Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

26 Januari 2010

Aku dan Minggu Berkabung

Sebagai anak jati Johor, aku sayangkan rajaku. Walaupun banyak cerita2 negatif disebarkan mengenai Almarhum Baginda Sultan Iskandar, aku tetap sayangkannya. Kemangkatannya memang satu kehilangan kepada negeri Johor. Tanpanya, negeri Johor takkan aman makmur apatahlagi bila terpaksa hidup berjiran dengan Singapura.

Berita kemangkatannya hanya dihebahkan di tv selepas jam 12 malam walaupun Almarhum mangkat kira2 jam 7.15 malam. Ini kerana Menteri Besar Johor tiada di dalam negeri semasa kemangkatannya. Beliau sibuk mengikut rombongan Perdana Menteri melawat India. Sepatutnya hari Sabtu tu hari sekolah ganti. Aku dah cakap awal2 sekolah dicutikan tapi wife tak percaya. Pukul 1 pagi, wife dapat SMS daripada kawan2 dia bahawa sekolah cuti sebagai menghormati kemangkatan Almarhum.

Semenjak penubuhan kerajaan Johor, Johor hanya ada 5 sultan termasuk yang paling baru Sultan Ibrahim Ismail. Kemangkatan ayahanda kepada Almarhum Sultan Iskandar iaitu Sultan Ismail berlaku masa aku di darjah 5 atau 6 ; kira2 28 tahun yang lalu. Aku ingat lagi masa tu aku dah separuh jalan berjalan kaki pergi sekolah bila diberitahu sekolah ditutup. Kemangkatan Almarhum Sultan Ismail juga disambut penuh dukacita oleh rakyat negeri Johor. Walaupun tak tahu apa maksud berkabung, aku tetap pakai songkok berlilit kain putih ke mana2 sahaja. Panjat pokok rambutan pun songkok tak tinggal. Takut kena tangkap dengan polis.

Pada hari pengkebumian Almarhum, aku sempat gak tengok siaran langsung di TV1. Aku tutup kedai separuh hari demi memperingati kemangkatannya. Sesungguhnya adat istiadat inilah yang patut ditonton oleh generasi muda demi memperkuatkan semangat cintakan bangsa dan negara tercinta.

Semasa dalam perjalanan balik ke kampung, aku nampak ramai orang yang berkabung dengan mengenakan songkok berlilit kain putih. Wanita2 berselendang atau bertudung putih manakala bangsa lain memakai lilit hitam di lengan kiri. Anak2 aku ada bertanya apa sebabnya kena berkabung? Susah jugak nak beri mereka faham. Takpalah, tunggulah korang besar nanti.

Hari isnin, anak2 lelaki aku bersekolah dengan songkok. Wife aku sibuk selongkar almari mencari tudung putih. La ni tudung dah macam2 warna. Nak cari yang putih memanglah payah. Aku juga mengenakan songkok semasa dalam klinik. Buat dressing kaki orang kencing manis pun pakai songkok. Pada masa yang sama aku dengar macam2 cerita pasal ada orang yang kena saman sebab tak berkabung. Ada orang kata Tengku Ismail datang ke IOI Mall mencari rakyat yang tak nak berkabung. Dengar cerita ada yang kena saman sampai 3 ribu ringgit sebab berniaga masa hari pemakaman Almarhum. Itu semuanya ceritalah. Betul atau salah tak boleh nak confirmed.

Suratkhabar The Star hari ini menjelaskan segala2nya. Datuk Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Johor Council of Royal Court memberitahu bahawa tiada sesiapa yang akan ditangkap atau didenda sekiranya tidak mematuhi undang2 dan etika berpakaian semasa minggu berkabung. Dress code hanyalah cadangan sahaja. Tiada sesiapa yang memaksa atau terpaksa. Tapi seelok2nya hormatilah Almarhum. Sebagai ketua negeri, dialah payung negeri. Dialah yang menyatukan bangsa Johor dibawah naungannya.

Semenjak kemangkatan Almarhum, ada beberapa orang bebal yang pendek akal sanggup mencerca dan memburuk2kan Almarhum didalam blog, Facebook juga Youtube. Bahasa yang digunakan cukup kasar, jijik, jelek dan menghinakan. Kalaulah tak suka pun, tak payahlah nak tunjuk kejantanan dengan mencarut2 begitu. Rasanya tiada perkataan maaf yang boleh diterima. Tonjol kepala pun tak cukup. Bagusnya tayang muka kat tv atau suratkhabar, biar semua orang kenal siapa itu Aduka Taruna. Biar dia rasa malu dan menyesal dilahirkan di bumi Malaysia ini.

Almarhum Baginda Sultan Iskandar merupakan raja yang aku cukup respect sekali terutamanya semasa Almarhum menjadi Yang Dipertuan Agung. Almarhum tak suka sangat protokol terutama bila berdepan dengan rakyat jelata. Aku suka fashion Almarhum. Kalau berbaju melayu Johor, baju dan seluar jarang sepasang. Warna mesti lain2. Itu yang aku akan ingat. Kali pertama aku melihat Almarhum secara live ialah semasa Almarhum merasmikan UTM Skudai kira2 25 tahun yang lalu. Aku juga pernah menganggotai Medical Team menemani Almarhum merasmikan pameran kapalterbang di Senai. Almarhum datang dengan bawak helikopter Almarhum sendiri masa tu. Aku ada lagi simpan gambarnya. Wife aku tengah mengandungkan anak kedua aku masa tu.

Semoga Roh Almarhum Duli Yang Maha Mulia Baginda Almutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dicucuri Rahmat. Al-Fatihah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan