Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

28 Mei 2016

Aku dan #FAMBangsat


TMJ dah jumpa.
Punca utama kenapa bolasepak Malaysia tak boleh nak maju.
Dalam apa-apa sukan,
Semangat sahaja tak cukup.
Kena ada sumber kewangan.
Kena ada dana.
Dan dana perlu diurus secara berhemah.
Aku malas nak cakap banyak.
Biarlah fakta-fakta berikut berbicara sendiri.

PENDEDAHAN FAKTA BOLASEPAK DALAM SEMINAR BERSAMA PENYOKONG DI STD LARKIN.
Perjanjian terbaru FMLLP antara FAM dan MP SILVA, hasil penyiaran dibahagikan seperti berikut: pasukan-pasukan bertanding menerima 30%, FAM 40%, pengurusan liga 20% dan untuk pengadil serta pengurusan akar umbi 10%.

-----------


Sebagai contoh, sekiranya jumlah hasil penyiaran liga setiap tahun adalah RM70 juta, RM21 juta akan diagihkan kepada semua pasukan dimana setiap pasukan mendapat RM1 juta. FAM menerima RM28 juta, pengurusan liga RM14 juta dan untuk pengadil dan pengurusan akar umbi sebanyak RM7 juta.
-----------
Sepatutnya peruntukan pengadil disalurkan kepada badan pengurusan pengadil yang berkecuali, supaya tiada isu berat sebelah kepada setiap pasukan.
-----------
Menjadi persoalannya, mengapa FAM menerima RM28 juta sedangkan FAM tidak menguruskan liga? Perjanjian terdahulu antara FAM dan ASTRO, FAM menerima RM30 juta hingga RM40 juta daripada ASTRO setiap tahun dengan syarat diagihkan kepada semua pasukan yang bertanding dalam RM1 juta atau RM2 juta. Tetapi JDT hanya menerima RM180,000 sahaja. Ke mana pergi selebihnya?
---------
Yang terbaru, FAM membuat perjanjian dengan MP SILVA, jika mahu menguruskan liga FAM akan menjual hak penyiaran kepada mereka. Liga Malaysia bukan milik FAM. FAM hanya “pemegang amanah”. Liga ini adalah hak ahli gabungan. Jikalau tiada ahli gabungan, tiada pasukan bertanding dan tiadalah liga. Apabila tiada liga tiadalah badan induk iaitu FAM.
----------
Inilah bukti yang FAM mengaut keuntungan melalui pengagihan bahagian yang tidak adil.
-----------
Bolasepak adalah hakmilik rakyat dan orang ramai. Bolasepak ini bukan periuk nasi saya. Saya buat kerana sukakan melihat rakyat saya bersatu. Saya buat dengan jujur dan ikhlas. Jikalau pemimpin tidak boleh berlaku jujur, tidak ikhlas, tidak boleh menjalankan tugas, tiada ketelusan, ianya bermakna dia tiada kaliber sebagai pemimpin.
--------
Apa yang akan memajukan bola sepak tanahair bukan sahaja pihak FAM, tetapi mentaliti pemikiran kita. Tindakan lebih bermakna dari kata-kata. Jikalau mereka ikhlas untuk memajukan bolasepak tanahair, saya ada mengemukakan cadangan-cadangan kepada FAM. Jika mereka tidak kisah, bermakna mereka tidak pedulikan pasal bolasepak.
--------
Amat mendukacitakan kerana suara penyokong bolasepak tidak didengar oleh pihak atasan (FAM). Di Johor, Alhamdulillah syukur, kita ada lain sedikit, mungkin budaya di sini lain sedikit kerana suara mereka didengar sejak hari pertama. Mungkin cara mereka bekerja, melaksanakan tugas, prinsip mereka tu lain, tapi mereka kena faham bahawa bolasepak bukan milik mereka tetapi adalah milik seluruh rakyat.
---------
Mereka yang menjalankan tugas bagi persatuan bolasepak perlu jujur dan telus. Mengenai hak penyiaran, ramai yang pandai bercakap tetapi semuanya temberang. Tiada yang bercakap berlandaskan fakta sehingga mengatakan TMJ sibuk memperjuangkan hak penyiaran kerana JDT sudah berbelanja besar. Sebenarnya hak penyiaran ini adalah hak semua pasukan yang bertanding. Hak penyiaran adalah tulang belakang dari segi kewangan kepada setiap pasukan yang bertanding.
---------
Di liga-liga bolasepak maju, 90% hasil hak penyiaran diagihkan kepada pasukan, manakala apa sahaja yang mereka dapat melalui penajaan adalah merupakan bonus tambahan untuk pasukan. Berbeza dengan kita, Astro membayar kepada FAM RM220 juta sejak 2011 hingga 2014 dengan syarat FAM mengagihkan kepada semua pasukan bertanding. Kita semua tahu ini pasukan-pasukan bertanding tidak menerima apa-apa, dan FAM telah “merompak” hak pasukan.
----------
Bagaimana FAM hendak menutup pintu gejala rasuah bolasepak sekiranya pasukan tidak berkemampuan untuk menguruskan pasukan masing-masing? Kalau semua pasukan dapat hasil penyiaran yang sepatutnya, dapatlah mereka membayar gaji mengikut masa dan elaun-elaun yang walaupun sedikit pasti dapat membantu menutup pintu rasuah bolasepak.
----------
Sekarang ini, masih wujud lagi gejala rasuah bolasepak kerana terdapat masalah pembayaran gaji pemain. Saya tidak salahkan pasukan, kerana saya tahu bagaimana peritnya mencari dana untuk pasukan. Bagaimana pasukan hendak bertahan kalau FAM sebagai badan induk bolasepak tidak membantu? Dengan keadaan sekarang, tak perlulah hendak bercerita tentang menswastakan liga.
----------
Bolasepak tanahair ketinggalan 40 tahun ke belakang kerana tidak ada yang bergerak dalam bola sepak. Tiada ada orang yang hendak menggerakkanya. Kini saya menerangkan berkenaan hak penyiaran kerana saya menyuarakan perkara yang betul, kerana itu adalah hak pasukan. Lihat sahaja Cardiff City, mereka dapat RM75 juta hasil penyiaran, dan mereka berada di divisyen dua liga Inggeris.
Kita perlu menentang korupsi. Sekiranya FAM ikhlas hendak mengubah hala tuju bolasepak tanahair, baik mereka memandang serius perkara ini.
----------
Johor mempunyai padang yang terbaik dan fasiliti terbaik di tanahair, dan kami hanya mebelanjakan kurang RM200,000 untuk penyelenggaraan termasuk staff, barang-barang dan alatan penyelenggaraan. Kita mestilah berbelanja mengikut kemampuan. Jika kita dapati dana pasukan kita amat terhad, kita boleh kurangkan pengambilan pemain import dan lebihkan pembangunan pemain tempatan. Janganlah sampai kita melebihkan pemain import sehingga nasib pemain tempatan kita terabai.
-----------
Sebagai ketua atau pemimpin, kita perlu bertanggungjawab. Tidak boleh cakap "tak apa”, kerana itu membawa maksud anda lepas tangan. Saya ni sentiasa bersuara kerana saya suka tengok orang lakukan sesuatu tu dengan ikhlas, jujur dan tidak mengambil kesempatan, serta jangan menipu dan membodohkan orang ramai. Anda sebagai penyokong perlu tahu apa yang berlaku kerana itu hak anda.
-----------
Berkenaan pasukan kebangsaan, saya berharap FAM membuat pilihan jurulatih yang betul. Ada yang mengatakan bahawa kita tidak boleh selamatkan lagi bolasepak tanahair, bahawa kita cuma boleh berharap pada pembangunan belia. Takkan hendak ditunggu pemain yang sekarang ni berumur 12 tahun? Bagaimana pula nasib pasukan yang sedia ada? Mari betulkan dahulu apa yang ada. Selagi boleh diperbetulkan, kita usahakan. Itulah tindakan yang sepatutnya diambil. Ambillah jurulatih yang layak dan betul-betul boleh buat kerja, berikan kebebasan. Jangan ‘berkongsi’ gaji dia. Kita ada potensi dan peluang untuk naikkan bolasepak negara, tetapi ianya perlu dilakukan dengan cara yang betul.
----------
Harimau Muda ni diwujudkan kerana ada individu yang ingin mengambil kesempatan membuat duit. Dihantar ke sana sini, tetapi bila ada perlawanan, tak pernah menang pun. Sepatutnya, jika semua pasukan mempunyai asas kewangan kukuh, pembangunan belia diwajibkan daripada umur 8 tahun hingga 16 tahun kepada semua pasukan yang bertanding, tetapi malangnya mereka tidak ada peruntukan.
---------
Bolasepak sukar hendak maju kerana ramai yang memegang jawatan atas kepentingan politik. Kepada mereka yang berangan untuk menswastakan liga, pada saya liga kita belum bersedia untuk diswastakan kerana masalah kewangan setiap pasukan. Pasukan tidak ada stadium sendiri, malah pusat latihan sendiri pun tidak ada maka bagaimana hendak swastakan liga?
----------
Kepada laman-laman web dan facebook bolasepak, janganlah beri harapan palsu kepada penyokong. Cakap berpandukan fakta, berikan maklumat yang betul kepada penyokong. Jangan sebarkan gosip kerana ia tidak akan membawa ke mana. Sampaikan kepada semua penyokong dari utara ke selatan situasi sebenar yang berlaku dalam bola sepak.
---------
Daripada bergaduh antara satu sama lain, baik anda “bergaduh" dengan Presiden anda sendiri kerana mereka tidak menggerakkan pasukan hinggalah ke hari ini. Itu pandangan ikhlas saya..

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor


Salam hujung minggu kawan-kawan.







1 ulasan: