pening kepala aku. Satu lagi, bila pengajaran sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, aku lagi pening. Nak suruh hafal sifir susah betul. Janggal betul aku dengar sebutannya. Nak beri penerangan lagi susah. Pada aku memang sepatutnya subjek2 teras diajar dalam bahasa melayu dan subjek bahasa Inggeris dikukuhkan. Kalau Hisamudin kata projek Math dan Sains dalam bahasa inggeris satu kejayaan, itu bohong politik namanya.

Berbalik kepada anak2, aku rasa aku nak kena hadkan sedikit kemewahan hidup mereka. Kurangkan masa berjalan2, shopping, beli itu ini, dan lebihkan masa di rumah. Ajar mereka mengemas rumah, menjaga barang2 mereka, membuat ulangkaji pelajaran dan kurangkan menghadap ASTRO. Aku masih belajar dan akan terus belajar untuk menjadi seorang abah yang sempurna. Kepada abah, selagi abah hidup, aku akan terus berbakti kepadanya. Walaupun abah tak pernah ucap sayang padaku, aku tahu abah sayang padaku. Aku harap abah bangga dapat anak sepertiku.

3 ulasan:

  1. walaupun ko xnak jadi macam abah,tapi abahlah sumber inspirasi untuk hang berubah..good one doc..

    BalasPadam
  2. anak2 sekarang.. nak tarik balik kemewahan, memang payah.. salah satu cara yang baik ialah pendedahan kpd dunia luar dgn bimbingan ibu bapa. Satu lagi, ajar berdikari.. ni memang susah, kalau duduk di rumah. kalau tinggal asrama, senang sikit.

    BalasPadam