Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

15 Ogos 2016

Aku Dah Kembali?


Beberapa bulan kebelakangan ini,
hidupku agak kelam-kabut.
Kesibukan diklinik memang tak terkata.
Bulan puasa, bulan raya dan bulan selepas raya pun,
klinik aku jarang sunyi.
Pesakit yang datang bagai tak tertahan.
Pagi, petang, malam klinikku tetap penuh.
Walaubagaimana aku mencuba,
waktu menunggu giliran masih melebihi sejam.
Dah macam klinik kerajaanlah pulak.

Ramai kata itu semua rezeki.
Tetapi zaman keseronokan merawat pesakit dah lama padam dalam diriku.
Kalau 10 tahun dahulu aku suka pesakit memenuhi klinikku.
Tetapi selepas 10 tahun aku dah jadi sebaliknya.
Pesakit seolah-olah sudah menjadi beban kepadaku.
Pesakit sudah tidak menjadi keutamaanku.
Pesakit sudah tidak menjadi tanggungjawabku.
Setiap kali aku bangun pagi aku memang memasang niat.
Nak berbakti kepada para pesakitku.
Nak memberi perkhidmatan terbaik kepada para pesakitku.
Tetapi bila sampai dalam klinik,
aku melihat deretan muka yang sama.
Muka-muka yang rajin nak minta MC denganku.
Langsung terbantut semua azam dan niatku.
Aku pun balik dan kembali ke asalku.
Melihat pesakit secara ala kadar.
Terutama dengan pesakit-pesakit panel.
Yang kebanyakannya malas nak pergi bekerja.
Yang kebanyakannya mencari alasan untuk tak nak bekerja.

Dalam FB banyak status negatif ditujukan kepada para doktor sepertiku.
Doktor tak merawat pesakit.
Doktor tak memeriksa pesakit.
Doktor kerja sambil lewa.
Dan paling win ialah doktor tak nak beri MC.
Sakit setengah mati pun doktor tak nak beri MC.
Antara sebab utama aku cepat bosan jadi doktor ialah sebab MC.
Antara sebab utama aku semakin lambat masuk klinik ialah sebab MC.
Antara sebab utama aku tak galak anak-anak jadi doktor ialah sebab MC.
Doktor sepertiku tidak dapat dipisahkan dengan MC.
Kawan-kawan akan ingat aku bila mereka perlu MC.
Saudara-mara akan ingat aku bila mereka perlu MC.
Malah kawan punya kawan punya kawan pun ingat aku bila perlu MC.
Dulu aku suka tulis MC.
Dulu rasa seronok menyain surat MC.
Tetapi kini tidak lagi.
Aku lebih seronok menulis surat akuan dan time slip sahaja.
MC dah jadi satu beban.
MC dah banyak sangat disalahgunakan.

Aku ingin bertanya kembali kepada yang menuduh.
Macam mana doktor tak sambil lewa,
kalau hidup-hidup doktor nak ditipunya?
Awal pagi lagi dah nak kena temberang dengan pesakit.
Awal pagi 7 orang daripada satu kilang dah berlonggok depan klinik.
Muka berseri-seri.
Duduk sembang-sembang sambil gelak-gelak.
Tapi bila masuk dalam bilik rawatan,
muka semuanya jadi ketat.
Sakit sana, sakit sini.
Bila tanya lebih-lebih berani pula menjawab,
"Doktor tak payahlah tanya macam-macam."
"Saya nak MC sahaja hari ini."
Nak suruh doktor berhemah macamana lagi,
kalau seharian doktor duduk diklinik,
menghadap karenah pesakit yang sebegini.
Sakit kepala sebab kurang tidur.
Sakit kepala sebab malam buat kerja part time.
Sakit kepala sebab malam sibuk buat forex online.
Memanglah kau bayar kos rawatan dan konsultasi,
tetapi ikhlaskah pembayaran kau kalau kau tak dapat MC?
Dan berkatkah rezeki aku kalau aku turut bersekongkol dengan memberi MC?

Dua bulan yang lalu nama klinik cawangan naik lagi dalam FB.
Kali ini sebab ada pesakit tak dapat MC.
Doktor muka ketat.
Doktor periksa sambil lewa.
Seperti biasa nama klinik aku dipetik lagi.
Aku kembali famous.
Tetapi aku tak suka menjadi famous.
Aku tak suka namaku diviralkan di FB.
Aku tak suka dikenali ramai.
Macam-macam jenis penyakit aku boleh tangani.
Macam-macam jenis simptom aku boleh tangani.
Tapi penyakit berkaitan MC aku tak boleh.
Kerana lakonan mereka cukup hebat.
Simptom yang diberikan juga maha mega superb.
Kata sakit pinggang sampai tak boleh jalan.
Kata cirit-birit sampai tak terkira berapa kali dah masuk jamban.
Kata demam sampai menggigi-gigil.
Kata muntah sampai dah takda apa yang keluar.
Kata senggugut sampai tak boleh nak buat apa-apa.
Tetapi tengok muka segar-bugar.
Dressing bukan main cantik.
Make-up bukan main tebal.
Seluar jeans bukan main ketat.
Bila diperiksa,
Suhu normal.
Tekanan darah normal.
Lidah masih lembab.
Muka tak pucat.
"Bagilah MC doktor."
"Dah lama saya tak ambil MC."
"Dah lama saya tak dapat cuti."
"Sayang kalau tak ambik MC. Kuota MC banyak lagi."
"Dah beritahu boss saya ambik MC hari ini."
"Kalau tak dapat MC nanti kena potong gaji."
Rimas betul aku dengan ayat-ayat begini.
Belajar 7 tahun.
Pengalaman 20 tahun.
Penghabisnya kena sain surat MC sahaja.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,
pesakit panelku semakin tinggi peratusannya.
Pesakit bukan warganegara pun sama.
Merekalah juga punca kenapa aku mudah bosan menjadi doktor.
Pesakit panel ibarat datang percuma untuk mendapatkan rawatan.
Jadi bila percuma mereka akan datang sesuka hati.
Sakit sikit pun nak datang jumpa doktor.
Masalah rumahtangga nak jumpa doktor.
Malah masalah anak jiran pun nak jumpa doktor.
Kebanyakan penyakit mereka tak perlu jumpa doktor pun takpa.
Ambil masa akan sembuh sendiri.
Tetapi disebabkan boleh dapat jumpa doktor secara percuma,
maka beramai-ramailah mereka datang berjumpa doktor diklinik.
Manalah tahu ada rezeki boleh dapat MC.
Aku katakan percuma sebab mereka tak perlu membayar apa-apa.
Hujung bulan staf aku akan claim dengan majikan mereka.
Takpun claim dengan syarikat insurans mereka.
Bila claim kemudian itu yang jadi masalahnya.
Kadang-kadang cepat kadang-kadang lambat.
Itupun kena tolak sana-sini.
GST pun kena bayar.
Dan kalau claim pun takkan dapat sepenuhnya.
Bila tengok nombor dalam ledger memang banyak kosong kosongnya.
Tetapi cuba tengok duit dalam akaun bank.
Nak dapat separuh pun perit.
Orang ramai nampak doktor boleh hidup mewah.
Doktor boleh hidup senang-lenang.
Tetapi ianya tidak setimpal dengan usaha dan tenaga yang dicurahkan.
Tidak setimpal dengan masa yang dikorbankan.
Juga tidak setimpal dengan sakit kepala memikirkan masalah para pesakit yang datang.

Pesakit panel ni pun permintaannya macam-macam.
Aku paling pantang kalau belum apa-apa,
dah mintak nak rujuk ke klinik atau hospital pakar.
Terus sahaja menyirap darah aku.
Ditambah yang datang bawa diagnosis yang digoogle daripada internet.
"Saya takut saya kena kanserlah doktor."
"Saya takut saya ada slipped disc lah doktor."
"Saya nak buat scan kepalalah doktor."
"Saya nak mintak buat MRIlah doktor."
Mentang-mentanglah semuanya ditanggung majikan,
silap sikit aje nak jumpa doktor pakar.
Aku nasihat tak nak terima.
Aku beri penerangan tak nak dengar.
Malah semua cakap aku tak dipercaya.
Nak sangat jumpa doktor pakar.

Pesakit warga asing pun sama teruknya.
Mereka datang klinik untuk lari daripada kilang.
Dapat escape 2-3 jam daripada kilang dah kira bagus.
Tak dapat MC pun takpa.
Duduk berlonggok dalam klinik main handphone.
Bila ditanya sakit apa baru sibuk nak panggil jurubahasa.
Itupun 2 kali 5 juga level bahasanya.
Sakitnya pun yang bukan-bukan.
Biasanya sakit badan, sakit kepala,
pendek kata semuanya sakit.
Takda yang tak sakit.
Tak pun berkurap satu badan.
2-3 kali datang kurapnya tak sembuh-sembuh.
Macamana nak sembuh,
kalau sehari sekali sahaja mandi.
Lepas tu seluar dan spendernya kalau direndam dalam laut,
akan timbul semua ikan-ikan dilautan.
Macam-macam aku pesan.
Macam-macam ubat aku beri.
Tetapi kalau kebersihan diri tak dijaga,
apa lagi nak aku buat?
Takkan nak suruh aku mandikan dan cucikan pakaian mereka?

Aku rasa aku dah nak menopause.
Aku rasa aku dah nak burnt out.
Pekerjaanku dah tak menyeronokkan.
Masuk ke klinik ibarat masuk penjara.
Rasa tertekan dan moody sahaja setiap hari.
Kalau boleh aku dah tak nak tengok pesakit.
Kalau boleh aku nak duduk goyang kaki sahaja.
Tetapi masalahnya pesakit seolah-olah makin suka denganku.
Pesakit tetap ramai.
Pesakit tetap suka jumpa denganku.
Walaupun mulut aku semakin lancang,
pesakit tetap setia menungguku.
Mungkin jauh dilubuk hatiku,
aku masih seorang doktor yang berdedikasi.
Agaknyalah.

Sebenarnya,
secara luarannya aku memang dah malas nak masuk klinik.
Aku lebih suka duduk dirumah.
Tetapi bila dah masuk klinik,
dan jumpa dengan pesakit yang betul,
semangat seorang doktor kembali semula.
Aku tanya soalan-soalan yang relevan,
juga yang tak relevan.
Aku tanya hal-hal peribadi dan kehidupan mereka.
Aku periksa nadi dan tekanan darah mereka.
Aku periksa suhu mereka.
Aku periksa jantung dan paru-paru mereka.
Aku periksa perut mereka.
Aku bincang pasal penyakit mereka.
Beri mereka faham.
Beri mereka sedikit ilmu pengetahuan.
Tak perlulah nak pergi buat x-ray walaupun tangan dah terkehel.
Tak perlulah nak buat scope walaupun berak berdarah.
Tak perlulah nak check darah walaupun demam tak kebah-kebah.
Apa yang digoogle tu tak semuanya betul.
Apa yang dikhabarkan oleh kawan-kawan banyak yang tak benar.
Cuba makan ubat dahulu.
Dan tengok beberapa hari.
Kalau masih tak berubah juga.
Datanglah kembali.
Nanti aku akan buatkan surat rujukan.
Namun hampir 90% tak kembali lagi dengan sakit yang sama.
Mereka kembali dengan sakit yang lain.
Ataupun kembali semula membawa anak isteri yang sakit.
Namun pesakit sebegini semakin boleh dibilang dengan jari.
Kerana kebanyakan mereka lebih percaya dr google daripada dr MBBS.
Malah ramai yang berani berdebat dan menyanggah.
Dengan sedikit ilmu yang mereka ada.
Dan pesakit seperti ini tak guna dilawan hujah.
Buat sakit tekak dan sakit hati sahaja.

Lega sedikit kepala otakku.
Puas.
Dapat melepaskan apa yang tertanggung dalam kepala sejak berbulan lamanya.
Maaf kalau bahasa aku sedikit kasar.
Maaf kalau ada yang tersinggung.
InsyaAllah kalau ada kelapangan,
aku akan menulis lagi.
Aku tak kisah kalau tiada siapa yang membacanya.
Aku tak kisah kalau tiada siapa yang mengendahkan tulisanku ini.
Kerana aku tahu,
aku hanya popular bila pesakit nak sain surat MC sahaja.

Sebelum berehat tempohari aku ada memberi alasan.
Konon sibuk nak menyiapkan manuskrip bukuku.
Tetapi selepas dua bulan,
manuskrip ke mana, buku ke mana.
Hari ini syarikat buku menghantar email kepadaku.
Bertanya khabar tentang manuskrip yang telah diperbetulkan.
Tersentak aku.
Bila dah lama berhenti menulis,
nak mulakan balik sangatlah susah.
Otak jadi beku.
Jari-jemari pun beku.
Aku minta tempoh sebulan lagi.
Harap adalah idea-idea baru untuk dikisahkan.
Harap ada cerita-cerita baru untuk disensasikan.

Semoga ada sambungannya selepas ini.




14 ulasan:

  1. tak perlu nak terasa hati
    kerana sy bukan kaki mc
    rasanya kali terakhir sy ambil mc
    3 - 4 tahun yg lepas
    kerana diserang chicken pox

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tahniah kerana menjadi orang pertama mengomen di blog yang dah bersawang ini.
      Nanti beri hadiah...

      Padam
  2. thn ni mc baru 2-3 hari kot
    dah lama tak mc sbb sihat
    thn2 lps klu tuan tulis kompom sentap ni hahaha

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tahniah menjadi orang kedua.
      Nanti beri hadiah...

      Padam
  3. Teruskan menulis. Suka mendengar omelan ikhlas seorang doktor.

    BalasPadam
    Balasan
    1. insyaAllah.
      Kalau masa mengizinkan.

      Terima kasih tuan.

      Padam
  4. Doc...bertahan sikit lagi. Tunggu anak2 ganti mewarisi klinik. Lepas tu boleh concentrate menulis buku2. Dan boleh masak best2 dan hias rumah cantik2. Bila lah saya nak jadi suri rumah bergaji penuh pula... Boleh kemas dan memasak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Takda pewarislah Aziela.
      Anak-anak tak diberi galakan untuk mengikuti jejak ayahnya.

      Terima kasih singgah.

      Padam
  5. teruskan menulis doc zoul.. saya terhibur bila baca setiap kisah pesakit doc..

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah jika ada masa dan kelapangan...
      Terima kasih kerana masih sudi singgah.

      Padam
  6. bro,dicadang cuba upgrade keta baru pulak.mesti rasa tenang nanti:-)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cadangan ditolak.
      Kereta second takda harga sekarang.
      Pinjaman bank pun ketat sekarang.
      Ada cadangan lain?

      Padam
  7. Heyyyy...you are back, alhamdulillah, bertambah sedikit bahan bacaan ringan yang berkualiti untuk saya.

    BalasPadam
  8. Salam doc, honest dan isi tu kemas dan difahami..ada satu perenggan tu buat saya tak henti henti gelak..part cucikan baju..hahahah truely funny..(n_n)

    BalasPadam