Aku dan Hujung Minggu Ini

Hujung minggu ini aku ke Kuala Lumpur lagi.
Satu sebab nak ambil anak dara aku.
Dia dah habis pengajian Asasi Sains nya di UPM.
Bercuti 3 bulan sebelum menyambung ke ijazah pada bulan September nanti.
Alang-alang dah ke Serdang,
aku bermalam satu malam di Kuala Lumpur.
Sebab kedua nak berjumpa dengan anak bujang aku.
Awal puasa ni dia tak dapat balik.
Dan yang ketiga aku nak menambah koleksi mainanku.

Aku keluar rumah kira-kira jam 9:30 pagi.
Perjalanan dilebuhraya pada hari Jumaat memang lancar.
Langsung tiada kesesakan.
Pukul 11:30 pagi aku tiba di exit Pedas Linggi.
Sarapan merangkap makan tengahari sekali.
Restoran Sabak Salai dah tukar nama kepada Grobok Salai.
Tetapi servis dan makanannya tetap sama.
Memandangkan aku datang agak awal,
orang tak ramai.
Lauk-pauk pun masih banyak pilihan.

Bila dah kenyang,
barulah seronok menyambung perjalanan.
Aku tiba di UPM kira-kira jam 1:30 tengahari.
Sempatlah aku sembahyang Jumaat di masjid UPM sementara wife menolong anak mengangkut barang-barang ke kereta.
Lepas sembahyang aku terus menuju ke Kuala Lumpur.


Pukul 3 petang aku selamat tiba di Vistana Titiwangsa.
Hotel paling murah tetapi selesa untuk aku sekeluarga.
Dah banyak kali aku menginap di sini.
Aku suka lokasinya.
Berhampiran dengan stesen LRT Titiwangsa.
Sepanjang di Kuala Lumpur,
kereta aku memang tak bergerak.
Aku lebih suka naik pengangkutan awam untuk ke sana-sini.


Pukul 5:30 petang aku ke Sogo.
Walaupun tiada Grand Sale,
Sogo tetap meriah dan happening.
Ramai ibubapa sibuk membeli persiapan raya untuk anak-anak mereka.
Zaman aku dah berlalu.
Dulu setiap kali menjelang raya,
aku mesti bawa anak ke Uda Ocean Kluang.
Beli baju raya 2-3 pasang untuk anak-anak.
Warna mesti sedondon untuk 3 beradik.
Bila dah besar sedikit,
shopping raya di Plaza Angsana pulak.
Pukul 9:30 pagi dah tunggu depan pintu mall.
Sebab malas nak bersesak-sesak bila orang semakin ramai menjelang petang.
Dan juga malas nak cari petak parkir kereta.


Lepas Maghrib aku dan anak bujang aku naik LRT ke Amcorp Mall.
Sementara wife masih disekitar Sogo.
Aku tak tahu nak menuju ke mana kalau sekitar Sogo.
Setakat pakaian raya aku memang tak pandang.
Aku tunggu juga kalau ada street performer depan Sogo,
tetapi hari Jumaat mereka bercuti agaknya.


Untuk ke Amcorp Mall yang terletak di Petaling Jaya,
aku kena tukar LRT.
Turun di Masjid Jamek lepas tu naik LRT lain ke Kelana Jaya,
turun di stesen Taman Jaya.
Tambang RM 3.20 seperjalanan.
Aku tiba kira-kira jam 8:00 malam.
Tetapi lebih separuh kedai di Amcorp Mall dah tutup.
Disinilah syurga penggemar mainan sepertiku.
Ada banyak kedai mainan di sini.
Kedai menjual poster pun ada.
Tetapi semuanya dah tutup.
Nampaknya esok hari aku kena datang semula ke sini.


Pukul 9:30 malam aku dah kembali di hotel.
Petang tadi aku ada wasap kawan karib aku dan beritahu aku ada diKuala Lumpur.
Memandangkan dia free,
pukul 10:30 malam dia dah tunggu aku dilobi.
Dia nak ajak makan malam sambil menyembang.
Dia datang naik skuter jer.
Senang nak cilok-cilok katanya.


Dia bawa aku makan malam kat area situ juga.
Makan Nan Cheese di Restoran RSMY.
Ramainya orang.
Tetapi servisnya bagus.
Makanannya pun istimewa.
Aku makan sambil sembang sampailah tengahmalam.
Biasalah cerita orang lelaki.
Hal-hal kehidupan.
Hal-hal keluarga.
Hal-hal hobi dan minat.
Pukul 12.30 aku balik ke bilik.
Aku sempat juga ronda sekitar Chow Kit dan Kg Baru.
Zaman aku student dulu aku selalu ke satu restoran tom yam di Kg Baru.
Masih wujud lagi restorannya.
Cuma pokok besar depan restoran dah ditebang.
Makanan kat situ biasa sahaja tetapi tukang kiranya sengal sedikit.
Mungkin dia tahu kami student.
Jadi makan banyak mana sekalipun harganya tetap bawah 10 ringgit.


Esok paginya aku bersarapan dihotel sahaja.
Kenyanglah juga dapat makan nasi lemak dan roti canai.
Pukul 10 pagi aku check out dan bawa kereta keluar KL.
Seperti dirancangkan,
aku kembali semula ke Amcorp Mall untuk mencuci mata.
Melihat beberapa buah kedai mainan di sana.


Ada tiga buah kedai yang khas menjual Funko Pop sahaja.
Funko Pop yang agak 'rare' tetapi dijual pada harga biasa.
Ada juga kedai-kedai menjual figurine.
Ada juga gerai-gerai menjual mainan Hot Wheels.
Ada juga gerai menjual barangan antik.
Aku cuma lihat dan berlalu sahaja.
Kerana aku sekarang dah fokus kepada Funko Pop sahaja.


Pukul 1 tengahari aku bertolak balik ke selatan.
Aku singgah lagi ke Grobok Salai untuk makan tengahari sebelum menuju selatan.
Aku tiba kira-kira jam 3:30 petang.
Lauk-pauk dah banyak yang habis.
Tetapi pelanggan masih ramai.
Kalau sampai di sini,
jangan lupa minum air kelapa pandan.
Asli tanpa gula dan ais.
Tetapi manisnya melekat ditekak.
Dilawan dengan kuah lemak salai yang pedas.
Fuh! Berasap telinga.



Sebelum Maghrib aku selamat sampai dirumah.
Lepas ni rehat 3 bulan tak payah naik ke Kuala Lumpur.
Kita cuti-cuti kat rumah sahaja.



Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan Tinted Kereta

Aku dan Cikgu Arbainah

Aku dan Toyota Vellfireku