Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

09 November 2015

Aku dan Kundasang Unplugged Hari 2


Hari kedua di Kundasang.
Pukul 5:15 pagi dah bangun.
Sebab pukul 5:50 pagi dah habis waktu Subuh.
Sejuk yang amat.
Lantai dipijak seperti air batu.
Air paip jangan cakaplah.
Tapi tidur memang nyenyak.
Langsung takda nyamuk.
Pukul 6:15 pagi aku dah duduk depan pintu.
Tengok matahari naik menyinari gunung.
Subhanallah.


Pukul 7.00 pagi wife dah siapkan sarapan.
Nasi Goreng dan Air Milo Kosong.
Lepas sarapan aku kerah anak-anak.
Aku nak ke Desa Dairy Farm.
Tak sabar nak tengok lembu sedang meragut rumput dikaki gunung.
Jaraknya cuma 4 km sahaja daripada rumah penginapanku.
Tetapi teruk rupa bentuk jalannya.
Nasib baik bawa kereta sewa.
Taklah terasa sayang sangat melanggar lubang.



Aku sampai kira-kira jam 7.30 pagi.
Belum buka lagi pintu pagarnya.
Kena tunggu pukul 8.
Selain aku ada beberapa kereta lagi sedang menunggu.
Para pelancong daripada semenanjung seperti aku. 
Tapi tunggu sampai 8:15 pun takda orang datang membuka pintu pagar.
Sementara itu aku dan anak-anak dah puas ambil gambar.
Gambar lembu meragut rumput dikaki gunung aku dah ambil.
Gambar bersama mafla JDT pun dah ambil.
Jadi aku tak nak tunggu pintu pagar dibuka.
Khabarnya keadaan didalam indah khabar dari rupa.
Takda ruginya kalau tak masuk.
Aku tak boleh tunggu lama-lama.
Lari perancangan masa aku.
Aku langsung ke lokasi berikutnya.
Poring Hot Spring dan Poring Canopy Walkway.


Perjalanan ke lokasi ini memakan masa hampir sejam.
Lebih kurang 35km perjalanan menuju ke daerah Ranau.
Memandu di sini kena banyak sabar.
Walaupun jalannya cantik,
Agak sukar untuk memotong kenderaan lain.
Kebanyakan masa ada garisan 'double line'. 
Jenuh jika lori besar penuh muatan mendaki bukit.
Termenung aku nak cari masa untuk memotong.
Kalau bawak 4WD memang aku berani tekan minyak.
Tetapi Exora sewa ni aku kurang yakin pulak.


Pukul 9:30 pagi.
Aku tiba di Poring Hot Spring.
Bukan nak mandi atau main air panas. 
Aku nak memanjat bukit untuk menaiki Canopy Walkway.
Perjalanan ke pintu masuk Canopy Walk ialah 200 meter daripada pintu masuk.
Lepas tu kena panjang tangga pula sejauh 250 meter. 
Memang pancit.
Lagipun aku pakai sandal sahaja.
Lepas berpeluh-peluh dan beberapa kali berhenti,
Sampai juga aku ke titian gantung yang dimaksudkan.
Ada 4 stesen kesemuanya.
Dikhabarkan sejauh 175 meter jaraknya.
Dan tingginya lebih 40 meter daripada tanah.
Lepas satu stesen aku ajak anak berpatah balik.
Ada banyak tempat lagi nak pergi.
Takut tak sempat.
Tetapi sebenarnya gayat bila tengok ke bawah.
Gayat bila rasa jambatan itu bergoyang-goyang.



Pukul 10.30 pagi.
Dalam perjalanan balik.
Aku singgah disebuah gerai ditepi jalan.
Ada beberapa orang budak sedang menunggu.
Hendak menunjukkan tempat bunga Rafflesia sedang berkembang.
Bukannya percuma tapi.
Kena bayaran 15 ringgit seorang.
Jadi aku pergi berdua sahaja.
Jimat sedikit wang.
Tak jauh dari tepi jalan.
Ada satu kawasan berpagar.
Jalannya memang dah disediakan untuk pelawat sepertiku.
Tak lama lepas itu aku ditunjukkan.
Sekuntum bunga yang hanya terdapat di Sabah.
Macam-macam soalan aku tanya.
Tetapi konfiden aje dia beri jawapan.
Dah biasa sangatlah dengar soalan2 bodoh seperti soalanku.


Pukul 11 pagi.
Aku meneruskan perjalanan ke Ladang Teh Sabah pula.
Menyesal pulak aku masuk ke ladang mereka.
Jalannya berdebu dan tidak bertar.
Jauh pulak tu masuk ke dalam.
Dan tiada apa yang istimewa untuk dilihat.
Restoran sedang dalam proses pembinaan semula.
Ada lawatan ke kilang teh.
Tetapi anak2 semua tak berminat.
Lagipun cuaca dah semakin panas.
Semua ingat nak balik sahaja.


Pukul 11.30 pagi.
Aku ke lokasi terakhir.
Bermain dengan ikan-ikan jinak di Sg Moroli Kg Luanti Baru Ranau.
Pelik.
Ajaib.
Ikan ini bukannya belaan.
Tetapi cukup jinak.
Pantang ada manusia datang.
Semuanya datang mengerumun.
Habis tangan dan kaki kita digigit-gigitnya.


Pukul 12.40 tengahari.
Aku sampai di rumah homestay.
Aku terlewat untuk check out.
Aku lupa nak beritahu mereka.
Aku juga lupa nak bertanya.
Rupa-rupanya ada penyewa baru nak masuk petang ini.
Tapi dalam kelam-kabut sempat juga wife aku memasak untuk makan tengahari.


Pukul 1:40 petang.
Akhirnya aku checked out.
Tak sempat nak makan tengahari dahulu.
Jadi wife aku bungkus semuanya.
Untuk dimakan di Kota Kinabalu nanti.


Pukul 2 petang.
Aku mula bertolak meninggalkan Kundasang.
Berat juga hati nak meninggalkannya.
Aku suka cuacanya.
Aku juga suka dengan para penduduknya.
Kundasang masih kelihatan kampungan.
Tidak terlalu dimajukan seperti di Cameron Highlands.


Perjalanan balik agak lambat.
Kenderaan agak banyak.
Cuaca pun tak berapa bagus.
Hujan lebat juga jalan berkabus teruk.
Tetapi alhamdulilah.
Pukul 4 petang aku akhirnya tiba di Kota Kinabalu.
Aku menginap di hotel ini.
Dapat diskaun 30%.
Hotel Cititel Express.
Biliknya kecil.
Patutlah harganya cuma RM150 semalam.
Tetapi muatlah untuk kami bermalam.


Lepas maghrib.
Aku berjalan kaki sahaja ke Pasar Malam didepan hotel.
Biasalah orang perempuan.
Mencari buah tangan untuk kawan-kawan.
Kebanyakkannya menjual gelang, manik dan mutiara.
Tak dapat aku nak melayan.





2 ulasan: