Aku dan Perjalanan Umrahku: Hari Keempat

Pagi hari terakhir di Madinah.
Pukul 3:30 pagi aku kembali lagi ke Raudhah.
Kalau kali pertama aku hanya dapat berdiri dan berdoa,
kali ini aku dapat duduk, bersembahyang dan berdoa.
Hampir 30 minit aku duduk beriktikaf di situ,
sebelum memberi peluang kepada jemaah lain mengambil tempatku.
Menangis emakku bila aku tunjuk gambar tiang Raudhah kepadanya.
Ketika aku keluar daripada Raudhah,
hujan gerimis turun membasahi lantai masjid.
Jarang jumpa hujan di sini.
Pagi itu aku rasa dah puas berada di Madinah.
Jom kita ke Mekah pulak.


Selepas Subuh,
wife ajak menyambung window shopping lagi.
Yang terakhir sebelum berangkat ke Madinah.
Kali ini kami menuju ke pasar borong sebelah stesen bas.
Katanya harga barangnya lebih murah di sini.
Betul memang murah.
Sebab kualitinya agak rendah.
Kebanyakkannya pun China Made.
Jadi aku tak beli apa-apapun.




Pukul 10:30 pagi,
ustaz membawa kami untuk ziarah Wada'.
Ibarat mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah SAW.
Doanya diiringi dengan esakan tangis jemaah wanita.
Mungkin ini kali yang terakhir.
Mungkin ini pertemuan yang terakhir.
Tetapi andai umur panjang,
InsyaAllah kami akan datang lagi.



Pukul 2:30 petang,
kami menaiki bas untuk memulakan perjalanan ke Mekah.
Kami semua dah siap berpakaian ihram dan berhenti di Masjid Taif 
untuk bermiqat dan memasang niat umrah.
Sepanjang jalan kami bertalbiah,
ustaz pun ada memberi beberapa siri ceramah untuk pengetahuan jemaah.


Ikut ustaz,
kami tak payah masuk ke masjid di Taif.
Solat sunat ihram kami lakukan semasa di Madinah.
Kami menjamakkan solat zohor dan asar untuk menjimatkan masa perjalanan.
Kami turun 10 minit hanya untuk bergambar kenangan sahaja.


Perjalanan ke Mekah mengambil masa lebih 7 jam.
Perjalanan melalui padang pasir memang tiada apa yang nak dipandang.
Angin agak kuat semasa perjalanan,
boleh terasa bas tu agak tidak stabil akibat ditiup angin.
Ada cara lain ke Mekah iaitu dengan menaiki kapal terbang.
Tetapi harganya lainlah.
Lagipun beg masing-masing dan bertambah beratnya.
Kurma sahaja ada yang beli 10kg.
Kalau nak naik kapal terbang agak-agak berbaloi tak?


Kami berhenti rehat setengah jam pada satu hentian yang aku tak tahu namanya.
Keadaannya seperti dalam cerita koboi atau zombie.
Beberapa bangunan usang yang seolah tidak berpenghuni.
Kami turun untuk ke tandas, makan Nasi Lubnan juga untuk menarik nafas.
Beberapa minit selepas kami sampai,
berderet-deret bas lain pun sampai.
Pandai betul ustaz.
Mendahului jemaah-jemaah lain memudahkan segala urusan kami.
Itulah pengalamannya.
Dah 72 kali membawa group umrah seperti kami.


Kami tiba di Mekah kira-kira jam 8:30 malam.
Daripada jauh dah nampak menara jam,
menunjukkan kami dah hampir sampai ke kaabah.
Perjalanan memasuki kota Mekah sangat lancar kerana waktu itu Isyak sudah lepas.
Kalau kami sampai sebelum waktu Isyak,
pasti sesak jalan didepan hotel.


Hotel yang kami duduki sepanjang 6 hari di sini adalah hotel ini,
Mira Ajyad Hotel.
Taraf 3 bintang sahaja,
tetapi jaraknya hanya 250 meter ke Masjidil Haram.
Harga tanah di Mekah adalah jauh lebih mahal berbanding harga di Madinah.
Jadi hotel-hotel yang berada hampir dengan kaabah adalah sangat mahal.
Kalau tidur semalaman dah 500RS,
duduk untuk 6 hari?
Jadi kalau nak ambil pakej umrah,
janganlah cari yang paling murah sahaja.
Carilah yang mampumilik.
Sebab kalau murah sangat pun,
kena duduk jauh daripada masjid,
larat ke nak berulang alik 5 kali sehari ke masjid?
Takkan dah datang jauh-jauh,
akhirnya cuma sembahyang di bilik hotel sahaja?


Sebelum tiba dihotel ini ustaz dah berpesan macam-macam.
Jadi expectation aku tak tinggi untuk hotel ini.
Yang penting ada tempat untuk tidur dan bilik air sudahlah.
Yang lain-lain tak penting.
Tetapi Alhamdulilah,
aku puashati dengan hotel ini.
Kalau di Malaysia,
saiz bilik yang diberikan hanya untuk dua katil,
di sini ada empat katil.
Aku duduk dengan anak-anak bujang aku juga emakku.
Takda masalah.
Makanan bufetnya ala-melayu.
Ada Nasi Lemak, Nasi Goreng, Nasi Briyani,
ada rendang, ada sayur lemak, ada sambal belacan,
pendek kata aku seperti berada di Malaysia.
Cuma satu masalah kecil.
Kalau nak keluar hotel,
kena tukar dua lif.
Satu turun ke lobby dulu.
Lepas tu tukar lif untuk ke basement.
Lif hanya ada tiga.
Jadi kenalah tunggu giliran lama sikit.


Pukul 12 tengah malam ustaz membawa kami untuk melakukan umrah pertama kami.
Umrah wajib bagi orang yang pertama kali melakukannya.
Sesungguhnya tak rugi mengikut ustaz yang cukup pengalaman ini.
Walaupun keadaan sesak dan jemaah sememangnya ramai,
beliau relaks sahaja.
Suaranya tetap nyaring daripada mula sampai akhir.
Mula-mula kami tawaf tujuh pusingan.
Ustaz baca doa,
kami ikut beramai-ramai.
Mana-mana yang tak kuat jalan,
ustaz suruh ikut belakangnya.
Yang lelaki jaga kiri dan kanan.
Lepas selesai umrah,
kami berhenti sekejap untuk solat sunat, berdoa dan juga minum air zam-zam.
Lepas itu kami berjalan tujuh kali antara Safa dan Marwah.
Setiap pusingan ustaz akan baca doa kuat-kuat manakala kami akan mengikutnya.
Masuk pusingan ke empat,
lutut aku dah mula lenguh.
Aku ketinggalan agak kebelakangan.
Suara pun dah takda.
Bila aku melihat emakku masih lagi steady,
begitu juga dengan ustaz yang masih nyaring suaranya,
aku kembali bersemangat.
Aku cepat-cepat menghampiri ustaz dan berdoa sekuat suaranya.
Selesai Saie,
aku pun bertahalul dengan memotong sedikit rambutku.
Tergamam sekejap sebab tak sangka,
aku dah berjaya melaksanakan umrah wajibku.
Selepas itu mulalah masing-masing sibuk mencari kaabah.
Masa tawaf tadi macam tak memandang pun kaabah.
Alhamdulilah.
Satu lagi cita-citaku dah tercapai.
Lebih manis lagi,
aku ada wife, anak-anak juga emakku disampingku.

Pukul 2 pagi aku kembali ke hotel.
Sebelum sempat masuk hotel,
ada jemaah lelaki panggil aku.
Ajak gunting rambut.
Ringan kepalaku selepas memotong rambutku.
Cuma anak-anakku yang degil.
Lebih sayangkan rambutnya berbanding kesan pahalanya.

Bersambung.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan Tinted Kereta

Aku dan Toyota Vellfireku

Aku dan Toyota Estima