Aku Masih Di Sini



Seperti ramai yang sedia maklum, dah lama sangat aku tak letak doktor locum diklinik aku. Kalau sesiapa datang ke klinik, memang muka inilah akan korang jumpa. Pagi, petang dan malam. Kali terakhir aku letak doktor locum kira-kira setahun yang lepas. Itupun boleh dikira bilangan jamnya. Aku masih kurang kepercayaan kepada doktor-doktor muda yang baru keluar daripada universiti. Bukan majoriti, tetapi kebanyakannya tidak cukup passion dengan kerjayanya. Mereka sekadar ingin menghabiskan masa dan cukup jam dapat gaji, dan bukannya menjadikan kerjanya satu kerjaya murni dengan niat untuk berbakti kepada masyarakat.

Aku beri contoh doktor terakhir yang locum denganku. Dia doktor muda daripada klinik kerajaan. Dia sendiri yang approached aku untuk minta slot locum. Kalau tengok apa yang ditulis dikad pesakit, dia masih terikut-ikut dengan kerja di klinik kerajaan. Dia hanya merawat penyakit dan bukannya pesakit. Kalau pesakit demam, dia tulis ubat demam. Kalau pesakit sakit pinggang, dia tulis ubat sakit pinggang. Itu sahaja. Dia takda nak tahu dan mencari punca-punca dia demam ataupun sakit pinggang. Consultation nya cepat. Macam diklinik kerajaan layaknya. Cepat tengok pesakit dan cepat kosongkan klinik. Tiada banyak bezanya. Jadi ramai pesakit yang komplen kat aku. Kena bayar lebih mahal tapi layanan kurang memuaskan. Entah kenapa, lama-kelamaan dia pun macam tak berminat nak locum ditempatku. Ada sahaja alasan diberi kalau aku pelawa. Kesudahannya dia hilang begitu sahaja. Aku tak kisah  sebab aku tak rugi apa-apa.

Ada beza antara merawat penyakit dengan merawat pesakit. Paling mudah tentunya merawat penyakit. Kalau demam, beri ubat demam. Kalau sakit kepala, beri ubat tahan sakit. Kalau muntah, beri ubat tahan muntah. Kalau sesak nafas, hantar ke hospital. Dan kalau dah tak bernafas, hantar ke bilik mayat. Tak perlu tahu kerja di mana, bagaimana pekerjaannya, berapa ramai ahli keluarganya, di  mana rumahnya. Itu tak penting bagi mereka. Tetapi sangat penting bagi aku.

Semalam ada seorang kakak. Usianya 33 tahun. Anaknya 3 orang dan paling kecil baru berusia setahun. Dia bekerja waktu pejabat. Dia mengadu sering pening kepala sejak kebelakangan ini. Aku check sistem badannya semuanya normal. Aku boleh beri ubat pening kepala dan suruh dia balik pejabat. Selesai masalah. Tetapi aku hampir mengalir air mata mendengar kisah kehidupannya. Suaminya dah 4 bulan terlantar di rumah. Koma selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Terlanggar anjing ketika hendak pergi kerja. Dia menjalani pembedahan dua kali untuk membuang darah beku diotaknya. Doktor kata dia memang tiada harapan untuk pulih seperti sedia-kala dan dia perlu penjagaan rapi setiap masa.

Kalau dahulu setiap pagi dia hanya menguruskan tiga anaknya, kini dia terpaksa menguruskan suami dan anak-anaknya sebelum pergi kerja. Balik kerja pun dia terus menguruskan keperluan suami dan anak-anaknya. Dia tiada masa untuk rehat. Hujung minggu pun dia tidak boleh kemana-mana. Suaminya tiada insurans nyawa atau kemalangan dan hanya mengharapkan bantuan daripada Perkeso. Dia kata dia baru 20 peratus redha dengan ketentuan Allah. Sebagai doktor, aku hanya mampu mendengar ceritanya. Sebelum pulang, dia sempat berterima kasih denganku kerana mendengar luahan perasaannya. Harap-harap berkuranglah tekanan yang dialaminya.

Aku dah 15 tahun bekerja diklinik sendiri. Duduk didalam bilik empat persegi 10 jam sehari, 5 hari seminggu memang boleh jadi gila. Apatahlagi berjumpa dengan bermacam-macam jenis manusia yang punya 1001 macam keluhan. Kalaulah aku hanya merawat penyakit, akhirnya aku sendiri pun boleh ditimpa macam-macam penyakit. Tak mudah nak menjadi doktor GP sepertiku. Ramai sahabat  GP yang sebaya denganku ramai yang dah beralih arah. Waktu kerja dalam klinik semakin pendek dan mereka terlibat dengan benda-benda lain. Ada yang berkebun, ada yang menjadi penternak, ada yang asyik dengan kayu golf, ada yang gila dengan motosikal besar. Malah yang terus bersara pun ada.

Dua hari lepas ada seorang pesakit berusia 19 tahun. Ada bisul besar dipipi kirinya. Dia disuruh datang oleh HR kilangnya, minta aku tulis surat rujukan ke hospital untuk pembedahan. Kilang ini panel diklinikku. Tapi limit rawatannya cuma 35 ringgit sahaja. Sebagai doktor yang merawat penyakit, aku boleh tulis surat rujukan dan cas kos perundingan. Aku untung sikit dan selesai masalah aku. Tetapi sebagai doktor yang merawat pesakit, aku tak sampai hati nak biarkan dia menunggu lama-lama diklinik kerajaan. Kalau doktor muda yang merawat, mungkin dia tak berani nak buat dan hantar pula ke klinik pakar. Kena ambil appointment dan kena tunggu lagi.

Aku call HR dia. Aku kata ini pembedahan kecil sahaja. Aku boleh buat tetapi kosnya tak cukuplah dengan 35 ringgit sahaja. HR kata hantar sahaja ke hospital, habis cerita. Aku cakap aku tak nak tulis surat rujukan itu. Aku segan dengan doktor dihospital kerajaan. Benda kecil pun tak boleh nak buat. Bila aku beritahu kosnya tak lebih 100 ringgit, barulah HR tu suruh proceed. Sebenarnya masa aku sedang bercakap dengan HR itu, aku sedang memegang pisau siap sedia nak bedah. Kalaulah dia tak nak bayar pun, aku akan teruskan pembedahan tersebut. Kalau kira rugi memanglah rugi tetapi aku percaya dengan rezeki yang Allah beri. InsyaAllah ada rezeki lain yang Allah akan beri.

Aku bukan nak tunjuk baik. Aku cuma nak berkongsi dengan doktor-doktor muda diluar sana. Menjadi doktor bukan semata-mata nak gaji besar, kereta besar, rumah besar, isteri cantik. Kalau nak semua itu janganlah jadi doktor. Jadilah orang lain. Kalau jadi doktor sebab nak hidup senang, lupakanlah. Tak senang nak jadi doktor. Kalau nak jadi doktor sebab nak duit banyak, lupakanlah. Duit banyak tak semestinya berkat. Duit banyak tak semestinya hidup senang.

Menjadi doktor kena ada jiwa. Sebab sekali anda pegang title doktor, anda menjadi doktor sepanjang hayat. 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Tak kira anda dimana, dikerajaan atau di swasta, keadaannya sama sahaja. Anda kena kerja 24 jam. Aku kenal ramai doktor-doktor pakar yang dah berhijrah ke hospital-hospital swasta. Anda lihat mereka bergaji besar, mereka ada rumah besar, mereka ada kereta panjang menjalar. Tetapi tahukah anda bagaimana mereka bekerja? Mereka bekerja 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Kadang-kadang waktu anda sedang tidur, dia berada diwad melayan pesakit. Kadang-kadang waktu anda sedang bercuti ditepi pantai, dia sedang berada didalam dewan bedah. Katakan kos pembedahan mencecah 30 ribu, anda rasa dia dapat semua 30 ribu itu? Nak dapat 3 ribu pun payah sebab kebanyakan duit akan masuk dalam poket pihak hospital yang biasanya dikawal oleh para kapitalis dan ahli-ahli perniagaan yang telah banyak melabur.

Ramai yang bertanya kepada aku, kenapa aku tak jadi doktor pakar? Kenapa aku lebih rela duduk sebagai doktor GP sahaja yang berada diranking paling bawah dalam heiraki doktor? Aku memang tiada ijazah lanjutan. Aku cuma ada MBBS sahaja. Tetapi pengalaman 20 tahun merawat ribuan pesakit telah menjadikan aku seorang doktor pakar tanpa tauliah. Aku boleh mendiagnosis dan merawat seorang pesakit dalam tempoh paling singkat dengan kos paling minimum. Itu antara kelebihan doktor GP sepertiku. Tak perlu alat mahal-mahal, ambil darah berbotol-botol ataupun makan ubat berjenis-jenis. Kadang-kadang tengok muka aku sahaja penyakit dah boleh sembuh. Ha ha ha.

Aku ada sebut tadi menjadi doktor perlu ada jiwa. Jiwa bermaksud anda perlu mengenali pesakit tersebut luar dan dalam sebelum anda memberikan rawatan. Tak semua demam kena makan ubat demam dan tak semua sakit kena makan ubat penahan sakit. Sebab itu bila pesakit masuk ke klinik berjumpa denganku, semua soalan aku tanya. Aku kena mengenali pesakit tersebut terlebih dahulu sebelum aku menulis diagnosis dan memberikan rawatan.

Tadi ada seorang pesakit. Demam, batuk dan selesema dah hampir seminggu. Dah dua klinik dia pergi tetapi tak juga sembuh. Sekali tengok dah tahu ini demam batuk selesema bawaan virus. Dia akan pulih tetapi ambil masa. Makan antibiotik paling kuat pun tak guna. Sebab yang penting, dia kena cukup rehat, cukup tidur, cukup air dan jaga pemakanan. Bila cukup rehat, antibodi badan barulah dapat bekerja untuk melawan virus tersebut. Tetapi pesakit ini bekerja di pejabat. Hujung minggu dia ada kelas tambahan kerana menjadi pelajar di UTM. Setiap malam dia sibuk dengan kerja kursusnya dan pelajarannya. Jadi bila masa badannya nak berehat? Sebab itu aku marah betul kalau majikan querie aku punya MC. MC perlu untuk pesakit merehatkan badan dan fikiran. Kadang-kadang tanpa ubat pun, pesakit boleh sembuh hanya dengan MC sahaja. Tetapi kalau dapat MC lepas tu pergi berdating memang layaklah kena maki.

Aku selesa dengan pekerjaanku sekarang. Walaupun ada yang kata aku merawat kes bodoh-bodoh dan kurang mencabar, aku bahagia dengan kerjaku. Buat apa pecah kepala nak merawat kes-kes yang sukar sedangkan hati sendiri pun tak tenang? 

Ulasan

  1. Saya terharu baca tulisan doktor, menyedarkan saya tentang diri saya saat pertama kali saya baru sahaja tamat belajar dan nak start housemanship. Sekarang saya dah lebih kurang tiga tahun jadi MO di Hospital district dan KK, jadi saya agak terkelu dengan apa yang tuan doktor katakan mengenai doktor yang bekerja di klinik kerajaan dan merasakan itu tepat sekali terkena pada batang hidung saya. Sekarang saya berada dalam cuti confinement dan punya banyak masa untuk mengenang kembali sikap saya apabila bertugas, memang apa yang dikatakan doktor dilakukan kami doktor-doktor yang muda ini hanya mahu cepat menghabiskan bilangan pesakit yang ada, namun apalah daya kerana jika lambat, komplen pula yang kami dapat. Namun apa yang dikatakan tuan doktor telah menyedarkan saya untuk lebih mengenali pesakit-pesakit saya, terima kasih banyak.

    BalasPadam
  2. pergh mantap tulisannya doktor. keep up the good work

    BalasPadam
  3. Terima kasih banyak-banyak atas entry boss. Saya sebagai doktor yang sangaaaat muda dan baru menamatkan latihan housemanship rasa terkesan dengan ulasan boss. Semoga saya menjadi seorang doktor yang ada jiwa. Amiin.

    http://safuannnnhkm.blogspot.com

    BalasPadam
  4. Terima kasih doktor kerana menulis, saya seorang pesakit. Memang letih kalau terpaksa mengadap doktor yang sekadar doktor... terima kasih doktor kerana telah benar menjadi seorang doktor.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan Tinted Kereta

Aku dan Toyota Vellfireku

Aku dan Toyota Estima