Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

05 Oktober 2016

Aku dan Rock Bro

Ini entri lama aku.
Entri tahun 2009.
Tapi disebabkan filem Rock Bro,
aku kembalikan semula entri ini.
Filem Rock, Rock Oo dan Rock Bro adalah sangat nostalgia bagiku.
Aku hidup dizaman tersebut.
Zaman masing-masing nak berambut panjang,
Berbaju hitam,
berseluar ketat,
berkasut sukan high-cut,
bergelang dan berantai,
juga Walkman yang tak lepas daripada telinga.
Nasib baik masa itu aku tak hanyut.
Sempat lagi membaca buku.
Dan dapat buat Medik.
Ini entri baling belakang.
Sambil menunggu Rock Bro dipawagam.


Aku dan Muzik Rock
9 September 2009

Dulu aku memang peminat muzik rock. Era 80an semasa aku di tingkatan 5 seterusnya masuk ke Asasi Sains, muzik rock adalah halwa telinga menjadi teman mengulangkaji pelajaran. Pada aku muzik rock 80an tak jemu didengar. Petikan gitarnya sebijik-sebjik masuk dalam telinga; dan lirik lagu yang mudah menyebabkan iramanya melekat di jiwa.

Masa aku masuk asrama SMSJ sekitar tahun 1987, irama rock tengah memuncak waktu itu. Seluar jeans ketat, T-shirt hitam, t-shirt berlubang-lubang, rantai dan gelang tangan, kasut sport high-cut dan rambut panjang adalah trend masa tu. Masa tu semua orang nak ada band sendiri. Kalau hujung minggu, berderet-deret beratur depan kedai alat muzik. Jamming. Kumpulan rock dengan nama-nama ganas muncul sana sini. Sana sini orang sibuk belajar main gitar. Semua berlumba-lumba nak buat album. Tapi bila dapat buat album, nama kena tukar untuk jadi lebih komersillah pulak. Nama-nama bunga, bintang, haiwan jadi pilihan. Itu yang keluar nama Junction, Spring, Iklim, Massa, Lipanbara, May, Wings, Fotograf, Kris, Olan, Alfa, Gamma; nama yang senang ingat. Tinggallah satu dua nama yang ganas seperti Bloodshed, Rusty Blade juga Crossfire. Lagu-lagu ganas tukar jadi lagu-lagu cintan tangkap leleh. Itulah sifat tauke-tauke syarikat rakaman. Nak untung sahaja. Buat satu album dengan 8 lagu. Satu lagi hit tangkap leleh dan selebihnya lagu-lagu yang asal ada bunyi. Lepas satu album, kumpulan berpecah. Ahlinya buat group baru dan buat album yang lain pulak. Itu sebab rock di Malaysia tak tahan lama. Buat album guna pemuzik undangan. Bila main live, tak reti. Penyanyi setakat handsome je. Suara kalah katak panggil hujan. Tahu miming aje untuk klip video rancangan Muzik-Muzik TV3.

Seingat aku, album kumpulan rock memang berlambak-lambak masa tu. Tak kira dalam negara atau luar negara. Ada member aku siap boleh buat senarai kumpulan muzik A sampai Z. A untuk Aerosmith, B untuk Bloodshed, C untuk Cromok, D untuk Def Leppard, E untuk Europe, sampailah ke Z untuk ZZ Top. Semua orang ganas giler masa tu. Heavy metal punya lirik yang merapu-rapu pun kita boleh ingat. Gambar-gambar syaitan, darah, tengkorak dijaja sana sini. Kira brutal habis. Itu luar negara punya grouplah. Malaysia punya group harap dressing je lebih. Tapi lagu-lagu semua tangkap cintan. Tangkap leleh. Melankolik. Yang aku minat sangat masa tu ialah Wings dan Search. Habis majalah URTV aku langgan setiap bulan semata-mata nak simpan gambar artis pujaan. Masa Wings datang ke Kluang buat konsert, ada beberapa kawan aku fly dari asrama untuk tengok konsert mereka. Ambik gambar banyak-banyak lepas tu jual kat kawan-kawan. Laku giler beb!

Satu yang aku suka masa tengah kemaruk rock ialah aku belajar banyak perkataan Inggeris dengan mengingati nama kumpulan dan lirik-lirik lagu mereka. Iron Maiden (Maiden tu apa maknanya; siap cari kamus you), Metallica ( lirik lagu-lagu mereka cukup berhantu ), Sepultura, Scorpions, Bon Jovi, Anthrax ( masuk Medic baru dapat jumpa maknanya), Guns N Roses, Wah! jenuh kalau nak tulis semuanya..Masa aku masuk Asasi Sains, rock pun masih bertahan lagi. Aku pernah kena sembur dengan air FRU masa tengah beratur dan berebut-rebut untuk dapat tiket konsert percuma Wings dan Search sempena malam tahun baru. Aku ingat lagi Jemie balik dengan kasut yang tinggal sebelah. Sebelah lagi hilang entah kemana. Itulah pertama kali dan yang terakhir aku tengok konsert live dengan Jemie, Samsol dan Samril. Aku ingat lagi Samril janji nak berhenti hisap rokok malam tahun baru itu dan lepas tu 3 hari dia tak boleh bangun dari katil. Lepas 3 hari, dia hisap rokok balik.

Aku masih tak faham kenapa Menteri penerangan masa tu sibuk mengharamkan artis rambut panjang masuk tv. Sapa yang nak masuk tv, kena potong rambut. Takpun rambut kena tocang, sorok dalam topi atau sorok dalam baju. Bila masuk dalam tv, muka masing-masing dah macam pondan. Ada satu ketika, Tok Mat buat gimik potong rambut Awie dan Amy Search depan kamera. Lepas tu semua artis rock rambut paras bahu je. Kelakar sungguh. Memang macam pondan. Setahu aku cuma seorang sahaja yang tak potong rambut. Sampai mati dia takkan potong rambut. Walau tak masuk tv sekalipun. Itulah azam papa rock kita, Abang Ramli Sarip. Aku respect betul kat brader sorang ni. Walaupun periuk nasinya dikambus pasir sebab digam oleh RTM, dia masih kekal dengan prinsip dia.

Masa kat Asasi Sains UM, setiap bulan aku beli kaset baru. Kaset masa tu murah aje. Yang original baru 12 ringgit. Yang cetak rompak 5 ringgit. Kalau beli yang original dapat poster percuma. Tu yang dinding bilik penuh dengan gambar-gambar rockers. Semuanya gambar orang jantan tengah posing. Jantan rambut panjang, bermake-up tebal, bergincu. Terkangkang sana, terkangkang sini. Seluar koyak rabak. Woi! Kepple, kau ni gay ke apa? Itulah antara soalan wajib member-member yang bertandang ke bilik aku. Masa tu mat rocklah katakan. Tak mainlah jiwang-jiwang. Girlfriend pun takda. Semua kawan-kawan aku budak lelaki. Jemie itulah satu-satunya member kamceng aku. Walaupun dia bukan berjiwa rock, setidak-tidaknya dia bukannya mat jiwang.

Masuk ke Fakulti Perubatan, jiwa dah sikit berubah. Dah pandai ke muzik alternatif seperti Nirvana, Green Day dan lagu-lagu jiwang seperti Bryan Adams, Richard Mark, Roxette. Selepas kegemilangan rock berakhir, aku dah berhenti beli kaset. Dengar radio dah cukup dah. Sekarang ni kan ada Sinar FM. Penuh dengan lagu-lagu retro. Setiap petang dan malam ada ruangan lagu-lagu rock 80an. Lagu-lagu seperti Isabella, Sejati, Taman Rashidah Utama, Realiti dan Fantasi, tetap segar diingatan. Rasa seperti muda kembali.

Dengar lagu-lagu moden sekarang buat aku pening kepala. Irama entah apa-apa entah. Lirik lagi susah nak faham. Nasib baik lagu-lagu dari Indon sedap-sedap. Anak-anakku kejap aje dah hafal. Tapi camna pun tak boleh lawan rock 80an. Ok. Peace brother!

Moral of the story: Rock never die!!!


2 ulasan:

  1. wahhh rock uuu rupanye doktor ni .. hihi

    tp rock kapak 80an sampai skrg org minat ...

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam