Aku dan Perjalanan Umrahku: Pengenalan

Dah bertahun aku merancang dan berkira-kira untuk ke Mekah.
Banyak perkara yang aku fikirkan.
Soal masa yang sesuai diikuti dengan soal kewangan yang kelihatan tak pernah mengizinkan.
Juga persediaan mental dan fizikal.
Adakah aku dah layak untuk menjadi tetamuNya?
Aku pernah berkira-kira nak pergi seorang diri dahulu.
Aku pernah berkira-kira nak pergi dengan isteri sahaja.
Aku pernah berkira-kira nak bawa anak-anakku sekali.
Tetapi dah bertahun-tahun berkira-kira aku masih tak pergi-pergi lagi.
Dan tahun ini aku nekad.
Aku dah yakin dan pasti.
Aku nak pergi kerana Allah.

Waktu musim haji yang lepas,
abang ipar aku pergi ke Mekah bersama isterinya.
Gambar-gambar yang dikirimkannya,
walaupun guna kamera cap ayam sahaja cukup menakjubkan.
Aku seolah-olah dipanggil-panggil untuk datang.
Pada masa yang sama,
dia telah berjumpa seorang ustaz yang menjadi mutawifnya masa umrahnya sebelum ini.
Dialah yang rekomen group ustaz ini kepadaku.


Sejak beberapa bulan lepas,
aku mula membaca pengalaman orang menunaikan umrah diblog-blog juga Youtube.
Kalau nak dikirakan cukup wang,
memang hati ini akan kata wang takkan cukup punya.
Mesti ada yang takkan cukup.
Bagaimana dengan perniagaan yang ditinggalkan?
Bagaimana nak bayar hutang-hutang yang ditinggalkan?
Maklumlah.
Aku kerja sendiri.
Takda kerja takda gaji.
Tapi aku dah mula yakin.
Rezeki itu Allah yang beri.
Pasti ada bahagiannya.


Dipendekkan cerita,
aku mula berhubung dengan ustaz Ismail.
Dia ada buat rombongan umrah pada bulan dua ini.
Cuti Tahun Baru Cina.
Tarikhnya dah cukup sesuai.
Yang lain-lain aku tawakal sahaja.
Macam-macam soalan yang aku dapat,
Kenapa tak join group sekian sekian?
Kenapa tak cari kapalterbang yang besar sikit?
Kenapa tak cari hotel yang dekat dengan masjid?
Tapi aku dah nekad.
Aku nak pergi dengan group ustaz ini jugak.
Tak sampai seminggu berfikir,
aku pun bayar duit deposit untuk 6 orang.
Aku bawa anak, isteri juga emakku sekali.
Mula-mula emakku agak keberatan nak ikut.
Nanti menyusahkan,
kaki dah tak kuat,
duit takda.
Tapi aku berjaya menyakinkannya.
Emak kena yakin dengan Allah.
Lagipun itu antara hajatnya dulu.
Nak pergi ke Mekah bersama-samaku pula.
Kenangan mengerjakan haji bersama arwah abah memang emak tak boleh lupa.
Ada yang pahit dan banyak juga yang manis.
Jadi kembalinya nanti emak ke sana,
harap-harap dapat mengembalikan kenangan-kenangan manis mereka dahulu.


Bila dah bayar deposit,
aku mula sibuk nak uruskan visa umrah pula.
Bukan untuk seorang,
tetapi untuk 6 orang.
Berulang-alik aku ke Pejabat Imigresen Kulai untuk memperbaharui pasport antarabangsa mereka.
Untuk anak-anak,
ada yang kena bawa surat beranak.
Ada juga yang kena bawa penjamin asal.
Emakku pula hanya boleh berurusan pada hari Ahad sahaja.
Hari lain dia kena menjaga cucu-cucunya.
Maknanya jenuhlah aku menunggu giliran,
sebab dah tahu hari Ahad memang ramai orang punya.
Lepas tu kena pergi bergambar untuk visa.
4 keping dah 15 ringgit sekarang.
Selepas itu kena dapatkan pengesahan sijil nikah daripada pejabat kadi,
dan pengesahan surat beranak daripada pegawai di Jabatan Pendaftaran.
Maka kerjanya berulang-alik ke pejabat-pejabat kerajaan.
Memang kena sabar melayan karenah birokrasi,
dan khabarnya di Arab Saudi nanti lagi kena banyak bersabar.
Lagi besar dugaannya.


Dua minggu sebelum hari bertolak,
aku dijemput menghadiri kursus intensif umrah di Masjid An Nur Larkin Sentral.
Ceramah disampaikan oleh mutawif yang akan membawaku ke Mekah.
Inilah kali pertama aku berjumpa dengannya.
Kalau ikut sejarahnya,
beliau telah 72 kali membawa group umrah,
dan 10 kali membawa group haji.
Pengalamannya bekerja di Mekah sejak 2003 memang tak boleh disangkal lagi.
Anak-anak dan wife suka dengan ustaz ini.
Ceramahnya tak membosankan.
Walaupun duduk bersila sampai tengahari,
tak terasa masa yang berjalan.


Banyak kali aku berpesan kepada anak-anakku,
perjalanan ke Mekah ini bukannya nak melancong.
Tetapi nak mendekatkan diri dengan Allah,
juga mempelajari sirah Rasullulah.
Jadi jangan kira nak duduk selesa dihotel,
jangan kira nak makan yang sedap-sedap,
jangan kira nak tidur sepuas hati.
Cubaan dan dugaan yang datang kena tempuh dengan sabar.
Allah lagi Maha Mengetahui.

Semoga dipermudahkan segala urusanku sekeluarga.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan Tinted Kereta

Aku dan Toyota Vellfireku

Aku dan Toyota Estima