Aku di Sesi Town Hall Bersama YBMK


Pukul 11.15 malam.
Aku selamat tiba di Kulai.
Selepas mengikuti satu perjalanan yang panjang.
Pukul 8 pagi pagi tadi aku dah berada di Hentian Kulai tepi lebuhraya.
Menunggu bas bersama Dr Panujah.
Aku mengikuti rombongan persatuan doktor perubatan ke Putrajaya.

Pukul 8:45 pagi bas pun sampai.
Dalam bas ada 19 orang doktor akan bersamaku.
Berbilang bangsa.
Ramai yang aku kenal,
Di Guru, Dr Muru, Di Jumiah, Dr Ananthi, Dr Piong, Dr Kishen.
Majoriti usia mereka dah lebih 50 tahun.
Dah cukup berpengalaman kalau ditanya tentang nasib doktor GP seperti kami.


Perjalanan ke Putrajaya sangat lancar.
Cuaca agak panas dan dijangka hujan pada sebelah petang.
Bas berhenti sekejap di RnR Ayer Keroh tetapi aku tak lalu nak makan.
Kurang berselera. Pukul 12.30 tengahari aku tiba di Dewan Seri Endon Puspanitapuri Putrajaya.
Bangunan kerajaan yang terletak satu jalan dengan Seri Perdana.
Cantik bangunannya.
Cantik juga landskapnya.
Suasana masa tu agak hingar-bingar.
Ramai doktor dah memenuhi ruang legar.
Banyak adegan jejak kasih aku lihat.
Berjumpa dengan kawan satu universiti yang dah sekian lama tak jumpa.
Dipintu masuk seorang AJK memberi badge untuk disemat didada,
"Save Our GPs".
Dah teruk sangat ke nasib kita?


Proses pendaftaran sangat mudah.
Ada hampir 10 kaunter.
Aku sebut sahaja nombor Sijil Pendaftaran Penuh aku,
Terus nama aku naik dalam sistem.
Diberinya satu pelekat untuk diletakkan dibaju.
Sebagai tiket untuk masuk ke dewan nanti.


Usai pendaftaran aku ke kaunter khas untuk pengambilan sijil amalan tahunan untuk tahun hadapan.
Isi borang, beratur dan buat bayaran.
Lepas 2 jam sijil aku boleh dipungut.
Untuk mendapatkan sijil amalan tahunan ini,
aku kena kumpul 20 mata terlebih dahulu.
Mata dikutip dengan menyertai seminar perubatan yang diadakan daripada masa ke semasa.
Mata juga boleh dikutip secara atas talian.
Baca artikel, jawab soalan kuiz dan dapatlah satu mata.
Mulai tahun 2021 aku diwajibkan ada insurans pulak.
Untuk melindungi diri kalau ada kes-kes litigasi.
Tak murah.
Setahun 3 ribu ringgit hilang begitu sahaja.
Permohonan sijil amalan tahunan ini boleh dilakukan atas talian sebenarnya.
Tetapi sejak tahun lepas,
sistemnya down sampailah sekarang.
Semua kena buat secara manual.
Lepas tu tunggu berbulan-bulan,
sijilnya tak sampai-sampai.
Jadi bila ada peluang sebegini,
cepat-cepat aku rebut.
Sebelum datang aku dah isi borang siap-siap.
Jadi taklah buang masa.
Tinggal beratur untuk membuat pembayaran sahaja.

Selepas sembahyang aku pun masuk ke dewan.
Aku sempat berdoa semoga perjalananku bersama kawan-kawan yang lain tidak sia-sia.
Dewan Seri Endon sangat luas.
Asalnya majlis akan dibuat ditempat lain.
Tetapi memandangkan sambutan yang hangat daripada para doktor,
ianya dipindahkan ke sini. 
Kalau rajin berjalan sana-sini,
Aku pasti akan jumpa sahabat-sahabat lamaku.
Tapi aku lebih suka duduk diam-diam.
Aku pandang keliling.
Memang ramai familiar faces yang aku pernah jumpa.
Sebenarnya daripada pagi aku hanya minum Milo secawan sahaja.
Jadi kena simpan tenaga.
Takut pengsan dalam dewan nanti.


Pukul 2:30 petang,
YB Menteri Kesihatan dan rombongannya pun tiba.
Timbalan Menteri pun ada. 
KSU pun ada.
DG sahaja yang takda.
Selepas sedikit ucapan alu-aluan daripadanya,
wakil-wakil persatuan doktor mula diberi peluang untuk bercakap.
Wakil 3 persatuan utama iaitu Dr Arasu memulakan bicara.
Ada 5 isu utama:
1. Consultation fee
2. TPA/MCO
3. GP Enhancing
4. Drug Price Control
5. Dispensing Separation
Semuanya direct to the point.
Apa yang kami hendak,
kenapa kami hendak 
dan bila kami hendak.
Selesai ucapannya,
akulah antara yang mula-mula berdiri sambil bertepuk tangan sekuat hati.
Seolah-olah aku yang telah diberi peluang bercakap.
Terasa semuanya telah dilepaskan. 
Apa yang sedang berbuku didalam dada selama ini.

Wakil daripada PERDIM nampaknya menyimpan daripada niat asalnya.
Dia kondem kerajaan.
Cerita pasal GDPlah yang ramai orang tak faham.
Sampai ada yang menyampuk suruh dia ubah topik.
Aku dimaklumkan kemudian bahawa dia orang politik daripada Pahang.
Patutlah.

Selepas itu barulah diberi peluang kepada doktor -doktor yang lain untuk bertanya soalan atau memberi pandangan.
Ramai yang hadir menyatakan ketidakpuasan hati mereka.
Dan wakil daripada Kelantanlah paling menarik minatku.
Seorang wanita Melayu.
Rintihannya paling menyentuh kalbu.
" I am from Kelantan. And I voted for you. "
" And I probably will not vote you again. "

Paling menjengkelkan tentunya moderator.
Terlalu rigid dan ikut skema.
Ada wakil daripada Sabah merayu,
Dia datang jauh.
Belum makan, belum tidur.
Tapi hanya diberi 4 minit sahaja.
Moderator seolah-olah mahu menghabiskan dialog dengan cepat dan nak balik awal.
Dia langsung tak endah dengan apa yang ingin disampaikan oleh para doktor.
Betullah kata Dr Muruga Raj,
Kerajaan hanya salin kulit sahaja.
Mentaliti kakitangannya masih sama sahaja.
Masih orang yang sama.

Sesi soal jawab agak hangat.
Ramai doktor dapat meluahkan perasaan mereka.
Tetapi reaksi daripada panel sama sahaja.
Jawapan diberi pun jawapan selamat.
“ Akan dibincang”
“ Akan dibawa ke mesyuarat”
“ Sedang dalam proses akhir “
Terus-terang aku langsung tak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh panel yang berada di atas pentas.
Walaupun ada nampak kesungguhan,
Tetapi tiada keikhlasan.
Semasa sidang soal-jawab,
Kelihatan beberapa orang polis berdiri disekitar dewan.
Matanya galak memerhati sekeliling.
Ada yang takut para doktor baling kasut atau merusuh dalam dewan agaknya.


Pukul 4:30 petang,
Aku keluar dewan.
Aku dah malas nak mendengar jawapan yang berulang.
Cakap-cakap orang politik dan orang kerajaan memang tak boleh pakai.
Aku cuci muka dibilik air lepas tu aku ambil sijil amalan tahunan aku yang dah siap.
Aku nampak ada minum petang disediakan.
Dapatlah air teh O dan kuih popia untuk alas perut.
Lepas tu aku sekadar berlegar dilobi sementara menunggu majlis ditamatkan.


Pukul 6 petang aku dah berada didalam bas.
Hujan rintik-rintik seolah-olah memahami apa yang sedang berbuku dihati kami para GP.
Didalam bas aku mendengar sidang akhbar YBMK bersama media.
Dia tak berani membuat keputusan.
Dia kata dia bukan Perdana Menteri.
Dia juga bukan Menteri Kewangan.


Pukul 6:50 petang,
Bas berhenti disebuah restoran di pinggir Putrajaya.
Aku turun untuk makan tengahari dan makan malam.
Dimeja kami semua meluahkan kekecewaan kami.
Nampaknya tiada hasil positif.
Satu perjalanan yang sia-sia.

Selepas Maghrib kami bertolak balik ke Johor.
Laporan media mula diterima.
“Fee Hike before end of the year”
Tajuk berita yang pastinya mengundang bencana kepada kerajaan.
Khalayak yang tak faham mesti marah.
Pasti akan kedengaran komen-komen negatif.
Parti-parti pembangkang pasti akan mempolitikan isu ini.


Kami semua dah usaha.
Bukan untuk kami.
Tetapi untuk generasi GP yang akan datang.
Kami yang dah senior ini dah masak dan faham sangat tentang bisnes ini.
Kami dah ada “pool of patient” kami sendiri.
Kami boleh survive.
Tapi apa yang kami perjuangkan adalah untuk masa akan datang.
Untuk doktor-doktor GP yang baru nak hidup.
Yang pasti akan terus dicucuk hidung dan dipulas tangannya.

Pukul 1:15 pagi aku belum lagi tidur.
Buntu memikirkan masa depan kami para GP.
Hairan.
Pekerjaan lain nak naikkan harga ikut suka sahaja.
Tapi kami kena menghadap pak-pak menteri.
Ibarat menyembah dikaki mereka untuk mendapatkan kelulusan.






Ulasan

  1. blognya bagus.
    Untuk coba bisnis tiket peluang milyaran bisa kunjungi https://bit.ly/2KTmXE3

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan Tinted Kereta

Aku dan Toyota Vellfireku

Aku dan Toyota Estima