Aku dan Perjalanan Umrahku: Hari Keenam

Sekejap sahaja dah enam hari aku di sini.
Kalau di Malaysia,
hari ini adalah hari Isnin.
Tetapi di sini,
tiada hari yang istimewa kecuali hari Jumaat.
Hari lain semuanya sama sahaja.


Pagi sememangnya bermula jam 4: 30 pagi.
Bangun dan terus ke masjid.
Lepas sarapan ustaz nak bawa kami ziarah luaran,
seterusnya bermiqat di Jaaranah bagi umrah kedua kami.
Pukul 8 pagi kami dah berada didepan hotel.
Pukul 8:40 pagi bas baru kelihatan.
Polis tak benarkan bas masuk awal ke kota Mekah katanya.
Sementara menunggu bas datang,
penjual-penjual jalanan mengambil kesempatan.
5 Riyal, 10 Riyal, 15 Riyal.
Halal! Halal!


Mula-mula kami dibawa ke Jabal Rahmah.
Tempat pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa selepas terpisah bila diturunkan daripada syurga.
Bukitnya tak tinggi.
Khabarnya setinggi 70 meter sahaja.
Jabal Rahmah juga merupakan tempat turunnya wahyu terakhir kepada Nabi Muhammad SAW.
Ianya berlaku pada waktu Nabi Muhammad SAW sedang wukuf.
Ramai jemaah memanjat bukit ini terutama pada hari wukuf,
demi untuk berdoa bagi kesejahteraan rumahtangga ataupun dipertemukan dengan jodoh.
Ada juga yang menulis nama pasangan mereka di atas batu untuk menguatkan cinta mereka.
Kononnya.


Sebelum sampai sini ustaz dah berpesan,
siapa yang naik ke atas bukit akan ditinggalkan bas.
Tiada kompromi.
Perjalanan naik dan turun memakan masa 30 minit sekurang-kurangnya.
Dan ustaz kata kami kena cepat sebab nak siapkan buat umrah sebelum zohor.
Lagipun ustaz kata,
kalau nak berdoa pasal jodoh atau nak tambah jodoh,
doa hanya makbul pada hari wukuf sahaja.
Hari-hari biasa doa tak sampai.
Dan lagi ustaz kata doa isteri lebih makbul daripada doa suami.
Jadi tak payah susah-susah katanya.


Kami berada di sini tak sampai 10 minit.
Lepas bergambar kenangan dan beli aiskrim 5 Riyal,
kami masuk semula kedalam bas.
Dalam perjalanan menuju ke tempat miqat,
ustaz menunjukkan lokasi-lokasi utama ketika musim haji.
Padang Arafah, Mina, Mudzalifah juga tempat melontar jamrah.
Ketika bukan musim haji,
semuanya sunyi sepi dan kelihatan sangat luas.
Hanya tanah lapang dengan sedikit pokok-pokok hijau.
Tetapi bila musim haji tiba,
setiap inci tanah itu akan dipenuhi dengan jemaah.


Ustaz berpesan,
kalau nak datang untuk buat haji,
datanglah ketika waktu sihat.
Datanglah ketika usia masih muda dan lutut masih kuat.
Kerana cabaran mengerjakan haji adalah perjalanan yang jauh,
sesak dengan umat manusia,
juga cuaca yang panas terik.
Apatahlagi waktu itu kita didalam ihram.
Lagi banyak dugaan dan cabarannya.
Lagi satu ustaz berpesan,
Kalau ada rezeki lebih,
ambillah pakej yang mahal sedikit.
Semakin mahal harga pakej,
kedudukan hotel atau khemah lebih hampir dengan masjid dan tempat melontar.
Bila dah hampir dengan masjid,
lebih mudah nak beribadah dan masa serta tenaga tidak terbuang dalam perjalanan sahaja.
Tapi kalau tak mampu,
muasasah Tabung Haji pun takda masalah.
Cuma penatnya mungkin berlipat kali ganda.
Kuasa Allah hanya Dia yang menentukan keadaan kita disana nanti.


Pukul 10:30 pagi kami dah tiba di Jaaranah.
Satu masjid kecil yang digunakan untuk bermiqat.
Seperti biasa kami masuk ke masjid untuk sembahyang sunat.
Sebelum masuk bas,
sempat lagi menjengah peniaga-peniaga yang sedang berjualan.


Pukul 11 pagi kami memulakan ritual umrah kami.
Kami berniat beramai-ramai didalam bas,
seterusnya kembali ke Masjidil Haram.
Untuk kali kedua umrah,
kami semua dah tahu apa yang akan berlaku.
Jadi tawaf dan saie kami lebih lancar dan siap sebaik sahaja azan zohor berkumandang.
Kami bersembahyang zohor dikawasan saie sahaja.


Selepas makan tengahari aku terus tertidur sampai petang.
Sembahyang Asar pun buat dibilik sahaja.
Kaki dah tak larat nak berjalan ke masjid.


Pukul 5:30 petang aku kembali semula ke masjid.
Waktu Maghrib di sini adalah pada jam 6:20 petang,
manakala waktu Isyak pada jam 7:50 malam.
Biasanya lepas Maghrib aku tak balik ke hotel.
Aku duduk dalam masjid ataupun berjalan-jalan dalam Zam Zam Tower dan kawasan sekitarnya.


Satu daripada aktiviti aku disini adalah melihat gelagat manusia.
Pelbagai jenis manusia dengan ragam berbeza ada di sini.
Yang pelik memang banyak.
Tapi aku cukup kagum dengan warga-warga tua dan OKU yang ada di sini.
Kecacatan dan umur tidak menjadi penghalang untuk mereka mendekatkan diri kepada penciptaNya.
Yang berpimpin,
Yang bertongkat,
yang berkerusi roda,
Yang didukung pun ada.
Pakaian kebanyakannya hampir sama.
Warna putih dan hitam itu standard.
Cuma jemaah daripada Indonesia yang suka pakai warna-warna terang.
Mungkin senang nak dikenalpasti agaknya.
Bagi group kami,
ustaz wajibkan pakai tag nama sepanjang masa,
juga beg sandang yang perlu dibawa kemana-mana.
Kalau ada apa-apa kecemasan senanglah jemaah tersebut dikenalpasti.
Satu lagi adalah penggunaan handphone.
Tak kira usia ataupun bangsa,
semuanya obses dengan handphone masing-masing.
Depan kaabah pun nak buat video call.
Selfie jangan ceritalah.
Macam-macam gaya aku tengok.


Lepas Isyak aku kembali ke hotel.
Lepas makan terus sahaja tidur.
Tiada nak fikir yang lain-lain.

Bersambung.



Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan Tinted Kereta

Aku dan Toyota Vellfireku

Aku dan Cikgu Arbainah