Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

16 Ogos 2014

Aku dan Sajak Itulah Politik Namanya



" Itulah Politik Namanya "

Jika kamu kesukaanku,
semuanya baik belaka.
Jika kamu berwang banyak,
aku kata,
kuat kamu berusaha.
Jika kamu berkereta lawa,
aku kata,
itu berkat rezeki bekerja.
Jika kamu berumah mewah,
aku kata,
untuk tamu yang melimpah.

Jika kamu kebencianku,
semuanya dinilai celaka.
Jika kamu berwang banyak,
aku kata,
duit orang kamu lanyak.
Jika kamu berkereta lawa,
aku kata,
kamu mengada-ada.
Jika kamu berumah mewah,
aku kata,
itu duit rasuah.

Jika kamu pilihanku,
semuanya aku setuju.
Jika kamu bercakap kasar,
aku kata,
mereka memang patut diajar.
Jika kamu cakap berputar,
aku kata,
mereka itu yang celupar.
Jika kamu berdusta,
aku kata,
bohong mereka lebih berganda.
Jika kamu bersumpah,
aku kata,
itu tanda mereka bersalah.
Jika kamu berdansa,
aku kata,
itu hanya untuk rakyat bersuka.

Jika kamu seteruku,
semua tindakanmu aku palu.
Jika kamu bercakap lunak,
aku kata,
kamu memang nak berlagak.
Jika kamu bercakap lurus,
aku kata,
harapan kamu dah putus.
Jika kamu bercakap benar,
aku kata,
kamu hanya buat kelakar.
Jika kamu bersumpah,
aku kata,
kamu memang telah diupah.
Jika kamu berzikir,
aku kata,
kamu hanya cuba menyindir.

Musuhku semuanya haram.
Pilihanku semuanya harum.

Ajaran Tuhan:
Jangan hukum ikut perasaan dan sangkaan.
Jangan hukum ikut kumpulan dan pasukan.
Hukumlah ikut firman dan alasan.

Ajaran syaitan:
Hukumlah ikut perasaan dan kebencian.
Lihat dulu kawan atau lawan.
Bukan kata Tuhan atau sabda Junjungan.
Maka dunia pun berputar,
Hukum menjadi putar-putar,
Siapa sahabat maka dia diangkat,
Siapa tak sepakat,
maka dia musibat.

Pilihanku semuanya ditabal mulia,
Pilihanmu semua ditabal celaka,
Tanya mereka,
Mengapa begitu jadinya,
Jawabku,
Itulah politik namanya.

Karya Dr Mohd Asri Zainal Abidin


Tiada ulasan:

Catat Ulasan