Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

05 September 2016

Aku dan Majlis Raikan Cinta Izzi&Amanina


Sejak seminggu yang lepas,
aku dan wife berkampung dirumah kakak iparku.
Menolong dan membantu mana yang perlu.
Untuk majlis meraikan menantunya yang sulung.
Dalam banyak-banyak majlis perkahwinan yang pernah diadakan,
ini adalah majlis yang paling besar.
Jemputannya ramai.
Saudara-maranya ramai.
Belum apa-apa aku dah dapat rasa kemeriahannya.


Untunglah saudara-mara dan ipar-duai ramai yang duduk berhampiran.
Jadi urusan kerja-kerja pra-majlis dibahagi-bahagikan.
Masing-masing ada kepakaran masing-masing.
Masing-masing ambik bahagian masing-masing.
Pada hari majlis pun sama.
Aku dah tak pegang kamera sekarang.
Ada suami kepada anak saudara yang ganti.
Dia ada geng photografer dia sendiri.
Dia adalah jurugambar professional. 
Jadi aku ambil tugasan yang lain.


Pada pagi hari persandingan,
diadakan majlis Potong Jambul terlebih dahulu.
Tahun lepas sambut 4 orang menantu.
Tahun ini sambut 4 orang cucu.
Alhamdulilah.
Makin besar keluarga HjYusop nampaknya.


Majlis dimulakan seawal jam 11 pagi.
Dan perarakan pengantin dimulakan sekitar jam 1 tengahari.
Cuaca memang cantik.
Matahari tetap terpacak di atas kepala.
Video yang aku ambil guna handphone pun nampak cantik sangat.
Tapi panasnya jangan cakaplah.
Boleh terbakar kulit kepala.




Untuk majlis ini,
aku ditugaskan untuk memasak Makan Berdamai.
Jawatan tak rasmi yang aku pegang sejak beberapa lama.
Tapi gubahan dan meja makan wife yang uruskan.
Aku hanya memasak sahaja.
Menunya pilihan pengantin.
Nanti aku cerita dalam entri berikutnya.


Lepas siap memasak,
aku duduk depan.
Menjadi pembantu kepada tuan rumah.
Menghulurkan goodies bag dan menyimpan sampul duit sumbangan.
Sehingga ke petang,
dua kotak penuh dengan sampul berisi wang.
Aku tak nak ambil tahu berapa jumlahnya.
Tetapi adat orang melayu.
Berapa banyak yang kita beri sebelum ini,
begitu jugalah pulangannya.
InshaAllah.


Jemputan majlis kakak ipar aku memang ramai.
Dia edar lebih dua ribu kad jemputan.
Dan kehadiran dalam lingkungan 85% katanya.
Aku yang duduk dibelakangnya pun dah hilang kiraan.
Terlalu ramai yang bersalam dengannya.
Sahabat handai jauh dan dekat.
Jiran tetangga.
Kawan-kawan.
Malah kawan-kawan masa sekolah rendah pun sempat lagi ber'reunion'.


Majlis berakhir kira-kira jam 5.00 petang.
Ketika tetamu mula beransur pergi,
saudara-mara rapat tetap setia menunggu.
Membantu mengemas apa-apa yang patut.
Melipat meja.
Menyusun kerusi.
Menyapu dan membuangsampah.
Mengumpulkan makanan yang tak habis.
Membasuh pinggan mangkuk.
Semuanya membuat kerja tanpa perlu disuruh.
Nasib baik ada tambahan 2 orang saudara daripada Bangladesh.
Setuju untuk membasuh pinggan dan periuk belanga.
Merekalah yang bertungkus lumus sampai ke malam.
Tak rugi beri mereka sedikit upah.
Kerana mereka bekerja sangat rajin.
Untung pasangan pengantin.
Tak macam zaman aku dahulu.
Pasanagan pengantinlah yang kena dera.
Mencuci periuk-periuk besar yang hitam legam.
Sekarang boleh main upah sahaja.
Mengelat.


Sesungguhnya majlis perkahwinan adalah sesuatu yang patut diraikan.
Lebih berbaloi buat di rumah sendiri berbanding di dewan.
Lebih berbaloi masak sendiri berbanding panggil katering.
Penat memanglah penat.
Perancangan majlis berbulan nak mengaturnya.
Dan nak mengemasnya,
sebulan pun tak siap.
Rumput dilaman pun,
sekurang-kurangnya 3 bulan baru tumbuh semula.
Tetapi adat melayu perlulah diteruskan.
Bergotong-royong sesama jiran tetangga.
Bersatu-padu sesama ahli keluarga dan saudara-mara.
Hari ini giliran mereka.
Giliran kita pasti akan tiba.

Kepada pasangan pengantin,
Selamat menempuh gerbang perkahwinan.
Perkahwinan adalah permulaan.
Untuk satu musim cinta yang panjang.




1 ulasan:

  1. seronok majlis kahwin kalau buat gotong royong mcm ni...slh satunya dpt mengeratkan lagi hubungan dgn sdra mara n jiran tetangga :)

    BalasPadam