Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

13 April 2009

Aku dan Pesakit Hari Ini

3 minggu lepas aku ada jumpa satu pesakit. Pesakit ini datang nun jauh dari Kluang untuk mintak nasihatku tentang penyakit dia. Sebenarnya sedara dia yang beriya2 suruh jumpa aku sebab kalau ikutkan dia dan isterinya, dia lebih selesa berubat cara tradisional.

Dia seorang lelaki berumur sekitar 50-an. Dia ada 2 anak perempuan dan bekerja menyapu sampah dengan Southern Waste Management. Sebulan sebelum tu dia ada terpijak paku. Lama kelamaan lukanya melarat dan kakinya bengkak. Dia ada ke klinik dekat rumah dia. Masa tu baru dia tahu dia kena Kencing Manis. Doktor ada beri ubat kencing manis kat dia tapi aku tak yakin dia makan dengan betul. Masa tu dia ada berubat dengan wakil CNI kat tempat dia. Ubat makan ada, ubat sapu ada dan wakil CNI ada tolong cucikan luka dia. Masa aku tanya makan ubat klinik ke tidak, wife dia sibuk cerita pasal CNI. Sah, tak makan ubat.

Masa aku check paras gula dia, memang tinggi iaitu 23.4 mmol/L ( normal < 7.0 ). Luka dikaki memang dah teruk sangat. Satu jari kaki dah takda. Tanggal sendiri katanya. Dia takut nak ke hospital kerana dia dengar cakap jiran2nya nanti kaki kena potong. Kalau masuk wad pun, doktor tak buat apa2. Kena tunggu lama sebelum dibedah. Itu sebab dia malas nak ke hospital. Dia lebih percayakan cakap2 jiran dan wakil CNI berbanding cakap2 doktor di klinik.

Masa aku buat dressing kaki dia, aku memang dah agak keadaannya agak kritikal. Lebih setengah jam aku pujuk dia supaya pergi hospital. Aku beritahu dia, doktor bukan suka2 nak potong kaki orang. Biasanya mereka try kaedah2 lain dulu. Lagi satu, doktor biasanya kena stabilkan gula dulu baru boleh masuk bilik bedah. Doktor bukannya suka2 simpan pesakit lama2 kat wad. Bila aku tanya dia sayangkan kaki ke sayangkan nyawa, dia diam. Bila aku tanya, anak2 pakcik nak berwalikan siapa kalau pakcik takda nanti. Dia lagi diam tapi terus mengangguk setuju nak mendapatkan rawatan di hospital.

Pada petang yang sama dia masuk ke Hospital Kluang. Malam tu, doktor tolak dia masuk bilik bedah untuk buat dressing. Segala2nya berjalan dengan lancar sehingga petang Sabtu yang lepas bila aku dapat SMS dia kena dirujuk ke Hospital Johor Bahru. Keadaan kakinya semakin teruk dan perlu juga dipotong. Pagi tadi aku dapat berita kaki kiri beliau telah selamat dipotong malam tadi.

Masalah orang kita ialah mereka tak faham tentang penyakit mereka. Mereka anggap Kencing Manis ni macam sakit batuk selsema. Bila dah tak sakit, dah tak payah makan ubat. "Saya jarang makan benda2 manis macamana saya boleh kena Kencing manis?" " Semalam saya banyak minum air manis sebab tu gula saya naik." Ramai tak dapat terima hakikat bahawa mereka ada kencing manis. Bila disuruh makan ubat untuk selama2nya ramai yang terkejut. "Nak kena makan ubat ni sampai mati?"

Kencing manis adalah satu keadaan dimana sensor yang mengawal paras gula dalam darah menjadi rosak akibat gula berlebihan. Bila sensor ni dah rosak, gula tidak dapat diserap dalam sel2 badan dan ia berpusing2 dalam darah sahaja. Bila lalu di buah pinggang, gula ini akan terlepas ke dalam air kencing. Itu sebab dinamakan kencing manis. Bila gula dah terlepas dalam air kencing, ia akan menarik air dalam badan sekali. Itu sebab orang kencing manis, kerap kencing. Bila kerap kencing, dia cepat haus dan banyak minum air. Itu antara tanda2 awal kencing manis.

Selain itu, bila sel2 badan tidak mendapat bekalan gula, badan secara automatik akan membakar simpanan lemak dalam badan untuk ditukar kepada gula. Gula diperlukan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Jadi, orang kencing manis biasanya akan mengalami susut berat badan secara mendadak, sentiasa merasa lesu dan letih akibat kekurangan tenaga.

Bila darah menjadi manis, kuman suka membiak dan luka menjadi lambat baik. Untuk jangka panjang, gula yang tinggi dalam badan merosakkan sistem buah pinggang, tekanan darah tinggi, merosakkan mata dan juga sistem saraf. Seperti darah tinggi, kencing manis adalah penyakit pembunuh secara senyap. Saudara aku seorang doktor. Beliau ada Kencing Manis tapi tak pernah mengawal selera makannya. Kini beliau terpaksa menjalani dialisis buah pinggang selang sehari kerana kencing manis telah merosakkan buah pinggangnya.

Sekiranya anda suka sangat makan benda2 manis, beringat2lah. Kawal selera makan anda. Kawal berat badan anda. Jumpalah doktor anda jika anda mempunyai sejarah keluarga penyakit kencing manis kerana penyakit ini adalah penyakit keturunan. Ubat kencing manis tak mahal. Pemeriksaan gula dalam darah pun tak mahal. Janganlah mudah percaya kepada penjual2 ubat yang hanya memikirkan keuntungan semata2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan