Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

13 Jun 2010

Aku dan Kisah Datuk (3)

Johor, gelaran dan mesej

Sudah lama kita tidak mendengar tindakan raja atau sultan menarik balik pingat, darjah dan gelaran daripada tokoh dan orang kenamaan.

Maka apabila Jumaah Majlis Diraja Johor (JMDRJ) mengumumkan tindakan berkenaan ke atas empat individu termasuk bekas Menteri Kesihatan, Chua Jui Meng dan wanita pertama merentasi Kutub Utara dan Selatan, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, ramai yang agak terkejut.

Istilah sebenar digunakan Istana Johor bagi penarikan balik pingat dan darjah adalah dipecat. Menurut kenyataan JMDRJ, pemecatan tersebut dilakukan kerana mereka tidak lagi menepati kriteria Undang-Undang dan Peraturan Darjah Mahkota Johor. Ia ada kaitan secara langsung dengan tindak-tanduk dan perilaku mereka, yang tidak mahu didedahkan oleh JMDRJ kerana mahu menjaga aib.

Jui Meng yang juga pemimpin PKR 'mendahului' senarai. Dua anugerah darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang diterima daripada Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar kini sudah tiada lagi. Awang yakin Istana Johor mempunyai sebab kukuh untuk bertindak demikian. Sultan Johor atas laporan JMDRJ mempunyai hak untuk melakukan pemecatan demi menjaga kemuliaan dan nama baik institusi diraja Johor.

Apa yang berlaku ini mempunyai mesej yang jelas kepada semua. Ia seharusnya menjadi pengajaran betapa para penerima anugerah terutama yang membawa gelaran perlu menjaga tingkah laku, budi pekerti, kesetiaan dan keharmonian kepada negara.

Perkembangan terbaru ini menampakkan Johor meneruskan tradisi yang tersendiri dalam mengurniakan darjah kebesaran dan juga pemecatan ke atas penerima. Semua orang tahu bukan mudah untuk mendapat darjah dan pingat Johor. Bilangannya juga paling kecil berbanding negeri lain. Malah orang Johor sendiri adakalanya mengeluh dan terpaksa mengharapkan kurniaan darjah dari negeri lain.

Tetapi Istana Johor tetap Istana Johor. Keunikan itu menjadikan darjah dan pingatnya dianggap lebih istimewa di kalangan para penerima. Begitu juga dari segi tindakan dan hukuman ke atas para penerima darjah Johor. Tiada kompromi. Ia bukan sahaja dipecat malah penerima gelaran tertentu perlu memulangkan semula darjah atau pingat ke istana. Apa pun, Awang mengucapkan tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail kerana ketegasan baginda. Pada masa yang sama, Awang ingin menjunjung kasih kepada Raja-raja Melayu lain dengan mencadangkan agar mengambil pendekatan yang sama terutama kepada golongan yang menghina raja, menggugat kepentingan agama dan bangsa.

Sebagai rakyat Malaysia, Awang sedih melihat sesetengah pemimpin pembangkang yang tidak lagi menjunjung semangat Perlembagaan negara dan prinsip keharmonian. Paling ketara di Perak. Dewan Undangan Negeri dijadikan umpama zoo. Banyak lagi tindak-tanduk mereka yang keterlaluan tetapi dibiarkan. Malah mereka terus menikmati gelaran. Ia hanya memberi isyarat yang mengelirukan kepada rakyat jelata seolah-olah apa yang mereka lakukan itu tidak salah dan masih dianggap beradab.

Baru-baru ini dalam ceramah di Kelantan, peneraju PKR, Anwar Ibrahim mempersoalkan Raja-raja Melayu yang didakwanya memihak kepada pemimpin kerajaan. Wajarkah Anwar mengeluarkan kenyataan sedemikian dipercayai antaranya merujuk kepada titah larangan Sultan Selangor agar masjid tidak dijadikan tempat berkempen?

Sepatutnya apabila Anwar mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam isu 16 September serta isu pengkhianatannya, beliau juga wajar dilucutkan gelaran.

Bukan setakat pemimpin pembangkang. Jika ada pemimpin kerajaan yang biadab, celupar dan melakukan kesalahan yang tidak boleh diterima, juga wajar diambil tindakan yang sama. Barulah darjah dan gelaran itu akan lebih dihargai dan mempunyai nilai moral yang tinggi.

Artikel dipetik daripada Mingguan Malaysia hari ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan