Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

10 Jun 2009

Aku sebagai General Practitioner

Pada 1hb tujuh nanti, genaplah 12 tahun aku menjadi seorang doktor bertauliah. Satu kerjaya yang aku cita2kan semenjak kecik lagi. Masuk tahun ini pulak, dah 7 tahun aku bekerja sendiri di klinik sendiri ataupun istilah sainsnya menjadi G.P ( General Practitioner ). Ramai orang beranggapan cukup mudah jadi G.P ni. Asyik kira duit aje hari2. Kerjanya duduk2, cakap2 dengan pesakit, tulis ubat, tulis MC lepas tu charged 20-30 ringgit untuk kerja yang tak sampai pun 10 minit. Tapi adakah itu realitinya? Ini yang aku nak cerita...

Kalau mengikut ranking, doktor swasta terletak paling bawah sekali dalam carta. Dulu doktor merupakan satu kerjaya yang sungguh murni dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Kini tak lagi. G.P/Doktor swasta biasanya digambarkan seorang yang boleh dijual beli dengan duit. Ada duit semua jadi. Mereka dikatakan hanya nampak duit sahaja sehinggakan segala benda boleh dijadikan duit. MC boleh jadi duit, ubat batuk boleh jadi duit, ubat tidur boleh jadi duit dan perempuan terlanjur pun boleh jadi duit.

Dalam 8 orang sahabat karib masa aku student dulu, hanya aku sorang yang tak jadi doktor pakar. Yang lain2 semua jadi pakar bedah usus, bedah mata, bedah hidung, bedah tulang dan sebagainya. Hanya aku seorang yang malas nak baca buku, nak kena pergi tutorial, buat presentation, buat thesis dan malas nak menghadapi saat2 menjawap peperiksaan semula. Yang lain2 walaupun ada yang sangkut beberapa kali, semuanya telah menjadi doktor pakar, Pakar Perunding Kanan, Ketua Jabatan dan bergaji berbelas ribu di hospital2 kerajaan sekarang. Kalau mereka lari ke hospital swasta, gaji mereka tentunya berpuluh2 ribu sebulan. Ramai yang bertanya kenapa aku tak sambung belajar? Inilah soalan yang agak susah aku nak jawab. Tapi kalau ada yang kata sebab aku nak kaya cepat, itu fitnah namanya.

Mungkin bukan rezeki aku agaknya. Selepas 3 tahun jadi Pegawai Perubatan dan disahkan dalam jawatan, aku masih tak tahu bidang apa yang aku minat. Aku tak suka masuk dewan bedah sebab sejuk sangat. Aku tak suka bidang Sakit Puan sebab kerjanya stress giler. Aku tak suka bidang Perubatan atau Kanak2 sebab kena baca buku banyak. Aku tak suka bidang Mata, Telinga, Hidung atau Kepala sebab terlalu fokus kepada satu part anatomi sahaja. Aku nak bahagian yang boleh bercakap2 dengan patient selalu dan tak perlu masuk bilik bedah. Maknanya tinggal 2 bidang iaitu jadi Pakar Kesihatan Keluarga atau Pakar Sakit Jiwa. Pakar Jiwa memang out sebab aku tak suka kawan dengan orang gila. Pakar Kesihatan Keluarga ini biasanya dimonopoli oleh doktor2 wanita sebab kerjanya waktu pejabat sahaja dan bila dah grad nanti kerjanya di Unit2 Pesakit Luar ataupun Pejabat2 Kesihatan Daerah. Kadar drop out untuk doktor2 lelaki adalah tinggi kerana assignmentnya sangat banyak. Pakar2 Kesihatan Keluarga biasanya akan kekal di kerajaan sehingga pencen dan akhirnya kena buat kerja2 pentadiran. Itulah yang aku tak nak. Maka akhirnya, jalan ini yang aku pilih. Menjadi doktor cabuk sehingga ke akhir hayatku.

Persediaan untuk membuka bisnes sendiri memerlukan perancangan yang betul. Bukan setakat keluar modal dan gantung signboard sahaja. Masa aku semakin tension kerja dengan kerajaan, aku mula mencari tapak yang sesuai untuk membuka klinik sendiri. Aku ada dapat offer daripada satu rangkaian klinik untuk jadi resident MO dengan gaji permulaan sekali ganda daripada gaji aku sekarang. Aku kena kerja 8 jam sehari, 26 hari sebulan. Ada KWSP dan jika aku kerja lebih daripada 8 jam sehari, itu dikira overtime dengan rate 30 ringgit sejam. Setiap tahun gaji naik 500 ringgit dan aku layak untuk cuti tahunan 15 hari setahun. Aku tolak tawaran itu kerana tempat kerja aku tidak tetap dan aku masih ibarat kerja makan gaji dan tiada kuasa mutlak dalam menentukan perjalanan klinik. Aku kena sain agrement selama 5 tahun dan selepas 5 tahun, jika aku nak bukak klinik, aku tidak boleh bukak klinik sendiri dalam lingkungan 10km daripada rangkaian klinik mereka yang sedia ada.

Aku ada cadangan untuk bukak klinik sendiri, guna nama sendiri dan segala2nya aku uruskan sendiri seperti yang dibuat oleh abang ipar aku. Ini memerlukan modal yang besar dan aku kena usaha sendiri untuk mendapatkan panel klinik. Aku kena bermula daripada kosong dan seterusnya segala keuntungan klinik aku punya. Masa itu, modal aku tak cukup lagi dan aku tak pandai nak buat loan kat mana2 bank. Abang ipar aku ada offer nak tolong set up bisnes untuk aku tetapi aku masih was-was. Tak yakin dengan diri sendiri lagi.

Entah macamana, aku dapat satu lagi offer daripada rangkaian klinik yang aku selalu buat locum. Mereka dah ada bangunan sendiri dan bercadang nak buat cawangan baru kerana klinik yang sedia ada dah tak boleh nak tampung bilangan pesakit yang semakin meningkat. Walaupun gaji yang dioffer kat aku tak sebesar yang klinik lain offer, mereka beri aku satu klinik untuk aku manage sendiri. Mereka beri aku profit sharing dan gaji bulan. Tapi takda KWSP dan waktu kerja aku, aku aturkan sendiri. Aku tak payah keluarkan modal apa2. Rangkaian klinik ini memang terkenal di daerah ini dan ownernya dah jadi ahli politik masa itu. Mereka juga turut menjadi panel kepada kebanyakan kilang dan badan2 berkanun sekitar daerah ini. Selepas seminggu berfikir, aku terima tawaran mereka. Aku menghantar surat memohon cuti tanpa gaji selama 6 bulan bermula Januari 2003 dan pada Februari 2003, klinik aku memulakan operasinya dengan 2 orang pekerja dan peralatan/ubatan yang mereka sediakan.

Aku ingat lagi, hari pertama klinik aku dibuka, aku hanya didatangi oleh 2 orang pesakit sahaja. Hari2 berikutnya, sekitar 2-7 orang sehari dan cukup sebulan, jumlah pesakit aku cuma 187 orang sahaja. Kebanyakkan masa aku isi dengan main PS1 ataupun buat jigsaw puzzle. Masa tu telefon line belum ada, komputer jauh sekalilah. Walaupun klinik perlahan dan sejuk masa itu, aku tak risau sangat sebab aku ada gaji bulan. Aku ada tempat untuk bergayut kalau ada apa2 berlaku. Namun begitu, setiap hari; siang dan malam aku berdoa dan berserah kepada Allah semoga murah rezekiku.

Masuk bulan ke 2, pesakit aku dah mula bertambah. Sekitar 15 orang sehari. Dan bulan2 berikutnya aku dah tak kisah dah berapa orang pesakit aku sehari. Aku tiada formula khas untuk mengekalkan pesakit2 supaya datang ke klinik aku. Aku juga takda ilmu2 atau ayat2 yang aku amalkan untuk menggalakkan pesakit supaya datang ke klinik aku. Aku hanya percaya kepada Allah dan diri aku sendiri. Sekarang ini, pesakit aku tak kurang 50 orang sehari dan rekod yang aku pegang setakat hari ini ialah 114 pesakit sehari. Macam nak demam aku dibuatnya keesokkan harinya.

Bukan senang untuk mengekalkan pencapaian dan prestasi klinik sepanjang 7 tahun ini. Setakat ini, aku belum pernah tersalah beri ubat, belum ada komplen2 yang menyakitkan telinga, belum ada pihak2 yang mengadu klinik aku jual MC, jual ubat batuk, jual ubat tidur, jual surat2 akuan dan sebagainya. Aku tak pernah berkira pasal duit atau charges terhadap pesakit2 aku. Target income bulanan aku rendah dan aku layan semua pesakit seperti sedara sendiri tak kira apa bangsa sekalipun. Niat dihati hanyalah untuk berbakti kepada masyarakat sekeliling disamping hidup selesa dunia dan akhirat. Aku tak pandai berniaga atau berpolitik. Aku tidak pernah menyimpan niat untuk kaya cepat atau mengumpul harta dunia sebanyak mungkin.

Aku suka dengan kerja2ku. Berjumpa, bercakap, memeriksa, memberi penerangan dan nasihat kepada pesakit2 aku. Aku suka merawat orang tua dan kanak2 sebab mereka memang betul2 sakit. Aku tak suka merawat pesakit umur 20-40 an kerana mereka lebih mementingkan MC berbanding rawatan yang aku berikan. Selepas 12 tahun merawat pesakit, aku dah masak sangat dengan karenah manusia. Biasanya tengok muka aje aku dah boleh agak dah penyakitnya. Aku suka jumpa pesakit2 yang dah biasa aku jumpa. Kadang2 tak sampai 5 minit dah siap semuanya. Aku dah tak takut mereka akan lari cari doktor lain sebab mereka dah biasa sangat dengan aku. Kalau pesakit2 baru, semua soalan daripada A hingga Z aku tanya. Macam detektif gitu. Apatahlagi jika pesakit tu dah sakit beberapa lama dan dah banyak klinik mereka pergi. Prof aku pernah cakap, doktor yang bagus ialah yang doktor yang boleh mendiagnosis penyakit hanya dengan bercakap2 dengan pesakit. Pemeriksaan fizikal, ujian darah atau x-ray hanya menyokong atau mengesahkan diagnosis tersebut.

Masalahnya sekarang ialah aku dah jemu menghadap pesakit setiap hari. Daripada 9 pagi hingga 10 malam, itulah kerjaku. Pagi, petang dan malam tak habis2 dengan pesakit. Satu pesakit membawa 1001 macam masalah. Kalau sehari 50 pesakit? Kalau sebulan? Kadang2 aku rasa macam nak lari keluar aje dari klinik bila pesakit tak putus2 datang ke klinik aku. Apatahlagi kalau pagi2 hari isnin klinik penuh dengan muka2 yang nak ambik MC. Rasa nak tampar muka mereka sorang sekali. Puas hati aku. Tapi apakan daya. Aku kena act professional walaupun dalam hati, hanya Allah sahaja yang tahu.

Satu lagi masalah jadi G.P ialah aku susah nak bercuti. Dalam jadual harianku, memang takda cuti punya. Cuti tahun jauh sekalilah. Kalau aku cuti, klinik tutup. Klinik tutup, income tak masuk. Income tak masuk, budget lari. Aku boleh cari doktor lain untuk ganti tempat aku tapi bukan senang nak cari doktor locum untuk ganti tempat aku. Aku kena cari yang betul2 boleh bekerja dan bukan setakat jadi kerani prescribe ubat dan sain MC sahaja. Beberapa tahun dulu, aku ada satu doktor yang aku boleh percayai untuk cover tempat aku kalau aku takda. La ni dia dah bukak klinik sendiri. Doktor2 baru yang aku tak kenal aku tak benarkan buat locum kat klinik aku. Maaf sebab aku cerewet sikit. Pada aku lebih baik aku tutup kedai daripada suruh doktor2 baru jaga klinik aku.

Bila aku selalu tutup klinik terutama kalau hari2 cuti umum ataupun cuti sekolah, ramai pesakit merungut dan mengadu kat aku. Biasanya aku pekakkan telinga aje. Aku pun manusia jugak. Aku pun nak rehat, nak jalan2 makan angin jugak. Takkanlah aku kena bukak klinik hari2 sepanjang tahun? Kebelakangan ini kalau aku rasa nak cuti panjang (setahun sekali dua je) aku tampal notis awal2. Jadi pesakit2 yang biasa dengan aku boleh simpan stok ubat sikit sementara aku bercuti. Mana2 yang terlepas pandang atau tak tahu, siaplah telinga aku mendengar bebelan mereka masa aku naik cuti nanti.

Berbanding dengan kerja dengan oranglain, jadi G.P banyak kelebihannya:
1. Aku jadi boss, director, manager, clerk, kuli dan segalanya untuk klinik aku sendiri.
2. Aku boleh beli apa2 ubat yang aku nak.
3. Aku boleh charge patient ikut suka hati aku.
4. Aku boleh buat surgery ikut jadual kerja aku.
5. Aku boleh tutup klinik ikut suka hati aku.
6. Aku boleh beli peralatan klinik ikut budget aku.
7. Aku boleh marah staf klinik ikut mood aku.
8. Aku boleh bawak anak2 duduk klinik kalau wife aku sibuk.
9. Aku ada pesakit2 aku sendiri yang kebanyakkannya aku kenal daripada zaman bujang sampai beranak-pinak.

Kerjaya doktor adalah satu pekerjaan yang murni. Kalau ada anak2 yang berminat nak jadi doktor, biarkanlah. Tapi kalau mereka tak minat, janganlah paksa mereka. Banyak sangat pengorbanan masa dan tenaga diperlukan. Aku tak tahu sampai bila aku boleh bertahan. Mungkin bila umur 45 tahun nanti, aku nak berhenti jadi doktor. Aku nak try buat benda lain pulak. Takpun aku kerja 9 pagi sampai 5 petang sahaja. Malam aku nak rehat. Harap2 pesakit2 aku akan faham.

Macam aku cakap tadi, aku bukan mengejar harta dunia yang berjuta. Aku mengejar keredhaan dan keberkatan hidup dunia dan akhirat.

2 ulasan:

  1. Tahniah Doc, 'perkongsian' yang dijalankan sekarang rasanya menurut lunas-lunas yang digalakkan Islam.

    Kadang-kadang memang ada rasa kebosanan juga macam doc. Setan menghasut tu. Kerja adalah ibadah.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum. Bolehke kalau saya nak minta pendapat? Sejujurnya, apa pendapat Doc kalau perempuan jadi doktor? Apa kesannya kepada keluarga? Lebih-lebih lagi apabila suami bukan doktor. Bukan apa.. Apa yang saya perhatikan, kebiasaannya, suami yang doktor dan isteri bukan doktor.. Ataupun kedua-duanya merupakan doktor. Apa pendapat Doc, kalau isteri merupakan seorang doktor?

    BalasPadam