Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

04 November 2015

Aku dan 10 Tips Jadi Doktor GP Yang Berjaya



Kebelakangan ini ramai pulak yang bertanya.
Ada tidak tips untuk menjadi doktor GP yang berjaya.
Kalau nak tanya tips,
aku bukanlah orangnya.
Tetapi kalau nak tanya pengalamanku,
aku boleh berkongsi.
Padaku tidak susah nak menjadi doktor GP yang berjaya.
Cuma masalahnya bagaimana nak mendefinisikan doktor GP yang berjaya.
Adakah dengan mengira berapa ramai pesakit sehari.
Adakah dengan mengira berapa untung sehari.
Adakah dengan mengira berapa banyak aset yang telah dikumpul.
Atau adakah dengan mengira berapa gembiranya hidup anda sebagai doktor GP.

Dah lebih duabelas tahun aku jadi doktor GP.
Tetapi aku hanya ada satu klinik sahaja.
Pagi petang siang dan malam,
disinilah tempat aku bekerja.
Aku tidak bercadang nak membuka cawangan lain.
Aku juga tidak bercadang untuk membuka bisnes lain.
Cukuplah dengan apa yang ada.
Kekalkan dengan apa yang ada.

Tips nombor satu.
Jadilah diri anda sendiri.
Tak perlu terikut-ikut dengan cara doktor yang lain.
Buka klinik 24 jam.
Buka klinik 7 hari seminggu.
Dulu masa baru buka klinik,
klinik dan pesakit adalah nombor satu.
Pukul 9 pagi dah masuk klinik.
Pukul 10 malam baru balik.
Hari sabtu pun kerja sampai malam.
Tetapi selepas beberapa tahun,
aku mula ikut kemampuan diri sendiri.
Kerja ikut masa aku.
Kerja ikut jadual masa aku sendiri.
Mula-mula ramai juga yang komplen.
Tetapi lama-kelamaan mereka akan faham.
Doktor pun manusia biasa juga.
Lagi satu.
Daripada zaman belajar dahulu,
aku bukan seorang yang formal.
Aku lebih selesa dengan gaya tak formal.
Masa kerja kerajaan dulupun,
aku jarang pakai tali leher.
Masa on call pun,
aku selesa dengan t-shirt dan sandal.
Jadi bila aku diklinik sendiri,
aku lagi selesa dengan t-shirt dan sandal.
Memang jarang sangat aku pakai kemeja.
Apatahlagi pakai baju masuk ke dalam.
Pesakit yang tak biasa dengan aku memang tengok aku janggal sedikit.
Tetapi inilah aku.
Tak formal tak semestinya tak professional.

Tips nombor dua.
Rawat pesakit dan bukannya merawat penyakit.
Setiap pesakit yang datang klinik adalah unik.
Untuk pesakit yang pertama kali datang klinik,
aku akan tanya macam-macam.
Sejarah kehidupannya aku catatkan.
Sejarah keluarganya juga.
Sejarah pekerjaannya.
Selepas itu barulah aku bertanya pasal penyakitnya.
Tak semua orang demam batuk selsema perlukan ubat yang sama.
Punca demam batuk selesema perlu dikenalpasti.
Kalau beri ubat yang sama,
mereka tak perlu jumpa doktor dah.
Beli di farmasi pun boleh.
Jumpa Pembantu Perubatan diklinik 1Malaysia pun boleh.
Selalunya demam batuk selsema tak perlu makan ubat macam-macam.
Antibiotik pun jauh sekali.
Cukup dengan minum air banyak-banyak dan cukup rehat.
Itu lebih penting daripada makan ubat.
Itu yang aku selalu tekankan kepada pesakitku.
Kadang-kadang aku memang tak beri ubat macam2.
Cukup sekadar dengan nasihat.
Aku tak suka beri ubat banyak2 kat pesakit.
Aku juga tak suka beri vitamin bukan2 kat pesakit.
Aku tak suka ubat2 placebo.
Memanglah boleh charged lebih.
Lebih ubat bermakna lebih bayaran dikenakan.
Tetapi professionalkah anda?
Aku selalu berbincang tentang penyakit dengan pesakit2 aku.
Bila mereka faham tentang penyakit mereka,
barulah senang nak merawat mereka.

Tips nombor tiga.
Kejujuran.
Aku selalu ingatkan diri aku sendiri.
Hidup kena jujur.
Bukan sahaja jujur dengan Allah.
Tetapi jujur dengan diri sendiri.
Kalau aku rasa aku tak tahu,
aku cakap aku tak tahu.
Kalau aku rasa penyakit yang perlu dirawat agak mencabar,
cepat-cepat aku rujuk ke doktor lain yang lebih berpengalaman.
Tetapi kalau pesakit masih juga nak mencuba rawatan aku,
aku terangkan satu persatu langkah2 rawatan seterusnya.
Aku takkan cuba ubat2 tanpa berbincang dengan pesakit terlebih dahulu.

Tips nombor empat.
Jadikan pesakit sahabat anda.
Semua pesakit aku layan sama rata.
Tanpa kira bangsa, jantina, agama dan warna kulit.
Tanpa kira kanak-kanak, remaja, dewasa atau warga tua.
Semuanya aku layan sama rata.
Ramai adik-adik yang senyum meleret bila aku panggil mereka kakak atau abang.
Padaku bila aku panggil begitu,
aku rasa lebih menghormati berbanding panggil adik-adik.
Dan kalau dah biasa sangat,
aku panggil engkau-aku sahaja.
Itu lebih mesra.
Itu lebih santai.
Dan tak rasa formal sangat.
Pesakit favorite aku datang daripada pelbagai bangsa.
Ada bangsa Cina juga India yang seluruh ahli keluarganya setia bersamaku.
Mereka sanggup tunggu aku walau beberapa hari aku tutup klinik.
Kalau mereka dah ambil ubat diklinik lain,
pasti datang jumpa aku untuk kepastian.

Tips nombor lima.
Jadikan pesakit sebagai pengiklan anda.
Buat baik dengan pesakit anda.
Layan pesakit anda sebaik mungkin.
Kalau boleh beri layanan ekstra.
Suruh staf telefon pesakit untuk follow up.
Ingatkan mereka tentang tarikh temujanji.
Kalau mereka rasa dihargai,
mereka akan menghargai anda.
Aku selalu juga terima pesakit daripada luar kawasan.
Sanggup datang jauh-jauh nak jumpa dengan aku.
Ada pesakit lain yang rekomen tentang perkhidmatanku.
Jadi tak payah susah-susah nak beli iklan.
Pengiklanan percuma disediakan.

Tips nombor enam.
Nikmati kehidupan anda.
Untuk kita seronok dengan pekerjaan kita,
kita kena seronok dengan kehidupan kita.
Tak guna kerja tungkus lumus siang malam.
Tak guna simpan duit banyak-banyak dalam akaun
jika hati tak tenteram dan kepala berserabut.
Aku sekarang kerja 5 hari seminggu.
Tetapi aku kerja sepenuh masa.
Tiada letak doktor locum diklinik.
Hari Jumaat dan Sabtu aku cuti sepanjang hari.
Klinik pun tutup.
Hari kerja aku kerja sungguh-sungguh.
Hari cuti aku cuti sungguh-sungguh.
Aku buat apa yang nak buat.
Berkebun,
jalan-jalan cari makan,
ambil gambar,
update instagram.
update blog.
Aku bahagia walaupun aku tiada wang berjuta diakaun.
Aku bahagia walaupun aku bercuti sekitar dalam negara sahaja.
Aku bahagia walaupun kereta aku dah 6 tahun tak berganti.
Aku bahagia bila melihat orang sekeliling aku bahagia.
Cukuplah.
Hidup dunia pun hanyalah sementara.

Tips nombor tujuh.
Ketahui batasan anda.
Walaupun aku dah 20 tahun jadi doktor,
masih banyak perkara yang aku kurang mahir.
Ada penyakit yang aku mengaku sangat expert.
Ada penyakit yang aku mengaku agak lemah teoriku.
Jadi aku tahu batasan pengetahuanku.
Aku tak mahu memandai-mandai atau berlagak pandai.
Kalau ada pesakit nak minta dirujuk kemana2 doktor,
aku pasti akan tulis surat rujukan.
Kalaupun aku tahu macam bodoh aje rujuk kes bodoh2,
pada aku lebih baik jadi bodoh daripada berlagak pandai.
Aku tak kisah dilabel merujuk kes bodoh2.
Yang penting itu kemahuan pesakit.
Aku dah jalankan tanggungjawab aku.
Aku juga masih percaya kepada first instinct.
Kalau aku rasa was-was tentang sesuatu daripada mula,
aku pasti akan ada masalah kemudian hari.
Ada banyak contoh tetapi tak berani nak tulis kat sini.
Biarlah ianya menjadi pengalaman pahit untukku seorang sahaja.

Tips nombor lapan.
Rendahkan matlamat kehidupan anda.
Masa mula-mula aku dapat panggilan untuk buat medik,
aku dah tetapkan dalam hatiku.
Aku nak hidup senang.
Dalam masa yang sama,
Aku juga nak menolong orang seramai mungkin.
Aku tak pernah berniat nak hidup kaya-raya.
Aku cuma nak hidup senang dan selesa.
Aku tak nak hidup mewah atas kesusahan orang lain.
Aku tak nak menjadikan penyakit satu sumber menjana ekonomi.
Itu sahaja.
Jadi matlamat kehidupanku tak tinggi mana.
Kadang-kadang aku rasa iri hati juga dengan kawan2 sebaya.
Ada yang dah merasa memandu Ferarri.
Ada yang dah merasa menunggang Harley.
Ada yang dah mengelilingi satu dunia.
Ada yang dah beberapa kali menunaikan haji dan umrah.
Tetapi bila fikirkan dalam-dalam,
inikah yang aku mahukan?
Dalam bidang perubatan ada banyak cara nak buat duit.
Menjual MC.
Menjual ubat tidur.
Menjual vitamin dan suplement.
Menyertai agen MLM.
Melakukan prosedur kecantikan tanpa kelulusan.
Dan macam2 lagi cara untuk cepat kaya.
Tetapi duit banyak mana sekalipun takkan cukup.
Itu fitrah manusia.

Tips nombor sembilan.
Jangan hanya melihat wang sahaja.
Looks beyond the money.
Dalam dunia perniagaan,
wang dan keuntungan adalah perkara utama.
Tetapi menjadi doktor GP bukan setakat menjalankan satu perniagaan.
Ianya adalah satu perkhidmatan untuk masyarakat setempat.
Padaku tak boleh terlalu berkira sangat dengan pesakit.
Tak boleh berkira sangat dengan harga juga kos.
Jangan jadi seperti hospital swasta.
Sekeping gauze pun nak dikira.
Sebatang syringe pun nak kira dalam bil.
Aku memang tak setuju.
Dan itu bukan yang aku amalkan.
Perkhidmatan diutamakan.
Wang kira kemudian.
Kalau hari ini hanya dapat untung sedikit,
esok lusa pasti Allah akan ganti dengan untung yang lebih.
Percayalah.

Tips nombor sepuluh.
Hargai staf anda.
Staf klinik adalah aset paling utama untuk setiap klinik.
Aset utama bukannya doktor.
Aset utama bukannya ubat-ubatan di klinik.
Hargailah staf klinik anda.
Tanpa mereka doktor tak boleh buat apa2.
Doktor tak boleh ingat semua ubat letak dimana.
Doktor tak boleh ingat kad pesakit letak dimana.
Doktor tak boleh ingat semua harga ubat.
Doktor tak boleh ingat cara-cara nak buat claim panel.
Aku percaya sepenuhnya dengan staf klinik aku.
Sepanjang 10 tahun aku bersama mereka,
aku tak pernah menghadapi isu-isu besar dengan mereka.
Kalau aku tiada diklinik,
mereka boleh melakukan kerja tanpa perlu dipantau.
Jadi hidupku aman dan tenteram.

Inilah pengalamanku untuk jadi GP yang agak berjaya.
Mungkin ramai yang tak bersetuju dengan caraku.
Mungkin ada yang beranggapan,
aku perlu buka klinik guna nama sendiri.
Aku perlu tambah cawangan dan kembangkan empayar.
Aku perlu mengumpul aset.
Itu baru namanya GP yang berjaya.
Terpulanglah.
Tepuk dada tanya selera.






2 ulasan:

  1. tuan doktor aku tak penah jemu dtg hari2 baca blog doktor sebab inilah aku kagum!!
    tahniah doktor

    BalasPadam
  2. Sempoi la doc... saya begitu tersentuh!

    BalasPadam