Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

28 Januari 2011

Aku dan Masalah Anak Remaja


Zaman kanak-kanak membesar menuju keremajaan adalah satu perjalanan membuat keputusan yang bertanggungjawab secara berdikari. Ia dianggap penuh cabaran kerana peralihan yang sukar bagi remaja itu sendiri dan ibu bapa mereka. Ibu bapa yang mempunyai anak sedang membesar pasti memikul tanggungjawab berat terutama dengan pelbagai gejala sosial melanda masyarakat seperti seks bebas, keganasan, penyalahgunaan dadah, alkohol, merokok dan gagal dalam pelajaran.

Risiko berkenaan juga biasanya berkaitan antara satu sama lain. Oleh kerana pelbagai risiko yang dihadapi remaja berkait rapat antara satu sama lain, begitu juga jalan penyelesaiannya. Ikuti panduan berikut yang mungkin dapat membantu ibu bapa menangani pelbagai masalah seharian:

* Luangkan masa dengan anak

Luangkan masa bersama anak dengan membabitkan diri dalam aktiviti yang sesuai dengan umur dan minat mereka. Kongsi pengalaman dalam membina satu perhubungan mesra berasaskan kasih sayang dan kepercayaan yang menjadi asas bagi komunikasi pada masa depan. Selain itu, makan bersama sekerap mungkin. Waktu makan adalah peluang terbaik untuk berbual mengenai perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka dan merapatkan diri dengan anak. Gunakan masa yang ada untuk berbual, bukannya berbalah. Membaca, menonton televisyen atau wayang dan layari Internet bersama. Bersenam atau bersukan juga boleh dilakukan seisi keluarga di samping membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan bersama anak.

* Bantu anak remaja peroleh keyakinan diri

Keyakinan diri adalah sesuatu yang diperoleh bukannya diberi. Berikan anak anda peluang untuk belajar kemahiran tertentu dan mendapatkan keyakinan diri. Pujilah mereka atas tugas yang mereka selesaikan dengan baik, galakkan perkara positif dan tekankan perkara yang dilakukan dengan baik oleh mereka. Jika mereka ketinggalan atau cuai, cadangkan cara untuk memperbaiki diri, jangan mengkritik. Kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan baik, bukannya ketakutan atau berasa aib.

* Galakkan anak menyertai aktiviti menyeronokkan

Bantulah anak anda mengenal pasti kelebihan, bakat dan minat mereka serta mencari peluang untuk mengembangkan bakat mereka. Galak mereka untuk membabitkan diri dalam kerja sukarela dalam komuniti anda, menjadi ahli kumpulan belia atau turut serta dalam aktiviti kesenian atau sukan. Ini akan membuatkan mereka berasa mengecap satu pencapaian, menghubungkan mereka dengan kawan yang positif dan pemimpin di kalangan orang dewasa.

* Beritahu anak bahawa anda sangat menghargai pendidikan

Babitkan diri dalam pendidikan anak anda dan biarkan mereka tahu ia sangat penting bagi anda. Terangkan kepada mereka bagaimana pelajaran akan membantu mereka di masa depan dan pentingnya mereka serius dalam hal pelajaran. Kegagalan dalam pelajaran biasanya adalah tanda masalah lain. Jika anda dapati pelajarannya merosot, berbincanglah dengan anak dan guru mereka dengan segera. Ibu bapa sering berhubungan dengan sekolah anak semasa mereka di sekolah rendah, tetapi mula menjauh apabila mereka semakin membesar.

Cubalah terus babitkan diri sehingga mereka berada di sekolah menengah. Beri perhatian kepada kelas yang diambil dan kerja rumah yang mereka bawa balik. Jadi ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau persatuan berkaitan.

* Tahu lokasi anak dan apa yang mereka lakukan

Buat peraturan yang jelas untuk anak mengenai apa yang boleh mereka lakukan dan siapa yang mereka boleh luangkan masa. Jelaskan kepentingan peraturan itu. Tetapkan masa untuk mereka pulang ke rumah dan jangan benarkan mereka menghadiri parti tanpa ditemani orang dewasa. Berusaha lebih sedikit untuk mengetahui lokasi anak pada hari minggu dan selepas waktu sekolah, memandangkan waktu terbabit adalah 'zon bahaya' yang memungkinkan mereka terbabit dalam perbuatan berisiko.

Matlamatnya adalah untuk menjadi ibu bapa yang berwaspada tanpa terlalu memaksa. Ingat, dengan mengetahui lokasi anak dan apa yang mereka lakukan, tidak bermakna anda suka membebel sebaliknya menunjukkan anda ibu atau bapa prihatin.

* Kenali siapa kawan

Rakan mempunyai pengaruh kuat terhadap satu sama lain, oleh itu penting bagi anda untuk mengenali siapa kawan anak anda dan ibu bapa mereka. Galakkan anak remaja anda untuk meluangkan masa dengan kawan yang positif dan sihat. Jemput mereka datang ke rumah dan berbual dengan mereka secara terbuka.

* Jadilah contoh yang baik

Jadilah contoh harian yang terbaik berkaitan dengan nilai yang anda harapkan. Tunjukkan kasih sayang, kejujuran, disiplin dan keterbukaan yang anda harapkan daripada anak. Jangan merokok atau membenarkan sesiapa merokok di dalam rumah.

* Beri perhatian kepada anak

Program sokongan bagi remaja yang bermasalah adalah baik, tetapi semua kanak-kanak dan remaja dapat memperoleh kebaikan daripada galakan, perhatian serta sokongan. Jangan fokus perhatian kepada mereka hanya apabila ada masalah. Biarkan anak tahu bahawa anda berbangga dengan mereka walaupun kadangkala ia kelihatan seperti bukannya satu perkara yang besar.

* Perhatikan tanda anak anda perlukan bantuan

Perhatikan keadaan anak seperti banyak meluangkan masa bersendirian dan mengasingkan diri daripada keluarga serta rakan, perubahan mendadak prestasi di sekolah, perubahan kelakuan dan pertukaran emosi yang drastik, tidak berminat mempunyai hobi atau aktiviti sosial serta mengasingkan diri daripada kawan lama. Jangan takut untuk masuk campur dan mendapatkan bantuan dari luar. Kebanyakan komuniti mempunyai sumber bagi membantu ibu bapa membantu anak mereka.

* Babitkan diri dalam komuniti

Ibu bapa boleh membuat perubahan dalam kehidupan anak mereka, tetapi ibu bapa mungkin tidak boleh menyelesaikan semua masalah dihadapi anak mereka. Ibu bapa hendaklah membabitkan diri dalam mengubah persekitaran mencabar untuk anak mereka. Berikan sokongan penubuhan tempat rekreasi yang mesra remaja dan selamat daripada gejala berbahaya. Ambil bahagian dalam organisasi komuniti yang mempromosikan polisi untuk membantu kanak-kanak dan remaja, seperti menghalang penjualan rokok kepada kanak-kanak atau mengurangkan keganasan dalam masyarakat.

Sumber: serikasih.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan