Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

23 Ogos 2016

Aku Kehilangan Ayahku



Dua minggu sebelum menjelangnya Syawal, 
sahabat rapatku kehilangan ayahnya. Mereka berdua sentiasa dekat denganku atas banyak sebab. 
Ayahnya juga adalah salah seorang pesakitku. 
Sepanjang kehidupanku, 
inilah kali pertama aku melalui proses pengurusan jenazah. 
Aku tunggu daripada mula hinggalah jenazah selamat dikebumikan. 
Sahabatku memang dah cukup pengalaman menguruskan jenazah orang-orang kampungnya. 
Jadi apabila ayahnya meninggal, 
dialah yang jadi ketua menguruskannya. Dialah yang memandikan, mengkafankan, 
menjadi imam sembahyang jenazah
seterusnya dialah yang pertama masuk ke dalam lubang kubur untuk menyambut jenazah ayahnya. 
Dialah juga yang memalingkan dan membuka muka ayahnya ke arah kiblat untuk kali terakhirnya. 
Sebagai seorang ayah, 
aku berbangga jika punya anak sepertinya. 
Dan sebagai seorang anak, 
aku tentunya bangga dan bersyukur dapat menguruskan sendiri jenazah ayahku. 
Aku kagum dengan semangatnya dan kebolehannya. 
Aku bercita-cita untuk menjadi sepertinya bila tiba saatnya nanti. 
Jika tidak 100 peratus, 
80 peratus pun jadilah. 


Sememangnya ayahku dah lama uzur.
Usianya dah mencecah 77 tahun pada 20 Mac yang lalu.
Walaupun dia tidak berpenyakit kronik,
kemalangan yang dialaminya kira-kira 3 tahun lalu
menyebabkan lutut kanannya semakin lemah.
Beliau semakin sukar untuk berjalan dah banyak bergantung kepada ubat penahan sakit.
Selain itu ayah juga mula menunjukkan kemerosotan pada fungsi otaknya.
Ingatannya semakin lemah.
Pendengarannya juga semakin lemah.
Tanda-tanda penyakit nyanyuk mula kelihatan.
Jadi nak berhubung dengannya perlu banyak sabar.
Ayah selalu bertanya soalan yang sama.
Soalan yang sama ditanya berulang-ulang.
Sebagai anak,
kadang-kadang aku rimas dengan soalannya.
Ada kalanya aku jawab.
Ada kalanya aku diamkan.
Jawapan perlu pendek, jelas dan bernada tinggi.
Kalau tidak tak guna bercakap dengannya.

Sehari sebelum Syawal,
ayah mula menunjukkan perubahan yang drastik.
Dia dah tidak dapat membezakan malam dan siang.
Puasa dan raya pun dia dah tak dapat beza.
Waktu tidur dan waktu makannya sangat janggal.
Pada pagi raya ayah tidur sampailah ke petang.
Syawal tahun ini aku tidak dapat mencium tangannya seperti selalu.
Aku hanya dapat menyampaikan salamku melalui ibuku sahaja.

Mulai saat itu,
ibulah segala-galanya kepada ayah.
Hanya ibu yang memahami ayahku.
Hanya ibu yang dapat menahan sabar melayan karenah ayahku.
Ketika orang lain tak faham apa yang ayah cakap atau mahukan,
ibuku faham.
Aku cuba faham perasaan ibu.
Aku sekadar dapat memberi semangat kepada ibuku.
Aku sekadar dapat mendoakan kesihatan  ibu.
Dan itu jugalah yang ibu harapkan.
Mohon didoakan semoga ibu sentiasa sihat dan tabah melayan karenah ayah.
Ada kalanya ayah tak tidur sepanjang malam.
Meracau-racau dan bercakap-cakap seorang diri.
Ada kalanya ayah demam panas dan ada kalanya ayah kesejukan.
Berulang kali dipujuk,
tetapi ibu enggan membawa ayah ke hospital.
Sebab ibu pun tahu,
tiada ubat untuk penyakit ayah.
Aku selalu periksa abah.
Paras gula juga tekanan darahnya normal.
Cuma ayah kadang-kadang kurang air sahaja.
Dia tak suka minum air masak.
Air minuman semestinya teh.
Teh susu ataupun teh O.
Pagi petang siang ataupun malam.


Sejak seminggu yang lalu ayah dah terlantar diatas katil sahaja.
Ayah hanya minum sekali sekala.
Ayah mengerang kesakitan jika badannya digerakkan.
Semua sendinya sakit.
Makan langsung tak nak.
Percakapan ayah hanya tinggal bunyi sahaja.
Itupun hanya ibu yang faham.
Dan mulai petang khamis yang lalu,
ayah sudah tidak mahu membuka mata lagi.
Nafasnya laju.
Sebagai seorang doktor,
aku tahu apa yang sedang berlaku.
Tetapi sebagai seorang anak,
aku jadi buntu.
Tak pernah aku mengalami saat-saat seperti ini.


Malam Sabtu yang lalu.
Aku sudah habis ikhtiar.
Keadaan ayah tak berubah.
Jiran-jiran dan sahabat-handai sudah mula datang menziarah.
Aku dan ahli keluarga semuanya dah pasrah dan berserah kepada ketentuan Ilahi.
Pukul 2.50 pagi awal pagi Sabtu,
ibu menelefon dan memaklumkan keadaan ayah.
Ketika aku sampai,
ayah sememangnya sudah tiada.
Ayah sudah pergi meninggalkanku untuk selama-lamanya.
Selepas itu,
proses urusan menyempurnakan jenazah ayah pun bermula.
Selepas solat subuh, aku pergi ke balai polis untuk membuat laporan kematian.
Adik iparku pula telah berhubung dengan khariah masjid sebelum itu
dan urusan pengkebumian akan dimulakan selepas solat subuh.


Berita kematian ayah diumumkan melalui pembesar suara masjid.
Tak lama selepas itu,
tak putus orang yang datang menziarah.
Yang jauh, yang dekat,
yang aku kenal, yang aku tak kenal.
Mereka tak putus-putus mengucapkan takziah kepada kami sekeluarga.
Whatsapp jangan ceritalah.
Itulah untungnya duduk dizaman teknologi.
Berita sangat mudah dan pantas untuk disebarkan.

Pukul 8.15 pagi,
aku membantu memandikan jenazah ayah
seterusnya menyaksikan urusan mengkafankan ayah.
Alhamdulilah,
segala-galanya lancar dan dipermudahkan.
Ketika jenazah ayah dibawa keluar untuk dibawa ke masjid,
cuaca bertukar redup dan mendung.
Aku diberi kesempatan untuk membuat sedikit ucapan sebagai anak lelaki sulung.
Aku cuba menahan airmataku daripada gugur ketika berucap tentang ayah.
Satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan ayat dan kata-kata.


Pukul 9.00 pagi,
jenazah ayah tiba dimasjid.
Untuk kali terakhirnya ayah menjejakkan kakinya ke masjid yang telah sekian lama tidak dikunjunginya.
Jenazah ayah disembahyangkan oleh imam satu masjid
kerana aku tidak cukup yakin untuk mengetuainya.
Pukul 9:20 pagi,
jenazah ayah dibawa ke kubur.
Liang persemadian ayah belum siap sepenuhnya ketika jenazah ayah tiba ditanah perkuburan.
Cuaca agak redup dan mendung seolah-olah membayangkan kesedihan kami sekeluarga.
Selepas 10 minit,
jenazah ayah siap untuk disemadikan.
Aku dan adik ipar aku turut sama masuk ke dalam liang.
Alhamdulilah jam 10 pagi,
jenazah ayah telah siap disemadikan dan bacaan talkin juga siap dibacakan. 


Dikesempatan ini aku ingin sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih
kepada kaum keluarga,
sahabat handai,
jiran tetangga,
kariah masjid dan kepada semua yang sempat hadir ke majlis pengurusan jenazah ayahku.
Banyak ucapan yang dikirim yang tidak sempat aku balas.
Kehadiran sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa menemaniku
sesungguhnya tidak dapat dibalas dengan ucapan terima kasih sahaja.
Semoga Allah jua yang membalasnya budi baik anda semua.


Malam pertama hingga malam ketiga,
ibu menganjurkan majlis tahlil di rumah yang disertai oleh jiran tetangga juga sahabat handai.
Ibu juga menganjurkan majlis yang sama dimasjid untuk memperingati kematian ayah. 


Kini ayah telah tiada.
Memori indah bersama-sama ayah tetap tidak akan aku lupakan.
Seumur hidupku,
ayah tidak pernah memarahiku apatahlagi memukulku.
Ayah hanya diam sahaja jika dia marahkan sesuatu.
Diam ayah lebih dalam kesannya daripada kata-katanya.
Aku tak lupa kali pertama aku mendapat nombor satu didalam peperiksaan sekolah.
Ayah membelikanku basikal chopper berwarna hijau untukku.
Aku juga tak lupa peristiwa ayah membelikanku basikal BMX berwarna merah
ketika aku berusia 13 tahun.
Seminggu aku mogok dengan ayah sebab ayah tak mahu membelikannya.
Ketika aku baru lulus MBBS dan sedang menunggu untuk panggilan posting,
ayah terlibat dengan kemalangan jalan raya.
Jarinya patah dan dimasukkan ke wad untuk pembedahan.
Akulah yang setia menunggu ayah semasa ayah didalam wad.
Semasa aku bertugas unit kecemasan hospital daerah,
ayah pernah dibawa ke unit kecemasan kerana kakinya cedera kena mesin gergaji.
Akulah yang menjahit lukanya sepanjang 30 cm dilutut kirinya.
Ketika ayah dimasukkan ke wad,
ayah mendapat layanan sangat istimewa daripada staf hospital.
Malah pengarah hospital yang jarang masuk ke wad turut menziarahinya.
Aku juga pernah membawa ayahku berjumpa doktor pakar tulang di hospital pakar.
Sakit pinggang yang amat sangat.
Macam-macam ubat aku beri tetapi ayah terus sembuh selepas diperiksa oleh pakar tulang tersebut.
Takda ubat.
Tak perlu scan.
Memang pelik bin ajaib sungguh.
Ayah tak pernah sebut didepanku bahawa dia bangga anaknya berjaya menjadi seorang doktor.
Tetapi ibu selalu menyampaikan kepadaku bahawa ayah selalu bercerita tentangku didepan kawan-kawannya.


Kini ayah telah tiada.
Aku akan rindukan segala permintaan ayah.
Banyak yang aku dapat tunaikan.
Banyak juga yang aku tak sempat nak tunaikan.
Tetapi setiap kali ayah datang menziarah,
masakan kegemaran ayah pasti akan aku sediakan.
Tom Yam Campur dengan udang yang bersaiz besar.
Itu sahaja lauk kegemarannya.
Semoga roh ayah aman dan damai di sana.
Al Fatihah.




12 ulasan:

  1. Takziah dan al fatihah. Moga ayah bersama dgn mrk2 yg soleh. Aku masih punya ayah ibu. Aku x dpt bygkan klu mrk dh tiada

    BalasPadam
  2. takziah tuan. semoga roh arwah ayah ditempatkan di kalangan mereka yang beriman...

    BalasPadam
  3. semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

    BalasPadam
  4. Takziah dan al fatihah...Semoga arwah ayahanda tuan ditempatkan dikalangan orang beriman..

    BalasPadam
  5. Salam tazkiah untuk Dr Zoul sekeluarga

    BalasPadam
  6. Inalilah....Semoga Allah Ta'ala menampuni dosa2 ayah Doc dan ditempatkan dikalangan orang2 soleh.

    BalasPadam
  7. Takziah doc. Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan para solihin.

    BalasPadam
  8. Al Fatihah untuk arwah ayah Doc. Saya dah basahkan berhelai2 tisu membaca catatan ini. Kasih dok kepada arwah dan kasih beliau kepada Doc sangat jelas kelihatan. Semoga anak saya juga akan mengasihi saya begini. Amiin.

    BalasPadam
  9. innalillah... Takziah Dr Zoul,,, saya baru tahu... semoga roh ayah bersama para solihin... Ya Allah, ampunilah ayah DrZoul, sayangilah dia, sejahterakanlah dia, rahmati dia, angkatlah darjatnya... Aameeeeeen
    - Abdooss, 27/10/2016

    BalasPadam