Langkau ke kandungan utama

Aku dan Hujung Minggu Ini

Hujung minggu ini aku sangat sibuk.
Ada banyak program disana-sini.
Bermula dengan hari Jumaat.
Pagi-pagi lagi aku kena ke UPM Serdang.
Pejam celik anak dara aku dah habis satu semester.
Dapat cuti satu bulan sebelum menyambung semula pengajian bulan 12 nanti.
Maka terpaksalah aku mengambilnya kerana barang banyak katanya.
Kerani suruh kosongkan bilik.
Kalau tinggal barang kena ada bayaran ekstra.
Kebetulan anak sulungku di UTP bercuti seminggu sebab Deepavali.
Dia akan menunggu aku di UPM nanti untuk balik sama.
Jadi aku angkut dua orang sekaligus.
dan sepanjang minggu depan semuanya akan ada di rumah.

Aku keluar rumah kira-kira jam 10:00 pagi.
Dijangka tiba di UPM sebelum sembahyang Jumaat.
Perjalanan agak lancar kecuali ada jem 15 minit dilaluan selepas bandar Seremban.
Tak tahu apa puncanya.
Pukul 1 tengahari aku tiba di UPM.
Selepas beberapa kali ulang-alik angkat barang,
barulah siap diisi didalam kereta.
Macam nak pindah rumah gamaknya.
Zaman aku balik kolej dulu,
cuma 2 beg sahaja.
Budak zaman sekarang,
pencuci muka sahaja dah satu beg besar.
Kasut 4-5 pasang.
Baju jangan ceritalah.
Satu bulan tak boleh ulang pakai baju yang sama.
Nak kena lain-lain.


Memandangkan pejabat asrama dah tutup pukul 12.15 tengahari,
kunci bilik tak dapat diserahkan.
Kena tunggu pukul 2.45 katanya.
Jadi lepas sembahyang aku singgah di IOI City Mall.
Entah dah berapa kali aku datang ke sini.
Akhirnya dah takda apa yang nak beli.
Aku sekadar duduk-duduk dan makan tengahari.
Lepas dah kenyang,
anak-anak dan isteri cari kedai favorite mereka,
manakala aku masuk ke ToyRUs.
Bukan rezeki aku kali ini.
Tiada FunkoPop yang menarik untuk menambah koleksiku.

Pukul 4 petang aku kembali semula ke UPM untuk memulangkan kunci.
Selepas itu aku terus pulang ke Johor semula.
Aku singgah sebentar di RnR Seremban.
Langit berubah sangat cepat.
Awan tiba-tiba menjadi gelap dan tebal.
Hujan turun dengan lebatnya dalam sekelip mata.
Khabarnya sampai ada banjir kilat sekitar Alamanda Putrajaya.
Beginilah keadaan cuaca sekarang.
Hujan turun tak menentu.

Sepanjang perjalanan balik,
aku mendengar pembentangan Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan.
Bajet pertama Pakatan Harapan sebagai parti pemerintah.
Sebagai rakyat kelas pertengahan,
aku memang selalu dipinggirkan.
Kali ini aku memang tak dapat apa-apa.
Tiada langsung disebut subsidi atau pengecualian cukai untuk golongan sepertiku.
Yang disebut-sebut ialah hutang negara yang perlu dibayar,
juga banyak berita baik untuk golongan B40.

Aku bukan pakar ekonomi.
Tetapi tahun depan dijangka ekonomi tak berapa baik.
Perang perdagangan antara Amerika dan China memberi kesan kepada dunia.
Minyak dijangka naik,
manakala nilai ringgit akan terus jatuh.
Kuasa membeli rakyat akan terhad.
Tetapi hidup perlu diteruskan.
Kena usaha lebih kuat untuk maju ke depan.
Tak perlu menyalak sana-sini.
Tulis bukan-bukan kat lama sosial.
Membebel-bebel menyalahkan kerajaan sebab tak memberi bantuan.
MP Sabah Sarawak bising sebab tak nampak bahagian mereka.
MP Pantai Timur pun sama.
Wakil-wakil Felda, Felcra pun sama.
Peminjam-peminjam PTPTN pun masih kena bayar pinjaman mereka.
Golongan belum kahwin pun bising sebab kerajaan tak nak bantu.
Usahalah dik oii!
Macamana negara nak maju kalau diri sendiri tak nak maju?
Masih nak mengharap tongkat daripada kerajaan.
Kerajaan dah beri ilmu, gunalah sebaiknya.
Suruh belajar malas.
Dapat duit PTPTN beli iPhone atau tukar ekzos motor.
Buku tak dibelinya.
Bila ilmu sekadar cukup makan,
dapat kerja gaji pun cukup-cukup makan.
Lepas tu asyik nak MC sahaja.
Macamana boss nak beri gaji lebih?
Nak beri gaji minimum pun macam tak berbaloi dengan usaha.


Pukul 9 malam aku tiba di Kulai.
Aku tak memandu.
Wife ku memandu separuh jalan,
manakala anak sulungku lagi separuh.
Aku lena tidur dikerusi belakang.


Awal pagi hari Sabtu aku balik kampung.
Kena kemas rumah sedikit sebab malam nak buat kenduri.
Aku panjat tangga bersihkan kipas.
Juga vakum lantai.
Lepas tu pindahkan perabot dan bentang karpet.
Dah siap semua aku terus balik ke rumah semula.
Ada dua majlis perkahwinan aku nak kena hadir.


Satu majlis berlangsung nun di Pasir Gudang sana.
Ini kawan satu geng masa mengerjakan umrah bulan Februari yang lalu.
Dalam group aku ada dua keluarga berbeza.
Seorang ada anak bujang,
seorang lagi ada anak dara.
Berkat doa ahli-ahli jemaah yang lain,
kedua-duanya selamat disatukan.
Itu pasallah aku bawa satu keluarga meraikannya.
Semoga jodoh mereka berpanjangan,
bahagia dunia dan akhirat.


Lepas majlis tersebut,
aku masuk Lebuhraya Senai-Desaru dan singgah di Airport Senai.
Ada satu lagi majlis perkahwinan di dewan Masjid Airport Senai.
Memandangkan tadi dah makan kenyang-kenyang,
kali ini aku sekadar duduk dan bersalaman dengan tuan rumah sahaja.
Lagipun masa aku sampai,
tetamu dah beransur pulang.
Makanan pun dah tinggal sisa.


Pukul 4 petang aku tiba dirumah.
Kelam-kabut buat persiapan untuk majlis malam nanti.
Anak-anak turut membantu.
Goreng tauhu, rebus telur, celur mee,
potong limau, cili, tauhu dan daun sup.
Nak buat bahan-bahan untuk Mee Rebus.
Pukul 6 petang,
aku bergegas bertolak balik ke kampung.


Selepas Maghrib,
jiran-jiran mula datang ke rumah emak.
Kami adik-beradik sponsor seorang sedikit.
Buat majlis kenduri doa selamat juga tahlil.
Memang dah lama betul aku tak buat majlis seperti ini.
Kekangan masa juga waktu yang tak sesuai untuk semua.
Untuk majlis kali ini,
makanan semuanya main order sahaja.
Takda siapa nak volunteer untuk memasak.
Kakak aku order Nasi Ambeng siap bungkus.
Wife aku sediakan Mee Rebus.
Kuahnya wife order dengan kawannya,
kami siapkan mee dan bahan sampingannya.
Ada yang sediakan kuih-muih juga buah-buahan.
Alhamdulilah makanannya cukup dan tidak berlebihan.
Mana yang lebih,
kami siapkan plastik untuk mereka tapau bawa balik.


Semalam masa di Airport Senai aku sempat beli buku ini.
Aku ada terima yang dalam betul digital.
Tetapi tulisannya kecil sangat.
Sakit kepala aku nak membacanya.
Jadi bila dah ada buku ini,
bolehlah dibawa kemana-mana.

Hari ini seharian aku duduk diklinik.
Pesakit datang dan pergi.
Hidup terlalu rutin dan klise.
Untuk keluar daripada rutin,
aku menulis cerita ini.
Mood sekarang nak menulis pasal politik.
Pasal ketuanan Melayu yang tak berapa nak jadi tuan.
Juga hal-hal sensitif pasal bangsa dan agama.
Tetapi itu semua aku pendamkan dahulu.
Aku nak tengok reaksi orang ramai bila Bajet 2019 dibahaskan nanti.




Ulasan

  1. Sama la dengan anak bongsu..lelaki pun banyak barang kalau nak balik cuti.kalau masa nak tukar tahun tu 2 kali ke utm skudai angkut barang dia.

    BalasPadam

Catat Ulasan