Aku Merawat Pesakit Bukannya Merawat Penyakit



Hujung minggu lepas ada student Form 6 datang ke klinik.
Nak menjadikan aku sebagai bahan untuk kerja kursusnya.
Nak aku menjawab soalan-soalan berkenaan perkembangan klinik sejak 10 tahun yang lampau.

Berikut adalah kesimpulan kepada perubahan yang berlaku sejak 10 tahun yang lampau:

Pertama.
Kos overhead sememangnya semakin meningkat tahun demi tahun.
Harga ubatan naik lebih 5 peratus setiap tahun.
Penurunan nilai ringgit,
kenaikan harga minyak,
GST,
semuanya memberi kesan kepada peningkatan kos.
Sewa kedai,
bil-bil utiliti,
gaji staf,
semuanya naik.
Tetapi kos perundingan yang masih ditakuk lama.
10 tahun tak pernahnya berubah.
Aku minta naik 5 ringgit pun HQ tak beri.
TPA jangan ceritalah.
Masih 15 ringgit sejak azali lagi.

Kedua.
Bilangan pesakit dah hampir statik.
Tiada nampak peningkatan yang drastik.
Bilangan pesakit berbayar nampaknya semakin berkurang,
manakala pesakit tidak berbayar semakin meningkat.
Kalau dulu nisbahnya 50: 50,
sekarang dan turun kepada 30: 70.
Pesakit berbayar mula berpindah ke tempat lain yang lebih murah.
Rawatan percuma boleh didapati di klinik kerajaan,
klinik 1Malaysia,
klinik pesakit luar.
Banyak yang dibuka sampai malam.
Malah boleh cari ubat di unit kecemasan hospital bila hari-hari cuti am.
Kalau tak nak menunggu giliran yang panjang,
mereka boleh membeli ubat di farmasi.
Memang lebih murah.
Sebab tak perlu bayar kos konsultasi.
Semua ubat boleh dibelinya.
Cream yang ada steroid,
ubat mata yang ada steroid,
ubat darah tinggi,
ubat antibiotik.
Namakan sahaja.
Selain itu ubat-ubatan alternatif semakin berlambak diinternet.
Ubat ajaib 1001 khasiat dijual secara berleluasa.
Ubat penyembuh penyakit-penyakit kronik.
Malah kanser tahap 4 pun boleh sembuh.
Walaupun tahu aku ni doktor,
penjual ni masih juga berani nak try promote ubat kat aku.

Ketiga.
Waktu kerja aku semakin berkurang tahun demi tahun.
kalau dulu kerja 6 hari seminggu,
sekarang nak kerja full 5 hari pun dah tak larat.
Dulu sanggup tunggu dalam klinik 9 pagi sampai 10 malam.
Tapi sekarang waktu rehat aku makin panjang.
Waktu masuk kerja pun makin lewat.
Mungkin sebab faktor usia.
Tetapi mungkin sebab aku dah hilang passion kepada pesakit-pesakitku.
Dah 22 tahun bergelumang dengan pesakit.
Tengok muka sahaja dah boleh buat diagnosis.
Tanya satu soalan dah tahu ubat apa nak beri.
Jadi kebosanan hidup semakin menjadi-jadi.
Apatahlagi jika berderet-deret yang minta MC.
Beberapa bulan lepas aku ada juga letak doktor locum kat klinik.
Doktor muda daripada hospital kerajaan.
Tetapi mentalitinya masih seperti kerja dikerajaan.
Kurang passion terhadap pesakit.
Sekadar merawat simptom dan bukannya pesakit.
Bila aku ada letak doktor locum diklinik,
telefon klinik semakin kerap berdering.
Sebelum nak datang klinik mereka call dulu.
Nak pastikan siapa doktor yang akan merawatnya.
Mulai tahun ini dan setakat ini,
aku tiada lagi slot untuk doktor locum.

Keempat.
Pesakit zaman sekarang dah lebih pandai berbanding doktor.
Perasaan hormat kepada doktor yang merawat dah berkurangan.
Pesakit zaman sekarang dah pandai demand macam-macam.
Belum apa-apa dah minta rujuk ke klinik pakar.
Belum apa-apa dah minta ujian darah.
Belum apa-apa dah minta MC beberapa hari.
Belum makan ubat lagi dah sibuk bertanya kalau tak baik camna?

Namun masih ramai pesakit yang setia denganku.
Masih ramai pesakit yang sanggup menunggu berjam-jam untuk berjumpa denganku.
Pesakit sebegini yang aku jaga baik-baik.
Tak kira apa bangsa, umur ataupun agama.
Selagi mereka masih percaya dengan rawatanku,
aku akan merawat mereka dengan seluruh jiwa ragaku.
Dalam perubatan,
tiada nilai wang ringgit yang dapat membeli kesihatan.
Tak semestinya perlu ubat mahal-mahal untuk sihat.
Kadang-kadang makan PCM dua biji dah cukup dah.
Tak perlu buat ujian darah mahal-mahal.
Tak perlu makan ubat original.
Cukup rehat, cukup air,
bertawakal.
InsyaAllah.
Doktor hanya merawat,
Allah Yang Menyembuhkan.

Banyak lagi perkara aku nak cerita.
Tetapi kalau ada baca buku Diagnosis5,
ceritanya lebih kurang sama sahaja.



Ulasan

  1. Semoga Allah berkati dan beri ganjaran baik berlipat-ganda atas usaha murni dan jasa Doc Zoul.. Aameeeeen

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan Tinted Kereta

Aku dan Toyota Vellfireku

Aku dan Cikgu Arbainah