Langkau ke kandungan utama

Aku dan Pesakit Hari Ini


Dua minggu lepas seorang lelaki datang ke klinik.
Umurnya 27 tahun.
Saiz badannya sederhana.
Bekerja shift malam di Singapura.
Dia mengadu cepat letih dan mudah mengantuk.

Dia bukannya nak MC.
Dia nak tahu apa sebabnya.
Dia tiada sejarah keluarga yang menghidap kencing manis.
Kalau ikut umur, saiz badan juga sejarah keluarga,
Dia tiada risiko menghidap kencing manis.
Aku check paras gulanya.
25.9 mmol.
Hampir 4 kali ganda tingginya banding normal.

Dia bekerja malam.
Setiap hari dia minum air berkarbonat sekurang-kurangnya 3 tin untuk kekal cergas.
Red Bull,
Coca-Cola.
Kerana dia baru rasa bertenaga selepas meminumnya.
Rasa macam letih sangat selagi tak meminumnya.

Ini bukan satu kes.
Aku ada banyak kes lain.
Ada seorang pesakit lebih kurang sama fizikalnya.
Kat kilangnya ada mesin kopi 3 dalam 1.
Percuma pulak tu.
Jadi setiap malam dia minum beberapa gelas untuk hilangkan mengantuk.
Paras gulanya pun ke laut juga.

Seorang warga Nepal awal 30-an.
Bekerja sebagai sekuriti di JPO.
Hari-hari minum Red Bull untuk kekal cergas.
Paras gulanya lebih 15.0 mmol.
Lepas berhenti minum manis dan kurangkan air berkarbonat,
gulanya turun dibawah 7.0 mmol.

Kalau dulu penyakit kencing manis datang pada usia lebih 40 tahun.
Zaman sekarang budak sekolah menengah pun dah ada kencing manis.
Cuba pergi ke restoran makanan segera.
Pilihan air apa yang ada?
Semestinya air berkarbonat.
Juga jus-jus yang artificial.
Itulah punca kepada banyak penyakit.

Pesakit yang mula-mula tadi datang ke klinik selepas seminggu.
Aku suruh dia ubah dietnya.
Gulanya dah turun kepada 14.8.
Aku tak nak suruh dia makan ubat dahulu.
Aku beri tempoh lagi 2 minggu.
Kurangkan gula,
Lebihkan air masak,
Mula bersenam.
Aku yakin gulanya pasti akan turun ke paras normal.
Kerana aku pun pernah mengalami nasib yang sama.
Air berkarbonat punya pasal.
Dah bertahun aku tinggalkan air berkarbonat juga jus-jus artificial.
Teh Tarik pun dah semakin jarang.
Kalau nak manis,
Aku guna gula Stevia sebagai ganti.


Ulasan