Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

09 Oktober 2016

Aku dan Pesakit Hari Ini


Pada suatu tengahari,
sepasang suami isteri datang ke klinik.
Kedua-duanya kelihatan resah.
" Doktor, saya nak buat ujian HIV. "
Itu permintaannya.
" Boleh tak dapat keputusannya sekarang? "
Itu permintaannya lagi.
" Sabar dulu bang. "
" Ceritalah dulu apa masalahnya. "
Aku cuba meredakan keadaan.
Lalu diceritakannya.
Mereka baru sahaja balik daripada klinik kerajaan.
Sang suami bekerja sebagai pemandu lori.
Menghidap batuk sejak beberapa lama.
Beliau dah seminggu keluar hospital.
Datang kembali ke klinik kerajaan untuk pemeriksaan susulan.
Kebanyakan ujian TB termasuk kahak adalah negatif.
Termasuklah ujian Mantoux Test.
Mantoux Test adalah screening awal untuk penyakit TB.
Sedikit ubat disuntik dibawah kulit dilengannya.
Selepas 3 hari datang semula untuk bacaan.
Kalau lebih daripada 10mm dikira positif TB.
Kalau kurang dikira negatif TB.
Tetapi untuk dia,
bacaannya adalah 0.
Langsung tiada tindakbalas.
Mungkin silap nurse yang menjalankan ujian.
Aku tak pasti.
Tetapi bila tiada tindakbalas,
senang-senang sahaja doktor tu cakap kat sang suami,
" Awak mungkin kena HIV. "
" Datang semula esok untuk melakukan ujian HIV. "
Itu yang jadi kelam-kabut tu.

Ini kisah benar.
Ini kisah yang diceritakan oleh pesakit kepadaku.
Aku kena dengar cerita daripada sebelah pihak lagi.
Mungkin dia salah dengar.
Mungkin dia salah pemahaman.
Tetapi kalau sampai doktor kata dia mungkin ada HIV,
memanglah terbalik dunia.
Sebelum jumpa aku pun,
pasangan ini dah bergaduh dulu dah.
Isterinya pun nampak panik.
Sebab kalau suaminya positif HIV,
dia pun pasti positif juga.
Itu belum kira daripada mana datang kumannya.
Boleh perang dunia nanti.

Setahu aku,
sebelum melakukan ujian HIV,
kena ada pre dan post counselling.
Takdalah main sergah sahaja.
HIV pun bukannya jatuh daripada langit.
Mesti ada punca jangkitan.
Mesti ada risiko jangkitan.
Itu semua kena selidik dahulu.
Bukan main tembak sahaja.

Selepas bersembang dan menenangkan perasaan mereka,
aku pun ambil darah seperti biasa.
Isterinya bertanya kat aku,
" Doktor tak takut ke cucuk dia? "
" Doktor tak payah pakai sarung tangan ke? "
Cubalah anda bayangkan.
Kalaulah tiba-tiba doktor sibuk pakai mask,
Pakai sarung tangan bagai.
Semata-mata nak ambil darah dia,
apa perasaan dia agaknya?
Aku kata aku dah 20 tahun ambil darah.
Aku tak pernah melakukan diskriminasi.
HIV ke bukan,
mat gian ke bukan,
penjenayah ke bukan,
kalau tiada keperluan memakai sarung tangan masa ambil darah,
aku kata aku takkan pakai.
Lagipun aku nak menunjukkan keyakinanku,
bahawa dia bukan HIV positif.

Aku tak salahkan doktor dihospital dan klinik kerajaan.
Sebab aku hanya mendengar cerita sebelah pihak sahaja.
Kena tahu juga apa cerita sebenarnya.
Cuba ulang baca kisah ini.
Kisah yang lebih kurang sama sahaja.

Hari ini keputusan ujian darahnya sampai kepadaku.
Seperti dijangka.
Ujiannya negatif.


Tengahari tadi ada seorang lagi pesakit.
Warga Indonesia yang telah lama aku kenal.
Suaminya telah lama meninggal dunia.
Tinggal bersama anak perempuannya dirumah saudaranya.
Beliau pernah menjalani pembedahan usus dihospital kerajaan.
Malangnya jahitannya terbuka dan bernanah.
Diarahkan untuk melakukan daily dressing diklinik berhampiran.
Dan sejak pertama kali dressing denganku,
sampai sekarang dia memang tak pernah lari daripadaku.
Secondary suturing pun dia suruh aku buat.
Mati hidup balik pun dia kata takkan ke hospital.

Hari ini dia datang ditemani saudara-maranya.
Keadaannya sangat menyedihkan.
Badannya kurus kering.
Mukanya pucat.
Percakapannya sukar difahami.
Langsung tiada eye contact.
Dia dah jadi seperti orang lain kepadaku.

Dipendekkan cerita,
rumahnya dimasuki pencuri sebulan yang lalu.
Wang simpanan dan barang kemasnya habis hilang.
Khabarnya lebih 10 ribu nilaiannya.
Biasalah warga Indonesia.
Takda pasport pulak tu.
Mana pandai nak simpan wang dibank.
Dia dah jadi sasau.
Simpanan seumur hidupnya hilang sekelip mata.
Seharian dia hanya duduk dibilik sahaja.
Makan dan minum dah tak menentu.
Tidur pun sama.

Kasihan betul aku melihat dirinya.
Laporan polis pun cuma masuk statistik sahaja.
Langsung tiada maklumbalas sampai sekarang.
Lainlah kalau rumahnya ada CCTV.
Bolehlah diviralkan dalam FB.

Aku pun buntu.
Tak tahu bagaimana nak menolongnya.
Saudaranya kata nak cuba bawa balik ke kampung.
Nak berubat dikampung.
Khabarnya dikampung masih ramai saudara-maranya.
Anak dan cucunya pun masih ada.
Tetapi tekanan yang dihadapinya cukup berat.
Aku dapat bayangkan susah-payahnya nak mengumpul harta.
Berpuluh tahun menyimpannya.
Senang-senang sahaja diambil oleh jebon keparat.
Jebon pemalas dan nak hidup dengan cara mudah.
Iaitu mengambil hak orang lain.

Aku hanya mampu berdoa.
Semoga ada jalan untuknya.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan