Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

06 Mei 2009

Aku Sayang Ibuku


9hb Mei ini adalah harijadi ibuku yang ke 56 tahun. Hujung minggu ini juga adalah Hari Ibu. Jadi sempena Hari Ibu ni aku nak cerita pasal ibuku. Ibuku adalah manusia paling istimewa dalam hidupku kerana dialah yang telah melahirkan, membesarkan, memberi didikan dan seterusnya menjadikan aku seorang manusia seperti sekarang. Walaupun aku telah 38 tahun mengenali ibuku, banyak hal2 peribadi dan sejarah silam ibuku yang aku tak ketahui sampai sekarang. Ianya mungkin akan kekal menjadi rahsia yang akan tetap disimpan hingga ke akhir hayat beliau.

Yang aku tahu, ibuku tidak dilahirkan di atas tikar emas. Ibuku hidup serba daif semasa kecilnya. Beliau selalu bercerita bagaimana susahnya beliau ingin bersekolah seperti kanak2 lain. Arwah atuk tidak membenarkannya bersekolah kerana pada pendapatnya perempuan tak perlu belajar tinggi2. Duduk rumah beranak aje katanya. Ibuku hanya sempat belajar sehingga darjah 5 kalau tak silap aku sebelum terpaksa bekerja membantu arwah nenek di kebun. Banyak rahsia ibu yang tetap menjadi rahsia. Ibu juga tidak mahu bercerita bagaimana dia mengenali dan seterusnya berkahwin dengan ayahku. Mungkin terlalu perit untuk diingati semula agaknya.

Seingat aku, semasa aku lahir ibu dan ayah telah ada rumah sendiri di kampung Parit Hj Yaakub, Batu 17 1/2, Ayer Hitam, Muar. Di kampung itulah ibu dan ayah cuba membesarkanku dan kakakku sebelum akhirnya mereka berpindah ke Kulai pada tahun 1980. Aku masih tak pasti kenapa ayah sanggup menjual tanah dan rumah itu semata2 kerana hendak berpindah ke Kulai. Yang pastinya, ibuku tidak pernah berhenti bekerja membanting tulang untuk membesarkan aku dan kakakku. Semasa di kampung, kalau ayah berkebun nanas, ibu ikut sama. Kalau ayah menoreh getah, ibu pun sama. Ibu tak pernahnya duduk goyang kaki. Masa aku kecil2 dulu, ibuku selalu sahaja jatuh sakit. Sakit yang pelik2 sebab ayah tak pernah bawa ibu berubat di hospital. Maksudnya sakit yang melibatkan hal2 yang mistik agaknya. Ada orang menuduh ibu merampas ayah daripada orang lain kerana ayah ada isteri lain sebelum berkahwin dengan ibu. Hal2 mistik ni aku memang kurang setuju sangatlah tapi itulah kenyataannya.

Masa di Kulai, ibu juga tak henti2 bekerja. Kalau ayah pergi potong buah kelapa sawit, ibu menguruskan hal2 rumah tangga. Ibu juga ada membuat kuih untuk dihantar ke warung setiap pagi. Atas desakan hidup, ibu mula bekerja kongsi-kong iaitu bekerja diladang kelapa sawit. Pagi2 lagi ibu dah bersiap nak ke ladang. Membaja, meracun, merumput dan pukul 3 petang baru balik. Sampai di rumah ibu sambung lagi buat kerja2 rumah tangga seperti biasa. Ibu jarang berehat kerana kerja2 rumah memang tak pernahnya habis. Masa tu kami sekeluarga tinggal menumpang di rumah pakcik. Lebih 5 tahun kami hidup menumpang sebelum berpindah ke rumah kuarters tempat ibu bekerja. Maklumlah hidup menumpang. Banyak yang tak seronok banding yang seronok. Aku malas nak ingat dah.

Kalau tak kerana ibu, aku takkan merasa hidup di rumah sendiri. Nak harapkan ayah, jangan mimpilah. Ayah hanya fikir hidup untuk hari ini sahaja. Masa depan langsung tak difikirkan. Banyak sifat2 ibu yang baik menurun kepadaku. Melihat kesusahan hidup ibuku membuatkan aku sentiasa cekal dan jarang putus asa. Walaupun ramai yang mencebik kat ibu bila aku jadi Best Student SRP 1986, bila aku dapat masuk asrama penuh di Kluang, bila aku dapat masuk Universiti Malaya dan seterusnya dapat jadi doktor seperti sekarang ibu tak pernah memulangkan balik paku buah keras kepada mereka2 ini. Malah ibu semakin kuat bekerja untuk membantuku meneruskan pelajaranku. Ibu juga tak pernah bercerita dengan orang2 kampung tentang anaknya ini. Dia langsung tak nak menunjuk2 seperti orang lain. Anak dapat kerja bank, dikatakan dapat jadi manager. Padahal jadi teller aje.

Sepanjang usiaku, ibu tak pernah menyuruh aku belajar ke, bukak buku ke, buat kerja rumah ke. Seperti adik2 yang lain juga ibu hanya berpesan; "Kalau nak hidup senang dan mewah, belajarlah sungguh2. Tapi kalau nak rasa hidup susah macam ibu, ikutlah macam abah kau ye? Tak payah fikir pasal masa depan." Walau sesusah mana ibu, ibu tak pernah mengeluh depan aku. Walau takda duit pun, ibu tetap kata ada kalau aku kata aku kesempitan wang. Ibuku bekerja dengan gaji 500 ringgit sebulan. Dengan duit itulah ibu dapat membesarkanku adik-beradik, membiayai pembelajaranku semasa di Kuala Lumpur dan pada masa yang sama juga boleh membeli sebuah rumah kos rendah untuk dirinya . Semuanya tanpa pertolongan daripada sesiapa. Itulah pengorbanan ibuku yang takkan kulupa sampai akhir hayat nanti.

Genap setahun yang lepas, ibu dapat mengeluarkan duit KWSP dia. Walaupun tak sebanyak mana, ibu tetap nak bahagi2kan kat anak2, menantu2 dan cucu2nya. Dia kata biar semua dapat rasa katanya. Selepas ibu pencen dari kerja di Makmal Felda, ibu mula belajar buat katering. Ibuku memang pandai memasak. Kalau kat kampung, lauk-pauk ibuku memang takda siapa yang boleh lawan. Sekali orang tempah lauk dengan ibuku, lepas tu mereka memang tak nak cari orang lain punya. Aku ada cakap suruh ibu berehat sahaja tapi dia tak mahu. Dia masih nak cari duit sendiri.

Selepas aku mula bekerja dan seterusnya mempunyai keluarga sendiri, aku semakin jauh daripada ibu. Kesibukan bekerja dan mengurus kehidupan sendiri menyebabkan aku kadang2 terlupa akan ibu. Sesekali kalau aku ada masalah ke, tension ke, aku akan telefon ibuku. Bila dapat dengar suara ibu, hilang terus perasaan gundah gulanaku. Itulah ibuku.

Aku bersyukur, walaupun ibu sering sakit2 lutut, ibuku tiada penyakit yang berat2. Kencing manis ke, jantung ke, darah tinggi ke, semuanya masih jauh lagi. Masa ibu pergi ke Mekah 5 tahun lepas, ibuku berjaya melalui segala2nya tanpa masalah. Walaupun abah buat perangai masa kat sana, ibu tetap cekal. Aku ingat lagi bila aku mula2 nampak ibu turun daripada kapal terbang. Cepat2 aku panggil ibu dan ibu pelukku cukup lama. Seolah2 dah bertahun tak berjumpa.

Aku tak pernah diajar untuk menyambut Hari Ibu. Aku juga tak pernah menunjukkan sayangku terhadap ibuku. Aku tak pernah belikan apa2 hadiah untuk ibuku. Ibu pun tak pernahnya meminta itu ini daripadaku. Aku ajak ibu jumpa doktor pasal lutut dia pun dia asyik bertangguh. Takut agaknya kena operate. Aku tahu, aku sayang ibu. Ibu juga sayang padaku. Ibu juga sayang pada adik-beradikku yang lain. Aku berdoa semoga ibuku kekal sihat dan dipanjangkan umur untuk terus berbakti kepada anak2 dan cucu2nya.

Mungkin tiada hadiah istimewa untuknya pada harijadinya nanti. Tapi dalam hati aku sentiasa berdoa semoga ibu sihat sentiasa dan dapat terus melihat anak2nya mengembang dan cucu2nya membesar. Aku ada bercita2 nak bawak ibu pergi melancong tetapi keadaan abah yang tak suka jalan jauh2 membantutkan rancanganku.

Selamat menyambut Hari Ibu!

2 ulasan:

  1. Nenek, ayah dan mak mertua saya pakai acustop cataplasma. Alhamdulillah, kurang sikit sakit lutut/pinggang.

    BalasPadam
  2. sementara mak abah ada, kita cubala membahagiakan dia seadanya...

    BalasPadam