Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

17 April 2009

Aku sebagai Pegawai Perubatan U3

Selepas setahun menjadi houseman (doktor pelatih) dan setahun lagi menjadi junior MO di Hospital Johor Bahru, akhirnya aku dapat berpindah ke hospital pilihanku iaitu hospital daerah di kampungku. Cita2 untuk berbakti kepada masyarakat setempat akhirnya tercapai. Aku ingat lagi masa interview nak masuk medik dulu, lecturer ada tanya sebab apa aku nak jadi doktor? Dengan bangganya aku jawab sebab nak berbakti kepada masyarakat sekeliling. Lecturer tu senyum sinis sebab itulah jawapan standard medical student masa tu. Macam soalan untuk Miss Universe jugaklah; kenapa nak jadi ratu cantik? Jawapannya untuk membantu keamanan dunia atau World Peace! Patutnya masa tu aku jawap sebab aku nak glamour, nak cepat kaya, nak pikat anak2 orang kaya yang cantik2. Biar termenung sekejap lecturer tu.

Hospital Daerah tempat aku bekerja ni adalah hospital baru. Rasanya baru 5 tahun beroperasi masa aku mula2 datang dulu. Masa tu tahun 1998. Kat hospital cuma ada 4 orang doktor termasuk aku. Hospital ni takda unit pesakit luar. Yang ada cuma Wad Lelaki, Wad Perempuan, Wad Kanak2, Wad Bersalin dan satu Unit Kecemasan. Setiap wad ada 28 katil dan setiap satu doktor kena jaga satu wad. Kerja di hospital daerah nampak mudah tapi stress giler sebab aku takda sapa2 nak back up kalau ada kes2 berat, kes2 emergency atau kes2 medikolegal. Semua tanggungjawab jatuh atas kepala aku. Hidup dan mati pesakit adalah tanggungjawab sepenuhnya doktor yang merawat. Di hospital daerah, tiada pakar rujuk. Segala masalah aku pikul dan selesaikan sendiri. Biasanya aku bincang dengan doktor2 yang lebih senior di hospital dan kalau tak boleh jugak, baru aku consult doktor pakar di hospital besar. Kalau kes mudah2 pun aku nak call MO atau pakar kat JB, memang tak pasal2 kena maki punya.

Nak tahu doktor tu bagus ke tidak, staf2 dan doktor2 lain boleh tengok cara kerja doktor tu masa kena on call 24 jam. Tengok carakerja dia masa tengah stress. Kalau hospital aman sentosa selama 24 jam tu, bermakna baguslah doktor tu. Tapi kalau kes2 emergency di Unit Kecemasan berlambak2 tak boleh settle, patient2 di wad ramai yang bertambah teruk, ambulans pulak asyik hantar/pindahkan kes2 bersalin ke hospital besar dan staf2 di wad dan ER asyik mengeluh je bermakna itu bukanlah satu petanda yang baik. Kalau staf hospital ramai yang senyum dan menarik nafas lega bila doktor sipulan bin sipulan yang on call, itu bermakna doktor itu seorang yang bagus, pandai menangani masalah, tidak panik, tidak kelam kabut, rajin datang ke hospital bila dipanggil dan tahu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kalau jenis doktor yang kurang professional, waktu on call selalu hilang. Telefon tak nak jawab. Dipanggil tak nak datang ataupun datang lambat. Tengok kes2 kecemasan lebih kurang je. Semua kes dimasukkan ke wad. Kritikal ke, tak kritikal semua pukul rata. Nak suruh doktor kat wad manage keesokkan harinya. Diagnosis tak pernahnya betul. Order investigation yang bukan2. Yang perlu x-ray, tak di x-ray. Yang perlu dirujuk terus ke hospital besar, masih disimpannya kat wad. Staf kat wad semua takut sebab tak tahu nak buat apa. Kalau patient mati, sister salahkan nurse. Takkanlah nurse nak tulis dalam report salahkan doktor pulak kan? Kalau doktor2 baru yang kurang pengalaman kena on call, nampak kes emergency terus hilang. Rupa2nya duduk bilik on call baca buku dulu.

Masa aku mula2 sampai dulu, aku kena jaga wad lelaki. Daripada mula lagi aku langsung tak pernah punch card walaupun pengarah hospital selalu bising2. Aku juga jarang pakai tie dan white-coat. Aku pakai simple aje. Hari aku tak on call, pukul 8.15 aku start ward round. Biasanya pukul 9 dah siap. Tulis report itu ini pukul 9.30 dah boleh pergi minum kat kantin. Pukul 10, aku tolong2 tengok kes kat Unit Kecemasan. Kalau tidak, aku duduk kat wad sambung buat kerja apa2 yang patut. Pukul 1 balik rumah dan rehat sampai pukul 2 petang. Petang buat ward round sekali lagi dan biasanya pukul 4.30 dah boleh balik tidur. Kalau hari aku kena on call, biasanya aku kena stay kat hospital sampai pukul 6. Aku kena jaga satu hospital termasuk bilik bersalin dan unit kecemasan. Pukul 6 aku balik rumah sekejap, pukul 8 malam aku pergi ke hospital semula. Biasanya selepas pukul 12 aku boleh tidur. Kadang2 aku tidur kat bilik on call dan kadang2 aku tidur kat rumah. Kalau nasib baik, sepanjang malam takda orang kacau aku. Kalau nasib tak baik, setiap jam kena kejutkan. Ada kes emergency di wadlah, di ERlah, di bilik bersalinlah dan sebagainya. Paling stress bila ada kes2 accident teruk ditengah malam buta atau ada problem di bilik bersalin. Kalau tak betul2, aku pun boleh mati kena heart attack.

Walaupun semalam aku kerja 24 jam, hari berikutnya aku masih dikira bekerja seperti biasa. Rutin hari2 biasa seperti biasa. Takda siapa tanya, aku cukup tidur ke tidak semalam. Yang penting hari berikutnya, aku boleh bekerja seperti biasa. Kalau 4 orang doktor bermakna setiap 3 hari aku kena on call 24 jam. Tak kira hari cuti ke, hari minggu ke, hari sabtu ke, jadual kerja tetap diteruskan. Masa itu on call hari biasa dikira 40 ringgit sehari dan hari minggu dan cuti am 80 ringgit sehari. Sebulan aku dapat ekstra 300 ringgit. Aku pernah buat kira2, gaji kerja di KFC lebih lumayan dari gaji masa on call hujung minggu.

Aku sebenarnya suka dengan kerja2 aku merawat pesakit. Kalau di wad, aku suka berbual2 dengan pesakit2 aku. Biasanya kalau yang dah biasa atau dah lama kat wad, tengok muka aje aku dah tahu sakitnya dan perkembangan kesihatannya. Keputusan2 ujian darah yang penting2, laporan x-ray dan CT scan, aku dah hafal dah. Aku suka melihat perkembangan pesakit2ku. Kalau masa masuk wad dulu tak boleh jalan, bila balik boleh berlenggang itu dah satu kepuasan bagiku. Semua pesakit wad aku, aku anggap sebagai tetamu. Aku layan mereka seperti sedara. Semua prosedur seperti ambil darah, set IV line, dressing dan sebagainya aku cuba buat sendiri kalau sempat. Aku tak suka mengharapkan nurse untuk buat itu ini. Kalau aku nak buat sesuatu prosedur, semua aku buat sendiri. Barang2 aku uruskan sendiri. Nurse semua hairan tengok aku. Pada aku bila semua aku buat sendiri, pesakit rasa dihargai. Doktor beri special attention kat dia. Jadi, lepas tu apa aku cakap, mereka senang nak ikut.

Selain pesakit, staf2 di wad semua aku layan sama rata. Tak semestinya atendant tu kasta rendah dan sister tu kasta atas. Semua aku anggap sama. Aku hormat mereka sebagaimana mereka hormat aku. Jadi bila kita mintak tolong, mereka ikhlas menolong dan bukannya seperti dipaksa2. Katakan patient nak bed pan, aku carikan bed pan. Aku tak terjerit2 panggil atendant untuk carikan bed pan. Semua ini aku belajar dengan Mr Saw, Pakar Urologi Kanan di Hospital JB. Dialah satu2nya pakar bedah yang sama2 bekerja dengan atendant mengangkat patient masa pembedahan.

Selepas beberapa bulan, aku mula menyesuaikan diri dengan kehidupanku. Aku dapat duduk di kuarters hospital yang terletak kira2 100m dari hospital. Sebagai Pegawai Perubatan U3, aku dapat duduk rumah Semi-D 5 bilik. Masa tu anak 2 orang. Kecik2 pulak tu. Jadi tingkat atas langsung tak pernah pakai. Bekerja di hospital yang kecil, aku dan hospital dah jadi seperti satu keluarga. Semua cerita2 tentang staf dan segala yang berlaku dalam hospital aku mesti tahu punya. Tapi hal2 biasa berlaku dalam organisasi ialah politik dalaman, gossip, fitnah, kawan makan kawan, tikam belakang, dsb. Itu semua aku tak ambik kisah. Aku jalankan kerja2 aku dan selagi korang semua tak kacau hidup aku, sudah.

Diam tak diam, hampir 6 tahun aku berkhidmat di hospital ini. Doktor sering bertukar2. Ada yang berhenti bukak klinik sendiri, ada yang mintak pindah ikut suami, ada yang pergi sambung belajar. Yang tinggal hanyalah aku dan 2 tahun terakhir di hospital itu, aku dah jadi doktor paling senior kat situ. Aku kena jadi ketua kepada doktor2 yang lain. Aku kena buat jadual on call, jadual klinik, jadual ke kempen derma darah dan bermacam2 lagi jadual tugasan. Aku juga kena jadi ketua macam2 unit di hospital. Unit Pendidikan Kesihatanlah, Unit Penyusuan Susu Ibulah, Unit Kaunseling, dsb. Aku juga kena memangku tugas2 pengarah hospital jika pengarah tiada di hospital. Memangku tugas2 pengarah adalah kerja2 yang paling aku benci sekali. Aku kena handle mesyuarat ketua2 unit, mesyuarat dengan unit penyelenggaraan, mesyuarat dengan pengarah negeri, mesyuarat di sana, mesyuarat di sini. Selain tu aku juga kena menghadiri bermacam2 kursus di sekitar negeri Johor dan kadang2 sampai ke Kuala Lumpur. Aku paling benci bermesyuarat. Aku lebih suka tengok dan merawat pesakit.

Di tahun2 terakhir aku di hospital, aku telah dilantik mengetuai Kelab Sukan dan Kesihatan Kakitangan hospital. Masa itulah aku berjaya melakukan perubahan dan pelbagai projek untuk memeriahkan hospital. Walaupun tanpa sokongan daripada pengarah yang asyik mengatakan itu ini semua tak boleh, aku buat Hari Keluarga hampir setiap tahun. Aku berjaya mengumpulkan kira2 30 keluarga staf hospital dan kami pergi bercuti sakan di Pantai Teluk Ramunia. Aku juga pernah menganjurkan Pertandingan Karaoke di hospital dan yang paling berjaya ialah Pesta Sukan antara unit dan pertandingan Mewarna untuk kanak2 pada tahun 2003.

Pesta sukan yang aku anjurkan aku buat macam pesta sukan kat sekolah. Unit2 dibahagikan kepada 4 kumpulan/rumah. Ada rumah Biru, rumah Merah, rumah Kuning dan rumah Hijau. Aku adakan perbarisan dan pertandingan menghias khemah. Masa tu aku rasa seperti budak2 semula. Semua orang sangat2 enjoy pada pagi itu. Masa pertandingan sukan, aku tak kisah siapa menang atau siapa kalah. Yang penting semua orang gembira. Pada petang itu, ada pertandingan mewarna untuk kanak2 anjuran bersama akhbar Utusan Malaysia. Pada petang itu, hospital penuh sesak dengan penyertaan hampir 600 kanak2. Setiap ruang kaki lima penuh dengan kanak2 dan ibu bapa mereka. Orang sakit sampai tak jumpa jalan nak ke unit kecemasan masa tu. Itulah projek paling giler, paling meriah dan paling happening pernah aku anjurkan. Aku katakan paling giler kerana aku cuma ada 10 orang AJK. Hampir 80% kerja2 termasuk mencari sumbangan aku yang uruskan. Sesungguhnya pengalaman semasa aktif di kampus dulu banyak membantuku.

Selepas kejayaan menganjurkan projek tersebut, keadaan hospital masih tak berubah. Pengarah hospital tetap seperti dulu. Langsung tak ambik kisah tentang rintihan doktor2nya. Dia tak kisah walaupun doktor tinggal 3 orang. Dia tak pernah datang membantu di wad atau di unit kecemasan. Dia juga tak nak buat on call walaupun ada arahan daripada pihak atasan. Kalau ada hal2 atau aduan tentang doktor, cepat2 dia call aku suruh uruskan. Dia suka ambik E.L kalau kena ganti tugasan doktor2 yang bercuti. Aku jugak yang kena cover kerja2 dia yang berlambak2. Bila aku dah jadi senior, aku mula berani melawan cakap pengarah dan ketua2 unit yang lain. Mana2 benda yang aku rasa salah, aku berani luahkan dalam mesyuarat. Bergaduh cakap dengan pengarah dah jadi normal bagi aku. Aku tak suka sikap dia yang mengambil mudah tentang semua perkara. Kalau ada apa2 masalah, dia diamkan dan berharap benda itu akan selesai sendiri atau hilang begitu sahaja.

Pada tahun 2003, aku mencatat satu sejarah. Walaupun asyik melawan pengarah, akulah satu2nya doktor biasa yang berjaya mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sepanjang 10 tahun hospital itu dibuka. Aku juga merupakan kakitangan paling muda berjaya meraih anugerah itu. Masa majlis penganugerahan, aku dipilih mengetuai upacara angkat sumpah. Aku satu2nya pekerja yang berumur kurang 35 tahun kerana yang lain2 semua dah hampir pencen dah. Memenangi APC bukan matlamatku tapi selepas itu, aku dah mula fed up dengan birokrasi bekerja dengan kerajaan.

Antara punca2 aku meletak jawatan sebelum tempoh 10 tahun perjanjianku dengan JPA ialah:

1. Aku tak suka melakukan kerja2 di pejabat. Semakin senior aku di hospital, semakin banyak paperwork aku kena buat. Aku juga kena anjurkan program2 untuk keceriaan hospital.

2. Aku tak suka disuruh menghadiri mesyuarat, taklimat, bengkel, dsb. Masa tu aku cuma ada satu kereta. Itupun wife aku pakai untuk ke sekolah dan menguruskan anak2. Ada ke patut, hospital hantar aku ke mesyuarat di hotel dengan van mayat. Balik dari mesyuarat pun van mayat yang tunggu.

3. Ubat2an yang aku nak gunakan kepada pesakit aku dihadkan. Aku tidak dibenarkan menggunakan ubat2 yang mahal atau standard bagus sikit. Asyik2 Penicilin aje. Pengarah tak nak benarkan kerana budget terhad katanya.

4. Campurtangan ahli2 politik terutamanya ahli2 lembaga pelawat memualkanku. Mereka seperti ada kuasa untuk mengarahkan aku masukkan pesakit ke wad, pindahkan pesakit ke hospital besar, suruh aku buat post mortem tengah2 malam buta, dsbnya.

5. Pengarah hospital yang tidak mahu menjaga kebajikan doktor2nya. Masalah2 yang diajukan kepadanya langsung tak pernah selesai. Masalah kuarters yang bocor, masalah kecurian (aku hilang motorsikal aku masa aku balik on call), masalah bilik on call, masalah beban kerja dsbnya rasanya masih tang tu jugak masa aku letak jawatan.

6. Pejabat pengarah kesihatan negeri asyik nak keluarkan aku dari hospital. Mereka tak suka aku duduk lama2 di sini. Setiap kali JB ada lebihan doktor, aku mesti dengar rumour tentang doktor paling senior kena pindah ke JB.

7. Doktor2 dan pakar2 di JB semakin cerewet bila aku nak rujuk pesakit kepada mereka. Mereka sering ingat aku tak buat kerja dan suka2 aje rujuk pesakit kepada mereka.

8. Minat aku terhadap kerja2 harian di hospital semakin kurang. Semuanya menjadi terlalu rutin dan klise. Apatahlagi bila melayan pesakit2 yang cerewet yang ingat aku ni kuli dia. Perangai beberapa staf dan ketua unit juga semakin menjengkelkan.

9. Aku dah tak tahan kena on call selang 3 hari. Aku dah tak sanggup nak bangun pukul 3 atau 4 pagi untuk menyambut kelahiran bayi bermasalah di bilik bersalin. Aku juga dah bosan merawat kes2 kemalangan jalanraya tengah2 malam buta. Kes2 mabuk, merempit, bergaduh, minum racun, sawan, dsbnya dah tak menarik minatku seperti mana aku mula2 bekerja dulu.

10. Bukan duit jadi puncanya. Aku dah dapat pergerakan gaji menegak sebelum aku berhenti kerja. Aku juga banyak dapat pendapatan sampingan seperti buat laporan perubatan dan menjual fiberglass.

Aku tak menyesal berhenti kerja dengan kerajaan walaupun kawan sebaya denganku kini dah jadi pengarah hospital. Rasanya sepanjang hampir 8 tahun bekerja dengan kerajaan, aku dah merasa segala2nya. Saat2 pahit kena marah dengan pakar, kena jerit dengan Dr Hooi, motorsikal pancit, jatuh motor, kena hujan masa pergi kerja, tertidur dalam tandas bilik OT, bersahur dengan air kosong, berbuka dalam kereta, kena maki dengan waris pesakit, dsbnya mendewasakanku.

Tapi saat2 manis menyelamatkan nyawa pesakit, menyambut kelahiran songsang, melakukan forcep delivery dan merawat orang2 kampung yang aku kenal masa kecik2 dulu memang tak boleh kulupa. Melihat riak kegembiraan di wajah mereka selepas mendapat rawatan daripadaku cukup untuk membuatkanku tidur lena sepanjang malam. Walaupun kadang2 ada yang menghantar hamper, menghantar durian dan rambutan, membelanjaku makan di kantin, aku tak mintak semua itu.

Akan datang: Kenapa aku tak sambung belajar jadi pakar bedah tulang?

5 ulasan:

  1. Salam doktor.

    Yang dimaksudkan di sini hospital kulai kan? Agaknya adakah hospital ni sekarang bertambah baik? Pengarah masih sama?

    BalasPadam
  2. Saya tak nak jawab soalan tu boleh?
    You agak2 ajelah ye?
    Pengarah hospital Dah tukar.
    Doktor Dah makin ramai.
    Staf Dah makin ramai.
    Servis masih tang tu jugaklah.

    BalasPadam
  3. Ok maybe saya perlu datang sendiri ke situ. Tahun depan insyaAllah saya kerja kat Panasonic senai, mana tau doktor pun panelis kilang saya.

    Teruskan menulis. Saya suka membaca.

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum... Saya ingin bertanya, hospital ini ada unit ENT (Ear, nose & throut) x? kalau hendak buat operation di sana ada pakar ke? dan apa ye prosedurnya? minta jasa baik dktor untuk reply di masalbia@yahoo.com terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tiada pakar ENT dihospital ini.
      Pakar ENT hanya ada di Hospital HSA JB
      dan di Hospital Pandan sana.

      Terima kasih bertanya.

      Padam