Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

03 April 2010

Aku dan FOMEMA

Dari dulu lagi aku memang tak berapa suka dengan FOMEMA. Mereka ada kuasa besar untuk overruled keputusan doktor. Kalau doktor dah sahkan warga asing tu layak bekerja, mereka boleh membatalkan keputusan doktor tanpa perlu berbincang dengan doktor tersebut dan biasanya keputusan mereka tidak boleh dibantah atau dirayu. Begitulah besarnya kuasa mereka.

Sebagai seorang doktor, aku perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh mereka. Dan sebagai manusia aku juga perlu menggunakan budi bicara dalam menilai sesuatu kes. FOMEMA tidak pernah mengikut budi bicara. Undang2 mereka sangat ketat dan terlalu rigid. Berikut ada beberapa contoh:

1. Satu Indonesia dengan buta sebelah mata digagalkan oleh FOMEMA. Secara keseluruhannya, beliau sihat dan ingin bekerja di kebun kelapa sawit. Sampai sekarang aku masih terkilan kerana aku rekodkan pasal kecederaan matanya. Sepatutnya aku tak payah laporkan pasal matanya itu.

2. Satu Indonesia dah 4 kali buat ujian FOMEMA dan sebelum ini langsung tiada masalah. Kali ini dia digagalkan kerana ada parut kecil kelihatan di dalam x-raynya. Beliau sesungguhnya sangat sihat dan langsung tiada tanda2 penyakit TB. Boss nya merayu kat aku dan aku cuba bincang dengan doktor yang baca x-ray dia. Namun aku gagal juga.

Kebelakangan ini ramai warga asing yang gagal ujian x-ray di klinik ku. Walaupun aku cuba berbincang dengan doktor x-ray, dia kata dia hanya mengikut garis panduan yang ditetapkan. Sesungguhnya, ramai yang gagal ujian x-ray kerana ada kesan parut atau luka lama di paru2nya atau istilah sainsnya granuloma. Ianya tidak spesifik untuk penyakit TB sahaja kerana jangkitan yang lain2 juga boleh memberi kesan yang sama. Rasanya FOMEMA terlalu obses dengan penyakit TB. Sedikit kecacatan pada x-ray terus dilabel berpenyakit dan tidak layak untuk bekerja di sini.

Aku bukannya menyokong kedatangan warga asing ke Malaysia. Kebanjiran mereka di sini mengundang banyak masalah. Tapi aku kasihan kepada mereka yang cuba datang secara halal untuk mencari rezeki di sini. Ramai yang berhutang beribu2 ringgit semata2 untuk datang ke sini. Tapi bila mereka gagal ujian FOMEMA, mereka terpaksa dihantar balik. Bagaimana dengan hutang2 mereka? Siapa yang akan membayarnya? Kalaulah betul mereka sakit, aku dengan senang hati menghantar mereka pulang. Tetapi kalau hanya sekadar laporan x-ray yang minimal, aku cukup simpati dengan mereka. Walaupun mereka dihantar balik, mereka pasti akan buat paspot baru dan datang semula kemari sama ada secara halal atau haram. Ini kerana mereka tak boleh hidup di kampung. Hutang perlu dibayar dan perut perlu diisi.

Kat sekitar daerah aku ini, dah ramai sangat warga asing 'kosong' yang aku jumpa. Yang dah beranak-pinak pun ada. Yang dah berpuluh tahun duduk di sini pun ada. Mereka ini mana ada buat pemeriksaan kesihatan? Kalaulah tujuan pemeriksaan FOMEMA adalah untuk menghalang penyebaran penyakit2 berjangkit, bagaimana dengan ratusan dan mungkin jutaan warga asing yang tidak mendaftar dengan FOMEMA?

Pada aku FOMEMA adalah antara langkah2 pihak2 tertentu untuk mengambil untung atas kedatangan warga asing. Mereka diperas secara halal untuk mengaut keuntungan. Apa perlunya pemeriksaan kesihatan? Sekadar periksa berat, tinggi, tekanan darah tiada maknanya. Apa perlunya ujian darah dan ujian air kencing untuk mengetahui status kumpulan darah, kencing bersih ke tidak? Apa perlunya ujian VDRL, HIV dan Hepatitis B kerana dalam setahun, aku hanya jumpa satu atau dua kes sahaja yang positif. VDRL tidaklah cukup spesifik untuk mengesahkan penyakit syphilis dan Hep B Antigen juga tidak mengesahkan penyakit Hepatitis. Mungkin ramai yang tak sependapat dengan aku tapi aku tetap dengan peganganku bahawa pemeriksaan FOMEMA adalah satu kaedah untuk memeras warga asing yang jujur datang ke Malaysia.

Pemeriksaan x-ray dada juga merupakan satu pembaziran bagiku. FOMEMA cukup teliti dengan ujian x-ray ini. Sedikit kesan calit, kesan putih atau istilahnya sedikit abnormaliti dikira berpenyakit. Filem2 x-ray yang diambil akan diaudit semula oleh pakar2 dalaman dan adakalanya selepas 6 bulan, pekerja yang sebelum ini disahkan sihat akan disahkan menjadi tidak sihat pulak. Padahal pekerja itu sihat walafiat dan bekerja dengan tekun untuk mendapatkan sedikit rezeki. Pada aku, kita harus melihat pekerja itu secara keseluruhan. Kita bukannya terus menghukum pekerja tersebut dan menghantar terus dia pulang tanpa bertemu dengan pekerja tersebut serta berbincang dengan majikannya. Kononnya FOMEMA cukup prihatin untuk menjaga keselamatan negara dan untuk mengelakkan penyebaran penyakit tetapi sebenarnya mereka hanya merawat filem x-ray tanpa mengambil kira soal2 yang lain. Mereka terlalu rigid dan autokratik.

Beberapa bulan lepas, aku pernah luluskan 2 warga Indonesia. Pemeriksaan fizikal, darah, urine dan x-ray semuanya normal. Selepas 3 bulan, kedua2nya dipulangkan kepada agennya kerana kedua2nya tidak boleh bekerja. Yang satu mengalami masalah mental. Dia langsung tak mahu bercakap dan menurut agennya, sepanjang 2 bulan bersama majikannya dia langsung tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan. Dia langsung tidak boleh berfikir sendiri dan setiap pekerjaan perlu diajar beberapa kali dan esoknya dia berkelakuan sama. Pemeriksaan diklinik mendapati dia memang mengalami masalah sakit jiwa yang kronik yang langsung aku tak perasan masa mula2 dia datang dulu. Menurut agen, dia pernah makan ubat sakit jiwa tetapi berhenti bila dia datang ke Malaysia.

Yang satu lagi berkemungkinan mengalami masalah buah pinggang kerana mukanya pucat, kakinya bengkak dan tekanan darahnya naik. Dia merasa mudah penat jika bekerja lebih dan sememangnya perlu rawatan lanjut di hospital. Yang ini juga aku tak dapat detect semasa pemeriksaan kali pertama. Aku tak dapat nak terangkan kepada agen kenapa dia boleh terlepas masa pemeriksaan FOMEMA.

Inilah sebahagian daripada pengalamanku. Aku pernah hilang duit collection semasa klinik diserbu oleh warga Myanmar untuk pemeriksaan FOMEMA. Ada dua orang daripada mereka gagal ujian dadah dan aku suspect mereka telah mencuri duit aku untuk beli dadah. Ada warga asing yang menangis2 merayu suruh aku gagalkan mereka kerana tak tahan bekerja di sini. Ada juga budak2 belasan tahun yang datang untuk pemeriksaan FOMEMA. Dalam borang semuanya berumur 21 tahun dan ke atas. Ada juga yang sudah berumur lebih 50 tahun tapi dalam borang di tulis 30 tahun. Ada juga warga asing Indonesia yang nama sendiri pun tak tahu. Yang itu aku tak tahu dah berapa kali dia tukar nama. Aku malas nak selidik kerana itu bukan kerja aku.

Aku memang seboleh2nya tak mahu menggagalkan siapa2 kerana implikasi kegagalan mereka adalah besar terhadap diri dia, keluarga dia juga majikan mereka. Tapi apakan daya, aku hanyalah seorang doktor cabuk yang patut pada undang2.

3 ulasan:

  1. Salam Dr. Ingin bertanya. Kalau PRA tu mempunyai tangan kanan yang tak kuat spt tak dapat grip dengan kuat sesuatu benda, tak dapat tutup penutup botol misalnya...dan mengalami masalah pendengaran,adakah dia akan gagal ujian fomema?

    BalasPadam
  2. Salam Dr. Saya ada pertanyaan.

    Adakah PRA yang menjalani ujian di Klinik bagi tujuan FOMEMA ini akan diluluskan oleh DR yang memeriksa jika:

    a) Mengalami masalah pendengaran
    b) Tangan kanan dah tak kuat di mana nak tutup tudung botol pun dah tak boleh/ tak larat. Bahaya keadaan ini kalau tujuan asal nak suruh jaga baby baru lahir.

    Harap dapat jawapan dari tuan Dr.

    Sue.

    BalasPadam
  3. Sue,
    Secara amnya, pihak kerajaan nak pekerja yg betul2 sihat sahaja bekerja di sini. Jadi, sebarang kecacatan seperti kurang pendengaran atau tangan tak kuat tu boleh digagalkan.

    Biasanya, saya bincang dengan majikan dulu. Sebab hal2 begini masih boleh dirunding selagi pihak FOMEMA tak tahu. Kalau kerjanya bagus dan pihak majikan rasa dia boleh bekerja, saya tolong luluskan. Tetapi kalau majikan tak nak, saya gagalkanlah.

    Biasanya juga, doktor tak check pendengaran atau kekuatan tangan kecuali diberitahu ataupun nampak jelas. Biasanya doktor cuma check luaran dan ambik darah sahaja. Keputusan xray, ujian darah dan urin datang kemudian.

    Saya tahu betapa susahnya mereka nak datang ke sini. Bergolok bergadai lagi. Jadi saya kena fikir masak2 sebelum nak menggagalkan seseorang pekerja itu.

    BalasPadam