Aku dan Statistik

Aku dan cerita2 lama:

01 Februari 2011

Aku dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


Hari ini sambutan Hari Wilayah. Cuti lagi. Tapi bukan aku. Warga Wilayah sahaja. Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Kulaijaya jangan mimpi dapat jadi Wilayah Persekutuan yang baru.

Dah lebih 15 tahun aku tinggalkan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur dah jadi terlalu asing bagiku walaupun aku pernah menghuninya lebih 7 tahun. Kuala Lumpur banyak mengajar aku erti kehidupan. Di Kuala Lumpur, semua orang boleh berjaya kalau rajin berusaha. Semua benda boleh jadi duit di Kuala Lumpur. Semua orang boleh berniaga apa sahaja di Kuala Lumpur. Malah di lampu isyarat pun, orang boleh berniaga. Ma Piau! Ma Piau!.

Antara sebab aku memohon untuk masuk Universiti Malaya adalah kerana kedudukannya yang strategik di sempadan Kuala Lumpur. Aku nak jadi orang kota. Dah jemu jadi orang kampung. Aku tiba di Kuala Lumpur sekitar Jun 1988. Permulaan hidupku di Kuala Lumpur ibarat rusa masuk kampung. Sangat kagum dengan bangunan tinggi2 dan kehidupan yang tak pernah berhenti 24 jam. Kuala Lumpur yang masih kuingat hingga sekarang ialah:
  1. Menaiki bas mini 50 sen untuk kemana2 sekitar Kuala Lumpur. Bas Mini adalah raja jalan raya dimana drivernya langsung tak kenal takut. Atas divider pun boleh lalu. Lampu merah pun boleh jalan dan bas selagi boleh isi, akan diisi penuh2. Kalau atas bumbung boleh letak penumpang, pasti kelendan suruh naik atas bumbung. Lepas tu baru ada bas Intrakota yang ada aircond dan takda kelendan.
  2. Pertama kali outing di Kuala Lumpur dengan Sallehudin dan Jemie. Jalan kaki dari Chow Kit ke Bus Stand Klang. Takut tersalah naik bas punya pasal. Lepas tu bas mini no 12 jadi kegemaran sebelum naik motosikal kapcai sendiri.
  3. Duduk menyewa semasa di Tahun Dua di rumah pangsa Pantai Dalam iaitu di belakang Angkasapuri. Rumah kos rendah 3 bilik sewanya RM550 sebulan. Keadaannya kotor, bising dan sesak. Tapi hanya itu yang kami mampu masa tu. Aku pernah kehilangan motosikal kapcai aku di sana tetapi dijumpai semula tak sampai 3 jam kemudian. Polis bukannya pergi menyiasat. Duduk bilik, hisap rokok sambil tulis report sahaja. Bila aku datang balik beritahu motosikal dah jumpa, dia masih duduk kat bilik, hisap rokok dan tulis report semula. Hampir 3 jam aku tunggu dia siapkan karangan/report dia sebelum aku disuruh menandatanganinya. Dahlah menaip sebijik2, buat ayat karangan macam budak sekolah. Apa punya I/O daa...
  4. Hujung minggu aku melihat orang jual ubat kat Bas Stand Klang, sekitar Chow Kit dan Central Market. Selalunya ada magic show ataupun live band. Sampai sekarang aku masih musykil kenapa orang yang boleh tukar suratkhabar lama jadi duit kertas tapi tak kaya2? Kalaulah dia betul2 boleh buat, rasanya dia mesti dah kaya raya. Tetapi setiap bulan aku masih nampak dia di sebelah Puduraya. Jual air liur sambil tunjuk magik untuk melariskan jualan minyak urut dia.
  5. Malam minggu aku tempat tiket awal untuk tengok midnight movie kat mana2 pawagam yang tayang filem2 terbaru. Odeon di depan Pertama Complex adalah pawagam pilihan selain PJ State dan Bukit Bintang.
  6. Pertama kali makan ayam tanpa nasi di KFC Bukit Bintang. Samsol Ariffin, Jemie dan Syed Shukri yang mula2 mengajar aku makan fastfood. Setiap kali keluar KFC mesti ada utensil yang aku seludup keluar seperti sudu, garpu dan kadang2 sos cili pun aku kebas. Senang nak makan dengan Maggi nanti. Masa tu halal haram main langgar aje.
  7. Kena tahan dengan polis masa malam tahun baru. Naik motosikal lesen L tapi naik dua orang. Tak pasal2 kena saman dan hampir masuk ke mahkamah.
  8. Kena sergah dengan FRU dan kena sembur dengan water canon masa merusuh nak dapat tiket free sempena Konsert Malam Tahun Baru Wings dan Search. Itulah kali pertama dan terakhir aku pergi tengok konsert live. Dah taubat dah.
  9. Menghidu asap bas setiap kali menunggu bas nak balik kampung di Puduraya. 7 tahun di Kuala Lumpur, Puduraya tak pernahnya berubah. Sesak, panas dan penuh dengan karbon monoksida. Rasanya, sekarang pun masih camtu jugak kan?
  10. Kena sergah dengan polis masa duduk melepak sambil tengok orang lalu lalang depan Hankyu Jaya. Mungkin polis tu ingat aku tengah cari mangsa agaknya. Ataupun dia ingat aku Mat Indon yang takda permit. Maklumlah muka samseng, baju selekeh, duit takda. Jemie ketawakan aku aje masa tu.
Sebenarnya banyak lagi kenangan pahit manis semasa di Kuala Lumpur. Lain tahun aku cerita lagi. Kepada warga Kuala Lumpur, Selamat Bercuti!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan