Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

09 Ogos 2009

Aku dan Keluar Daripada Kemiskinan

Dua malam lepas, aku tertengok rancangan Sketsa Jakarta di Astro Awani. Rencana mengenai kehidupan rakyat2 miskin dan terpinggir di kota besar Jakarta. Ianya cukup menyentuh perasaan. Ianya juga cukup menginsafkan. Ada satu nenek berumur 75 tahun. Walaupun dah sepatutnya pencen, dia masih bekerja sebagai pengopek bawang di pasar. Walaupun bekerja lebih 12 jam sehari, pendapatannya cuma sekitar 10-15 ringgit sehari. Hidupnya ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Dia telah bekerja sebagai pengopek bawang selama 15 tahun tetapi langsung tiada mempunyai harta. Dia hanya mampu menyewa bilik kecil tanpa kemudahan asas di kawasan setinggan di belakang pasar tersebut. Rasanya saat kematiannya nanti, tiada siapa yang akan peduli.

Dipaparkan juga kehidupan seorang wanita berumur sekitar 40 an. Kehidupannya hanya sekitar tempat dia menjaja sayur2an di tepi rel kereta api. 'Kedai'nya adalah rumahnya kerana disitu jugalah dia tidur, makan dan melakukan aktiviti2 hariannya. Setiap kali kereta api lalu, debu2 berterbangan ke arah kedainya. Walaupun kedainya telah banyak kali diroboh oleh pihak berkuasa, dia akan membinanya semula kerana rasanya tiada tempat lain dia nak pergi. Suaminya pula bekerja dengan mengumpul barang2 buangan untuk dikitar semula. Segala2nya kelihatan berselerak, kotor dan jijik tetapi mereka dah lali agaknya.

Ditunjukkan juga keadaan perumahan setinggan yang didiami oleh puluhan ribu warga kota. Rumah2 mereka seperti budak2 main pondok2; sekadar ada bumbung dan dinding sahaja. Tak kira kayu ke, kadbod ke, plastik ke. Janji boleh buat berlindung daripada panas dan ada tempat untuk tidur di malam hari. Sungai yang mengalir walaupun dah bertukar warna, masih digunakan untuk mandi, basuh pakaian, sumber air minuman dan juga sebagai jamban dan tempat pembuangan sampah sarap. Wanita2 di situ kelihatan sangat rajin bekerja termasuk menjaja kuih dan membuka gerai. Lelaki2nya pula hanya duduk2, sembang2 sambil menghisap kretek. Anak2 dibiarkan bermain tanpa kawalan. Pelajaran dan didikan formal jauh sekalilah.

Kemiskinan adalah satu penyakit sosial yang perlu ditangani secara jujur dan berterusan. Kemiskinan membawa kepada jenayah kerana manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk terus hidup. Mencuri, meragut, merompak malah membunuh juga sanggup jika perut dah lapar. Kemiskinan membawa kepada krisis dalam masyarakat termasuk bilangan anak yang ramai dan tidak berpelajaran. Pada aku, hanya ilmu dan pelajaran yang boleh membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan tersebut.

Betapa bersyukurnya aku dilahirkan di bumi Malaysia yang cukup dengan segala2nya. Walaupun aku dilahirkan dalam suasana serba kekurangan, kini aku telah mendapat segala2nya. Aku lahir bukan terus duduk dalam 'dulang emas'. Semasa aku dilahirkan, aku hanya ada tanah untuk dipijak dan udara untuk disedut. Selebihnya aku kena usaha sendiri untuk mendapatkannya.

Adik beradik aku 5 orang. Aku bukannya anak kesayangan. Emak dan abah beri peluang sama rata kepada semua anak2nya. Namun, hanya aku seorang yang berjaya masuk sekolah asrama penuh, masuk universiti, bekerja dengan kerajaan dan seterusnya menjadi seperti sekarang. Rasanya peluang yang diberikan kepada adik-beradik aku sama sahaja. Hanya berani ke tidak nak menyahut cabaran dan mengambil peluang. Kalau esok nak periksa SPM dan malamnya masih sibuk tengok drama swasta kat tv, macamana nak berjaya? Kalau orang lain sibuk baca buku dan buat kerja sekolah, kau pula sibuk dengan majalah URTV dan menulis cerpen apa kejadahnya? Ketika orang lain sibuk isi borang nak sambung belajar, kau pula sibuk nak kahwin dan cadang nak kerja kilang lepas tu. Lepas tu bising2 kata emak pilih kasih pulak.

Hidup ini perlukan cita2 dan angan2. Jangan hanya berharap rezeki akan turun daripada langit atau keluar daripada perut bumi. Kita kena usahakan. Aku tak percaya pada 'cable', pada sokongan ahli politik, pada 'kenal orang dalam'. Aku hanya percaya kepada diriku sendiri dan Allah Yang Maha Kuasa. Selagi kita berusaha, selagi itulah Allah akan membantu kita. Tak perlu ada kabel besar, tak perlu kenal orang itu ini, tak perlu surat sokongan sana sini. Yang perlu ialah usaha dan percaya pada kebolehan diri sendiri. Aku ingat lagi ada orang ketawakan aku bila aku kata aku nak masuk UM. Bahasa Inggeris pun cukup2 makan aje, ada hati nak masuk UM? Aku ingat lagi orang itu. Terima kasihlah kerana mencabar aku.

Aku tak suka kepada mereka2 yang hanya menyerahkan nasib kepada takdir. Hidup ala kadar dan seadanya tak patut dijadikan pegangan hidup. Aku bukan mahu memburuk2kan sedara-maraku. Tetapi mereka seolah2 malas nak berusaha. 20 tahun berkahwin, rumahnya tak pernah berubah. Perabot dan alat2 elektrik kat rumah langsung tak pernah tukar. Apatahlagi benda2 lain. Ada juga yang sibuk sangat berpolitik. Setakat SRP sahaja, lama2 dalam politik apa dapatnya? Setakat jadi pak turut bolehlah. Lepas tu berangan2 nak dapat tanah lot atau tanah kurnia. Mesyuarat sana sini. Apa hasilnya? Lebih baik belajar kemahiran menjahit ke, memasak ke, ada juga faedahnya.

Aku masih ingat masa aku pergi bercuti di Port Dickson. Malam tu aku pergi ke pasar malam. Aku dan wife terjumpa satu nenek berumur lebih 70 tahun. Dia sedang menjual sayur2an kampung yang dikutip sekeliling rumahnya. Wife aku jadi sebak bila kami bertanya hal perbadi nenek tu. Dia kata takda anak. Hidup sekadar menumpang di tanah orang. Aku rasa kehidupannya sama seperti nenek yang kat Indonesia tu. Wife aku mintak maaf sebab tak dapat nak beli jualan nenek tu. Aku tak percaya dia takda anak. Mungkin anak2 dah buang dia agaknya.

Aku pernah hidup miskin dulu. Aku pernah hidup susah. Aku pernah menolong arwah nenek menjaja tempe di sekitar kampung. Aku pernah makan nasik lauk garam kerana abah lambat balik beli kicap. Aku harap anak2ku takkan mengalami nasib yang sama. Aku tak berikan mereka kemewahan. Aku hanya berikan mereka kehidupan yang selesa dan pendidikan yang sempurna. Aku cukup berterima kasih pada emak yang menolong memberi pelajaran yang cukup kepadaku. Sesungguhnya hanya ilmu dan pelajaran yang dapat mengelakkan diri daripada terus dibelenggu kemiskinan.

Keluar daripada kemiskinan adalah satu jihad!

1 ulasan: