Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

05 Jun 2016

Aku dan Hujung Minggu Ini

" Malam tadi saya cirit-birit doktor.
Satu malam saya tak tidur. "
Bila aku periksa,
tiada satu bukti pun yang mengesahkan ceritanya.
Tekanan darah normal.
Nadi normal.
Perutnya normal.
Lidahnya pun biasa sahaja.
Tak nampak macam orang kekurangan air.
Tak nampak macam orang tak cukup tidur.
" Mintak MC hari ini doktor. "

" Saya sesak nafas doktor. "
" Ada bomoh cakap injap jantung saya dah sumbat. "
" Dah pergi klinik pakar kerajaan belum? "
" Doktor tak payahlah tanya macam-macam. "
" Saya cuma nak MC sahaja. "

" Sebelum apa-apa saya minta maaf dululah doktor. "
" Aik! belum hari raya dah nak minta maaf? "
" Saya nak MC hari ini doktor. "
" Nak tolong uruskan anak nak masuk kolej. "
" Anak umur berapa? "
" Dah besar dah doktor. "
" Habis tu tak boleh ke uruskan sendiri? "

" Pak doktor, saya sakit kepala. "
" Semalaman enggak bisa tidur. "
" Pagi ini sudah makan ubat. "
" Sudah sembuh sedikit. "
" Tapi saya masih enggak bisa pergi kilang pagi ini. "

Seminggu sepanjang cuti sekolah ini,
pesakitku agak ramai.
Macam-macam hal.
Macam-macam karenah.
Macam-macam permintaan.
Macam-macam alasan.
Berserabut kepala otak aku.
Maka pada suatu pagi,
daripada aku menulis MC kepada orang lain,
lebih baik aku menulis MC kepada diri sendiri.
Sakit kepala, migraine, tekanan perasaan, stress.
Cadang nak lari sampai Kuala Lumpur.
Tetapi rasa jauh sangat.
Cadang nak lari ke Johor Bahru sahaja.
Tetapi rasa dekatlah sangat.


Awal pagi hari khamis.
Aku dah sampai dilokasi pertamaku.
Restoran Kari Kambing 40 Hari.
Misi pertama;
Makan Nasi Arab dalam dulang.


Bila ya kali terakhir aku sampai di sini?
Rasanya tak lebih setahun.
Tetapi dah banyak sangat perubahannya.
Ruang restoran dan semakin besar.
Meja makan pun dah tambah berlipat kali ganda.
Tanah sebelah pun dah diratakan untuk tempat letak kereta.
Dan yang penting.
Servisnya semakin pantas.
Macam masuk restoran makanan segera.
Layan diri sepenuhnya.
Pekerjanya ramai.
Menunya pun ringkas.
Jadi taklah kelam-kabut sangat.
Aku mencuba Nasi Arab Dulang.
Ayam 2 ketul dan Kambing 2 bahagian.
RM50 ringgit termasuk air minuman.
Alhamdulilah kenyang.


Bila masing-masing dah kenyang,
aku sambung perjalanan menuju ke Melaka.
Memandangkan hari ini bukan hari cuti,
lebuhraya adalah lengang.
Sebelum tengahari aku dah sampai di Dataran Pahlawan Melaka.
Misi kedua; 
Shopping baju raya.
Aku memang jarang beli baju.
Kecuali sebelum raya.
Pilihanku pun senang sahaja.
Dan paling senang.
Aku ke Uniclo.
Sambar t-shirt 2 helai.
Kemeja sehelai.
dan seluar sehelai.
Nasib aku agak baik.
Ada banyak diskaun aku dapat.
Begitu juga dengan anak lelaki aku.
Setiap kali nak shopping raya,
aku pasti teringat kisah ini.
Kisah seorang budak lelaki lurus bendul.
Yang pertama kali bershopping untuk raya.
Emak beri duit.
Suruh beli seluar panjang.
Pesannya mudah sahaja.
Kalau beli ambil saiz besar sedikit.
Jadi boleh dipakai lama.
Lalu budak lelaki itu pun ke Kota Tinggi.
Mencari seluar jeans pilihannya.
Kalau ikut saiz pinggang,
dia pakai saiz 27.
Tetapi sebab ikut pesan emak,
dia beli saiz 29.
Petang raya dia beraya dengan seluar sekolah.
Sebab seluarnya tak boleh nak dipakai lagi.
Kena tunggu 2-3 tahun lagi baru boleh dipakai.
  

Pukul 3.00 petang.
Aku ke lokasi berikutnya.
Misi nombor tiga;
Check in di Hotel Mahkota Melaka.
Aku pilih hotel ini sebab lokasinya.
Banyak tempat boleh diterjah dengan berjalan kaki sahaja.
Aku dapat apartment satu bilik ditingkat 5.
Dengan pemandangan balkoni menghadap laut yang ditambak.
Dengan harga kurang 250 ringgit semalam,
padaku masih lagi berbaloi.
Walaupun tiada sarapan pagi.
Walaupun masa masuk bilik,
bilik belum dikemas.
Walaupun peralatan dalam bilik sudah outdated.
Tvnya bukan ditampal didinding.
Aircondnya tak cukup sejuk.
Telefonnya tidak berfungsi.
Tetapi aku masih berpuashati.
Layanan stafnya bagus.   
Selain ada bilik tidur 2 katil bujang,
aku dapat ruang rehat untuk bentang toto,
juga ruang dapur untuk makan-makan.
Nak masak yang ringkas-ringkas pun boleh.


Sebelah malam,
aku sambung mengukur keluasan Mahkota Parade dan Dataran Pahlawan.
Wife disebelah timur,
manakala aku disebelah selatan.
Bila masing-masing dah lapar,
kita berjumpa di Asam Pedas Jr.


Kalau di Melaka,
memang tak sah tak mencuba asam pedasnya.
Ini kali kedua aku makan di sini.
Asam Pedas Ikan Pari,
Asam Pedas Telur Ikan,
Kupang Masak Sambal,
dan ulam-ulaman berserta sambal cencaluk.


Rasanya cukuplah setakat ini.
Harga makanan dah makin mahal.
Kena GST pulak tu.
Asam pedasnya terasa biasa sahaja.
Portion nasinya pun makin kurang.
Minta nasi tambah pun dah 2 ringgit sepinggan.
Itupun tak sampai separuh pinggan kuantitinya.


Lepas makan,
wife balik ke bilik.
Manakala aku menyambung misi seterusnya;
Aku pergi tengok wayang.
Bosan duduk bilik.
Tvnya kecil sangat.
Jadi kena cari tv berskrin besar.
Aku menonton wayang di GSC Dataran Pahlawan.
Teenage Mutant Ninja Turtles.
Cerita budak-budak.
Jalan cerita yang klise.
Transformers dah buat.
Avengers pun dah buat.
Kisah peperangan memasang alat untuk membuka pintu dilangit.
Untuk membenarkan alien datang menyerang bumi.
Aku dan anak tidur pada sebahagian cerita.


Pukul 1 pagi.
Wayang pun habis.
Aku berjalan kaki balik ke hotel.
Melaka dah sunyi.
Kereta pun dah tak banyak.
Maklumlah bukannya hari cuti. 


Hari Jumaat.
Aku ambil kesempatan jalan-jalan sebelum balik.
Tetapi aku tak tahu mana nak pergi.
Nak ke pantai dah biasa.
Nak ke zoo dah biasa.
Nak shopping lagi dah biasa.
Jadi aku ke sini.
Baba & Nyonya Heritage Museum.
Di Jalan Tun Tan Cheng Lock.


Lokasinya strategik juga.
Tak susah nak cari.
Tapi nak cari tempat parking kereta yang susah.
Dua buah lot rumah lama.
Dikekalkan menjadi muzium.
Daripada luar dah nampak cantik.
Dalamnya pasti lebih cantik.


Masuk sahaja aku disapa oleh nyonya tua berkebaya.
Bayaran masuk 16 ringgit seorang.
Kalau buat tour sendiri,
Mereka beri pinjam satu buku panduan.
Dan kalau nak ikut tour guide,
Kena tunggu sebelah petang.
Aku kata aku jalan sendiri pun takpa.


Gambar hanya boleh diambil di kawasan pintu masuk sahaja.
Sebelah dalam adalah dilarang.
Hanya boleh tengok sahaja.
Tetapi alang-alang dah sampai,
maka aku pun masuklah.
Wife dan anak perempuan tak ikut masuk.
Jimat kos kata mereka.


Aku pernah tengok muzium ini di History Channel.
Memang sangat bersejarah tempat ini.
Bermula daripada kurun ke 18 lagi.
Banyak barang-barang yang sangat berharga.
Yang rasanya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.
Kalaulah mamat kepala botak Pawn Star datang sini.
Mesti dia pun terkial-kial nak letak harga.


Muzium ini ada 3 bahagian.
Depan, atas dan belakang.
Banyak bilik.
Banyak ruang pameran.
Banyak cerita.
Peminat sejarah mesti teruja bila masuk sini.


Lepas setengah jam,
Wife dah panggil.
Kat luar dah panas.
Jom balik katanya.


Sebelum balik,
Aku mencari asam pedas lagi sekali.
Tak susah nak cari kalau di sini.
Banyak kedai makan menghidangkan lauk yang hampir sama.
Sedap tak sedapnya sahaja.


Untuk balik ke Johor Bahru,
Aku ikut jalan dalam.
Daripada Melaka terus ke Muar,
Cadang nak singgah di Batu Pahat,
Tapi tak jadi.
Aku masuk Parit Sulong,
Yong Peng dan terus ke Ayer Hitam.
Hari bukan hari cuti,
Jadi jalan pun lengang.
Seronok memandu melalui jalan-jalan kampung.
Kebanyakan pemandunya berhemah.
Takdalah sakit hati tengok kereta memotong dilaluan kecemasan.


Sebenarnya aku sedang menjalankan misi terakhir;
Misi mencari durian bukan import Thailand punya.
Misi paling sukar.
Sepanjang jalan langsung tak jumpa gerai-gerai durian.
Memang diluar musim.
Jadi mana nak jumpa.
Nasibku baik.
Sebelum masuk Tol Yong Peng Utara,
Ada cina jual durian kampung ditepi jalan.
Aku pun berhenti.
Tengok harganya,
macam beli emas.
Mahalnya.
Demi untuk menyelesaikan misi.
Nak tak nak kena beli juga.
Walaupun harganya macam segumpal emas,
Demi nak rasa.
Belilah juga sebiji dua.
Takut keempunan.
Tapi rasanya sepadan dengan harganya.
Pergh! sepanjang jalan asyik mencium tangan sahaja.
Oh! Puspawangi.
Macam dalam cerita Musang Berjanggut gamaknya.


Sebelum Maghrib,
Aku dah sampai rumah.
Hilang sedikit ketensionan.
Terutama bila tengok almari.
Aku dah dapat baju raya aku untuk tahun ini.


Hari Sabtu.
Aku balik kampung.
Aku kerah anak-anak.
Bergotong-royong membersihkan rumah atuk dan neneknya.
Bersihkan tingkap.
Vakum lantai.
Mop lantai.
Manakala aku mengecat semula pagar kayu
juga kerusi rotan kesayangan emak yang dah usang.


Bahagian pertama dah siap.
Tetapi kena sambung lagi.
Bilah kipas belum dilap.
Mentol ada yang perlu ditukar.
Longkang pun belum disental.
Kasihan tengok emak dan abah.
Dah tak larat nak buat semua itu.


Sebelum Maghrib hari sabtu.
Aku dah sampai di Felda Ulu Belitong.
Kakak aku ajak makan kat rumah dia.
Jamuan sebelum Ramadhan katanya.
Ada Asam Pedas.
Ada Soto.
Ada Ayam Goreng Pandan.
Hilang penat mengemas bila ada orang tolong masakkan.
Nanti bulan Ramadhan giliran aku pulak.


Salam hujung minggu kawan-kawan.
Salam Ramadhan juga.
Semoga Ramadhan tahun ini jauh lebih daripada tahun-tahun sebelumnya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan