Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

06 Januari 2016

Aku dan Kisah Disebalik Borang JPJ L8


Sebagai seorang doktor GP,
aku agak terkejut dengan berita yang tersebar sehari dua ini.
Empat orang doktor GP tahap otai kena dakwa dimahkamah.
Tuduhannya memalsukan laporan perubatan.
Ada juga suratkhabar yang tulis atas tuduhan pecah amanah.
Suratkhabar dan internet pula menulis tanpa selindung.
Siap nama penuh.
Siap nama klinik.
Siap alamat penuh klinik.
Gambar berwarna pun ada.
H@&@*J@%@H betul!
Aku bengang.
Aku sentap.
Dan bagi mereka-mereka yang haters dengan doktor sepertiku.
Inilah masa dan ketikanya.


Sebelum anda semua menuduh doktor GP ini dengan macam-macam tuduhan,
mari aku bercerita senario yang sebenarnya.
Borang JPJ L8 ini adalah sehelai borang yang sangat-sangat simple.
Boleh diambil di pejabat JPJ secara percuma.
Boleh juga didapati secara percuma di sekolah memandu.
Tetapi ada yang menjualnya pada harga seringgit sehelai.
Dan khabarnya boleh juga di muat turun melalui internet.
Ianya adalah borang pemeriksaan kesihatan untuk memperbaharui lesen GDL dan PSV.
Ianya adalah prosedur tahunan dimana setiap pemegang lesen yang ingin memperbaharui lesen mereka,
perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di mana-mana klinik swasta.
Klinik kerajaan tidak boleh.
Kalau ikut borang tersebut,
doktor hanya perlu sahkan bahawa pemegang lesen seorang yang sihat dan boleh memandu.
Langsung tiada dinyatakan apa pemeriksaan yang wajib dilakukan.
Hanya ada ruang untuk chop dan sain sahaja.
Jadi memandangkan ianya prosedur tahunan,
ada sesetengah doktor yang langsung tak melihat pemegang lesen.
Mereka hanya chop dan sain sahaja.
Terutama jika pemegang lesen adalah pesakit atau pelanggan tetap mereka.
Kos yang dikenakan hanyalah 10 ringgit sahaja.
Dan kini dinaikkan kepada 15 ringgit.
Dan kerana nilai 10-15 ringgit ini,
keempat-empat doktor ini dituduh memalsukan borang tersebut.
Atas alasan mereka tidak memeriksa pemegang lesen tersebut.


Dulu ada ura-ura untuk menaikkan harga kos kepada 35 ringgit sekurang-kurangnya.
Itupun termasuk menjalani ujian saringan dadah yang wajib dilakukan.
Pihak doktor tak setuju kerana langsung tidak untung.
Rakyat tak setuju kerana ada penambahan kos.
Selepas itu senyap.
JPJ senyap.
Doktor pula malas nak bising-bising.
Para pemegang lesen pula bertepuk tangan.

Dan sebagai doktor GP,
walaupun dengan bayaran 10 ringgit,
aku masih panggil pemegang lesen masuk jumpa aku.
Nak tengok cukup tak kaki tangannya.
Nak pastikan sihat tak mentalnya.
Nak juga ukur tekanan darahnya.
Nak juga tanya jelas lagi tak penglihatannya.
Kalau aku yakin dia selamat untuk memandu,
barulah aku chop dan sain borangnya.

Masa aku buat kerja locum dahulu,
ada sesetengah klinik yang ambil mudah borang ini.
Ada staf klinik yang sekadar hulur borang kat aku.
Suruh aku chop dan sain tanpa perlu memeriksa pesakit.
Bila aku kata aku tak nak,
dia kata ini prosedur biasa.
Doktor lain pun buat macam itu.
Klinik lain pun buat macam itu.
Tetapi aku berkeras tak nak sain,
pergilah cari doktor lain.
Pergilah cari klinik lain.
Aku takkan jual prinsipku dengan harga 10 ringgit.

Ada sesetengah doktor yang kononnya nak memudahkan pemegang lesen.
Tak nak menyusahkan pemegang lesen.
Ini mungkin hal kecil sahaja.
Setakat 10 ringgit dan chop sain apalah sangat kan?
Dulu mungkin betul.
Ramai doktor buat begini.
Tetapi kini tidak lagi.
Tetapi mungkin ada yang masih membuat benda yang sama.
Mungkin kerana nak protes dengan JPJ sebab bayarannya terlalu rendah.
Sebab itu doktor pun malas nak memeriksa sungguh-sungguh.
Cuba JPJ buat peraturan baru dan beri harga yang lebih munasabah,
rasanya perkara ini takkan terjadi.

Walaupun kosnya hanya 10-15 ringgit,
jangan tak percaya jika aku katakan,
ada runner sekolah memandu yang ajak aku kaw-tim.
Dia carikan pemegang lesen yang nak renew lesen,
bawa borang kat aku.
Dia ambil 5 ringgit dan aku dapat 5 ringgit.
Sama-sama dapat untung katanya.
Nasib baiklah runner tu dah tua,
kalaulah lebih muda daripada aku,
memang dah lama aku beri penumbuk kat dia.

Dan jangan tak percaya,
ada juga runner yang buka kaunter dekat pejabat JPJ.
Mereka jadi "doktor" sendiri.
Mereka yang chop.
Mereka yang sain borang.
Siap ada resit sekali.
Lagi mudah katanya.
Pemegang lesen tak perlu susah-susah mencari doktor diklinik.
Yang aku herankan,
mereka inilah yang tak dapat nak ditangkap.

Sebagai seorang doktor GP,
aku simpati dengan nasib keempat-empat doktor ini.
Mereka bukannya doktor sembarangan.
Tengok sahaja umur mereka.
Kalau dalam cerita Star Wars,
dah boleh jadi "jedi" dah.
Tetapi beginilah nasib mereka.
Nama dan gambar dah disebarkan.
Malah alamat klinik pun dah disebarkan.
Mungkin niat mereka baik.
Tetapi undang-undang tetap undang-undang.
Yang salah tetap salah.
Dan aku harap kebenaran akan terbongkar jua.

Di negara Malaysia,
semua orang boleh menjual apa sahaja.
Semua orang boleh meletakkan harga apa sahaja.
Takda siapa nak bising-bising.
Tetapi apabila melibatkan kesihatan,
apabila melibatkan doktor swasta,
mereka mula berkira-kira pasal harga dan kos.
Pasal tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Ramai beranggapan doktor swasta semua nak cepat kaya.
Nak mengaut keuntungan semaksimum mungkin,
tetapi kenapa tak bertanya soalan yang sama kepada hospital-hospital swasta.
Mereka lagi hebat mengira keuntungan.

2016 baru sahaja bermula.
Semangat aku masih membara.
Tetapi cerita-cerita begini mula memadam semangatku.
Aku sekadar boleh mendoakan,
semoga doktor-doktor ini terlepas daripada tuduhan.
juga semoga kerjaya doktor GP sepertiku,
tidak semakin dipandang hina oleh masyarakat.

Selamat malam kawan-kawan!



1 ulasan:

  1. semoga ada keadilan pada mereka ....
    dan doktor pun kena berhati spt doktor ckp check jg wlupun hanya rm10. tkt jd cam ni pulak ... bg sy mmh tidak berbaloi dengan bayaran tu

    BalasPadam