Aku dan Statistik

Aku dan Cerita-Cerita Lama:

Kata Carian

08 Oktober 2017

Aku dan City of Perth: Hari Ketiga


Aktiviti hari ini ialah aku akan ke Pelabuhan Freemantle untuk mencari souvenir, makan Fish&Chips juga melawat Central Market. Pelabuhan Freemantle terletak kira-kira sejam perjalanan dengan menaiki keretapi. Mula-mula aku kena naik bas untuk ke stesen keretapi. Lepas tu barulah beli tiket distesen. Memandangkan aku ada tour guide, jadi aku taklah pening kepala. Aku ikut sahaja arahan mereka. Tahu-tahu dah naik keretapi.


Sistem pengangkutan di sini adalah paling terbaik dan tercekap pernah aku naiki. Basnya semuanya baru-baru. Keretapinya pun sama. Serba baru. Perjalanan keretapi menuju Freemantle melalui pekan-pekan kecil. Rumah-rumah disini kebanyakannya cuma setingkat sahaja dan berbumbung rendah. Semua rumah ada laman masing-masing dan tidak berpagar. Rumput dijaga rapi dan kebersihan di sini memang tip top. Rasa nak sahaja berhijrah ke sini.


Kira-kira jam 10 pagi, aku tiba di Freemantle. Semua orang terus menuju ke kedai souvenir di E Shed Markets. Perjalanan sejauh 300 meter pun tak terasa jauhnya sebab masing-masing dah sangat excited untuk berbelanja. Ada dua kedai utama yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia jika datang ke sini. Satu dipunyai oleh Cina daripada Kuala Lumpur manakala satu lagi dipunyai oleh orang Indonesia. Kedua-duanya sangat ramah dan fasih berbahasa Melayu. Bayar dengan duit RM pun mereka terima.


Apa yang aku perhatikan ialah kebanyakan souvenir diimport daripada China. Kualitinya berbeza. Ada yang nampak mahal, ada yang nampak murah. Tetapi harganya memang sangat berpatutan jika dibandingkan dikedai-kedai souvenir milik rakyat tempatan.


Ketika semua orang sibuk memborong, aku berjalan kaki menjelajah sekitar pelabuhan. Dengan cuaca yang panas berangin dan langit membiru, gambar-gambar menggunakan kamera wide angleku kelihatan sangat cantik dan dramatik. Inilah hobiku bila pergi ke tempat asing. Aku lebih suka menjadi street photographer daripada membelek-belek barangan dikedai-kedai.


Orang Perth hidupnya memang santai. Waktu kerja mereka memang pendek. Dan hujung minggu mereka dipenuhi dengan berehat bersama-sama keluarga dan kawan-kawan. Ada geng superbike, geng Harley, geng kereta antik, malah geng skuter pun ada. Masing-masing menikmati hidup tanpa banyak stress. Tak macam kita. Kena kerja siang dan malam. Hujung minggu pun kena paksa kerja demi kehidupan yang semakin membebankan.


Sekitar jam 12 tengahari, aku menaiki bas untuk ke Freemantle Markets. Nama aje market tetapi didalamnya banyak kedai-kedai menjual souvenir. Ala-ala macam Central Market di Kuala Lumpur. Inilah pertama kali aku melihat orang-orang Perth berkumpul, melepak, makan-makan sambil menikmati kehidupan. Keadaan didalam pasar memang sesak dan riuh-rendah. Macam-macam barang ada dijual dengan harga yang masih mahal untuk nilai duit RM kita. Jadi biasalah, belek-belek sahaja.


Dalam pukul 1, aku menaiki bas semula untuk ke satu lagi lokasi kegemaran rakyat tempatan. Tempat wajib datang untuk makan Fish&Chips yang paling terkenal didunia. Makanannya dikatakan halal tetapi sosnya tidak. Tour guide kami beli makanan secara bungkus dan kami makan ditaman depan Ferris Wheels. Sos yang halal dia bawa sendiri daripada Malaysia.


Untuk penggemar makan nasi dan ulam, Fish&Chips adalah biasa sahaja. Ramai yang makan sedikit dan selebihnya diberi kepada burung-burung yang berterbangan. Dengan cuaca yang panas tetapi berangin, ramailah warga tempatan yang sama-sama berguling-guling diatas rumput. Aku perhatikan cara mereka berpiknik sangat simple. Tak macam kita yang akan bawa makanan berat-berat juga pinggan mangkuk bagai. Mereka sekadar bawa sandwic dan air mineral. Selebihnya bawa alat permainan untuk anak-anak. Itu sahaja.


Pukul 3 petang, aku bertolak balik ke apartment. Kebetulan didalam kereta api, aku duduk berdepan dengan dua orang makcik geng dari Jerantut Pahang. Walaupun mereka tak pandai langsung berbahasa Inggeris, rasanya mereka lebih jauh berjalan daripadaku. China, Korea, Indonesia, malah Mekah pun mereka dah sampai. Sedang kami sibuk bersembang, seorang lelaki India sibuk menyampuk perbualan kami. Dia warga Singapura. Juruterbang dengan Singapore Airlines. Pandai juga dia berbahasa Melayu. Maka lagi rancaklah kami berbual. Macam tak ingat dunia dah. tadi masa dalam perjalanan pergi pun sama. Ketika warga tempatan senyap dan sunyi, kami berborak macam kat kampung sendiri. Ketika hampir nak turun distesen, seorang warga tempatan menyapa kami dalam bahasa Melayu. Rupa-rupanya dia faham apa yang kami bualkan. Dia seorang bekas pelajar di Indonesia. Kalaulah daripada tadi dia menyapa, rasanya mesti lebih meriah perbualan kami.

Turun daripada keretapi, kami dibenarkan ikut haluan masing-masing. Wife memang dah berkira-kira nak kembali lagi ke Watertown. Aku pula nak balik bilik dan tidur. Petang itu wife menghabiskan sisa duit AUD yang ada manakala aku termenung kat luar kedai. Esok dah hari terakhir aku di Perth.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan