Walaupun sebelum ini FAM ada menguar-uarkan penjualan atas talian bakal digunakan sepenuhnya, namun sehingga kini masih tiada sebarang tanda mereka serius untuk melaksanakannya. Penganalisis bola sepak negara, Faisal Zakariah menasihatkan FAM agar berubah daripada terus mengamalkan pendekatan tradisional dan mengamalkan jualan secara atas talian.

Beliau yang pernah menjadi ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata, hanya itu mekanisma terbaik menghalang wujudnya ulat tiket, tiket palsu atau ketirisan penjualan tiket yang tidak sampai ke tangan peminat.

“Kita sudah berada di zaman teknologi dan banyak perkara sudah boleh diselesaikan dengan mudah, namun mengapa dalam hal penjualan tiket, FAM masih selesa menggunakan cara lama.

“Seingat saya tiga tahun lalu, FAM pernah kata, akan melihat penggunaan jualan atas talian sebagai jalan penyelesaian tetapi sehingga sekarang mereka terus mendendangkan dialog yang sama iaitu.. ‘kita rasa’..‘kita rasa’, ” katanya.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar pula berpendapat FAM tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya dalam isu tiket kerana perkara itu di bawah tanggungjawab persatuan negeri.

“Pembahagian tiket biasanya seimbang. Jika tiket yang dikeluarkan 80,000 maka masing-masing mendapat 40,000.

“Apabila tiket sampai kepada persatuan negeri, mereka perlu bijak membahagikannya agar sampai secara adil di tangan peminat.

“Salah satu mekanisme yang saya cadangkan adalah penjualan tiket dalam skala kecil kepada setiap daerah dan tidak tertumpu kepada satu atau dua tempat."

“Dengan cara ini setiap tiket dapat diagih dengan lebih tersusun dan peminat tidak perlu menyerbu perkarangan stadium,” ujarnya.